Isnin, 14 September 2020 | 11:00am
Halal membabitkan bahan mentah, sembelihan, ramuan dan pembekalan memerlukan kepastian dan pematuhan syariah. - Foto hiasan
Halal membabitkan bahan mentah, sembelihan, ramuan dan pembekalan memerlukan kepastian dan pematuhan syariah. - Foto hiasan

Peluang luas graduan syariah teroka sektor halal

DALAM dunia perniagaan, kapitalisme tidak mengenal siapa. Bagi pendukung kapitalisme, mereka tidak mempunyai pilihan selain mengejar keuntungan melalui penguasaan modal dan kawalan harga di pasaran terbuka.

Kebebasan ekonomi dan perniagaan memberi peluang kepada syarikat kaya dan pemodal memuaskan kemahuan maksimum berdasarkan cita rasa peribadi.

Kemampuan syarikat kaya atau golongan kaya membayar dan membeli, adalah kelebihan mereka untuk mendapatkan apa sahaja diinginkan. Bagi mereka, tiada kamus halal-haram dalam mengejar keuntungan.

Golongan miskin pula terus terhimpit pendapatan tidak mencukupi dan rendah kemampuan untuk membayar harga barangan di pasaran.

Perkhidmatan mereka terima terus berkurangan dan mengalami kegagalan dalam memenuhi keperluan. Keadaan ini mengurangkan lagi kecekapan dan keperluan. Mereka terperangkap keganasan penyangak pemodal yang memburu keuntungan maksimum.

Tekanan ekonomi seperti ini dirasai pengguna dan syarikat kecil, terutama usahawan Bumiputera.

Di Malaysia, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, antara tokoh korporat Muslim yang memperkatakan moto Jihad Ekonomi untuk membela masyarakat Bumiputera Muslim.

Pembelaan ini terus berjalan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu. Ada sudah berjaya dan membantu syarikat baharu yang masih bertatih.

Mungkin ada yang berjaya, malangnya juga menjadi syarikat kapitalis sehingga melupakan mereka yang memerlukan perkongsian modal dan pengalaman mereka.

Laungan Buy Muslim First (BMF) susulan kesedaran jihad ekonomi yang banyak diperkatakan sekian lama.

Kesedaran meniup semangat kesetiaan pelanggan selaku pengguna untuk membeli dan menggunakan barangan keluaran produk Muslim sebagai tuntutan fardu kifayah, sekali gus membantu membangunkan syarikat untuk terus berdaya maju.

Dengan jumlah penduduk Muslim di Malaysia sekitar 65 peratus, secara matematik ia memberi kemenangan kepada syarikat Muslim. Secara teorinya, peratusan ini boleh menentukan kedudukan syarikat bukan Islam kerana kuasa beli di tangan masyarakat Muslim.

Realitinya ia tidak berlaku. Mungkin disebabkan faktor kualiti produk, harga, daya tarikan pembungkusan dan pasaran produk. Malah, perlu diingat syarikat besar tidak semuanya menyasarkan pasaran utama di negara ini.

Terdapat syarikat meletakkan hanya 10 hingga 20 peratus produk mereka bagi pasaran tempatan, selebihnya dieksport. Ini bermakna mereka tidak bergantung kuasa beli pengguna sepenuhnya di negara ini.

Adalah tepat kerajaan mempromosikan galakan penggunaan produk tempatan tanpa mengira agama dan bangsa bagi mengurangkan produk import.

Dalam kalangan aktivis, kesedaran BMF melihat logo dan jenama halal mampu membantu syarikat Muslim berdiri sebaris bukan Islam yang menguasai pasaran. Malah, dicadangkan logo itu dikeluarkan mengikut warna berdasarkan agama dan bangsa untuk membantu pembeli memilih produk Muslim.

Sekilas pandang idea ini logik. Namun, amalan pensijilan halal tidak membezakan bangsa dan agama kerana logo halal dikeluarkan kepada syarikat yang layak selepas memenuhi keperluan syariah tanpa mengira orang Islam atau sebaliknya.

Dalam muamalat sendiri membenarkan transaksi berlaku dengan sesiapa sahaja dalam konteks dibenarkan syariah seperti tiada riba, judi, arak dan perkara berisiko kepada individu dan masyarakat.

Pensijilan halal di Malaysia dilaksanakan hampir 48 tahun jika tarikh Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 diambil kira. Banyak kemajuan, perubahan dan kejayaan dicatat. Buktinya, 84 badan pensijilan halal di 52 negara di seluruh dunia disenaraikan organisasi diiktiraf.

