Sabtu, 12 September 2020 | 11:00am

Pemerintahan dominan peribumi resipi pertahan Perlembagaan

Tiga perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera; kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dan sistem Raja Berperlembagaan.

Ketiga-tiga perkara ini hanya akan terjamin dan dihormati sekiranya negara kekal di bawah pemerintahan dominan peribumi (PDP). Tanpa PDP, perkara terbabit akan terus dipersoal, dicaci dan cuba dihapuskan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Perpaduan dan ketenteraman awam terancam pasti menggugat kestabilan dan kelancaran pembangunan negara. Senario berkenaan dapat dibendung hanya jika negara diterajui sebuah kerajaan di bawah pemerintahan dominan kaum majoriti.

Berasaskan kepada pendirian itu, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sangat penting dan dianggap sebagai penentu kepada masa depan PDP di negara ini.

Dalam konteks itu, tiga parti politik terbesar orang Melayu - UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak ada pilihan melainkan menang dalam PRU-15 dan mempertahankan PDP.

Untuk mencapai matlamatnya, keinsafan dan keikhlasan tiga parti politik berkenaan dalam mewujudkan perpaduan dan kesepakatan menentukan faktor kejayaan.

Hanya dengan kemenangan besar dalam PRU-15, PDP mampu dipertingkatkan kepada pemerintahan mutlak pribumi (PMP).

Justeru, ketiga-tiga parti politik terbabit yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berdepan parti lawan dengan semangat perpaduan yang jitu berserta perancangan strategi yang mantap dan bijaksana.

Asas kepada kejayaan untuk PN menang besar PRU-15 ialah persetujuan yang bijaksana dalam isu pembahagian kerusi dalam kalangan tiga parti terbabit.

Oleh yang demikian, sebarang tuntutan oleh setiap parti hendaklah berasaskan logik dan realiti semasa di lapangan.

Matlamat pencapaian dalam pilihan raya ialah untuk menang dan berjaya mendapatkan jumlah kerusi majoriti terbesar di Dewan Rakyat.

Apa gunanya membuat tuntutan sejumlah kerusi, jika kalah dalam pertandingan. Lebih malang jika PN gagal mendapat 112 kerusi dan hilang kerajaan.

Ke arah menzahirkan sebuah kerajaan PDP yang teguh dan stabil, sasaran pencapaian dalam PRU-15 hendaklah kemenangan dua pertiga, iaitu 148 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Untuk itu, kepemimpinan ketiga -tiga parti berkenaan perlu berjiwa besar supaya sebuah gabungan politik yang teguh dan komited dapat diwujudkan segera sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

Dalam perancangan strategi untuk menjamin kemenangan, persetujuan dicapai iaitu memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Gabungan PN dalam PRU-15 dilihat sebagai satu keputusan yang tepat dan bijaksana.

Namun, banyak lagi faktor lain menjadi penentu kepada kemenangan dalam perebutan 222 kerusi di Dewan Rakyat. Tiga faktor utama yang penting perlu diberi perhatian serius oleh kepemimpinan ketiga-tiga parti berkenaan:

Pertama, menghadapi PRU-15 sebagai satu pasukan yang kuat. UMNO, PAS dan BERSATU perlu segera mewujudkan kesepakatan untuk menyertai gelanggang pilihan raya sebagai satu pasukan gabungan politik yang kuat.

Setiap perancangan, strategi dan tindakan di lapangan hendaklah dibuat secara bersepadu dengan matlamat yang sama, iaitu kemenangan calon PN.

Perbuatan sabotaj dalaman akibat kekecewaan kerana gagal dalam pengagihan kerusi, mestilah dijauhkan sama sekali. Begitu juga pertembungan sama sendiri, mesti dielakkan.

Penjelasan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, bahawa perbincangan berkaitan dengan pembahagian kerusi membabitkan UMNO, Barisan Nasional (BN), PAS dan BERSATU dijangka dimuktamadkan pada akhir September ini cukup melegakan.

Diharapkan rundingan dan perbincangan itu berjalan secara lancar dan harmoni. Kegagalan dalam mencari kesepakatan mengundang kekalahan dalam PRU-15. Penyesalan dan kekalahan bukanlah satu pilihan!

Kedua, jentera pilihan raya yang kuat dan bersepadu. Kemantapan jentera pilihan raya di lapangan di setiap kawasan adalah penentu kalah menang seseorang calon yang bertanding.

Dalam konteks calon gabungan PN (yang bertanding mewakili UMNO, PAS dan BERSATU), sokongan jentera pilihan raya yang komited dan ikhlas di setiap kawasan berkenaan akan menjamin kemenangan. Misi perjuangan jentera parti ialah untuk memastikan kemenangan 'calon kita'.

Ketiga, manifesto bersama. Dicadangkan PN menggunakan manifesto