Hakikatnya, pensijilan halal datang daripada hak intelektual masyarakat Islam yang mencetuskan sistem. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sebagai pemegang mandat, diamanahkan masyarakat Islam dan negara melalui akta dan enakmen.

Bagaimanapun, selepas perjalanan panjang dan banyak evolusi dibuat terhadap sistem dan kemas kini standard serta manual hari ini, permohonan halal tidak membezakan agama dan bangsa sungguhpun ia datang daripada minda kreatif orang Melayu-Islam.

Sayangnya statistik sekian lama menunjukkan sekitar 30 peratus pemegang sijil halal di Malaysia terdiri syarikat Muslim dan bakinya, di tangan syarikat bukan Islam. Secara statistik, syarikat bukan Islam menumpang tuah hak intelek masyarakat Islam.

Angka ini menunjukkan syarikat Muslim kurang kesungguhan, sedangkan halal mampu menentukan daya tarikan dan keyakinan di pasaran terbuka. Di manakah mereka yang melaungkan semangat BMF?

Jika diteliti, amalan pemberian sijil halal tidak membezakan sesiapa kerana setiap pemohon dikehendaki mematuhi manual dan standard sama supaya menepati keperluan patuh syariah.

Secara prinsip, kita dikehendaki membantu meningkatkan perkembangan ekonomi Muslim dengan mengutamakan barangan mereka. Secara mikronya, adalah tepat untuk memastikan barangan mereka laris dan mendapat tempat di pasaran.

Tetapi secara makro, hampir mustahil ia berlaku secara drastik disebabkan pembekal, pengilang dan pengeluar bukannya di tangan mereka.

Realitinya banyak syarikat besar di negara ini lebih daripada separuh pekerjanya terdiri bukan Islam. Terdapat syarikat melantik jawatan tertinggi seperti ketua pegawai eksekutif (CEO) atau pengerusi sehingga jawatan pemandu dalam kalangan orang Islam.

Sungguhpun sesuatu syarikat dimiliki bukan Islam, ia bukan bermakna mereka menjalankannya secara mutlak, tetapi terpaksa bergantung tenaga dan kepakaran Muslim bagi menjayakan pengeluaran industri.

Bagi memastikan tiada keraguan dan isu berpanjangan, syarikat disahkan halal hendaklah melantik Pegawai Syariah atau Eksekutif Halal (HE) terlatih seperti institusi kewangan dan bank melantik Pegawai Syariah.

Malah pelantikan ini lebih kritikal keperluannya dalam industri halal berbanding institusi kewangan dan perbankan.

Halal membabitkan bahan mentah, sembelihan, ramuan dan pembekalan yang memerlukan kepastian dan pematuhan syariah. Tanggungjawab ini semestinya dipegang seorang terlatih dalam pengajian halal atau lebih tepat graduan pengajian syariah kerana halal berkaitan langsung bidang itu.

Penting graduan itu dilatih tambah nilai ilmu pengurusan pensijilan halal dan industri halal. Amalan ini dilaksanakan dengan cemerlang institusi kewangan dan perbankan Islam di Malaysia, dengan melantik graduan syariah daripada pengkhususan muamalat dan ekonomi Islam bagi memastikan kepatuhan syariah terlaksana.

Mungkin atas prinsip ini, tiada lagi suara sumbang mempertikaikan produk kewangan Islam di Malaysia seperti sebelum ini.

Sebaliknya, dalam industri halal terdapat EH yang tidak berkelayakan dalam pengajian syariah atau sekurang-kurangnya diploma dalam pengajian Islam, diberi tanggungjawab mengendalikan pengurusan halal industri dalam syarikat.

Mungkin sudah sampai masanya JAKIM-JAIN menguatkuasakan hal ini, memandangkan sudah ramai graduan pengajian halal menamatkan pengajian di beberapa universiti.

Malah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sedang menyemak dan menilai modul pengajian halal hari ini bermula peringkat pengajian sijil hingga doktor falsafah (PhD) yang perlu mengambil peratusan subjek syariah dan fiqh serta beberapa kemahiran industri halal diperlukan.

Sebenarnya industri halal bukan sahaja membuka ruang kerjaya amat luas kepada graduan pengajian syariah sebagai HE, malah turut membuka ruang dalam bidang kajian dan pembangunan (R&D), konsultasi, perniagaan dan peruncitan.

Jika ini dapat dicapai mungkin tidak timbul lagi suara diberikan mengikut warna berdasarkan bangsa dan agama.

Penulis adalah Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Berita Harian X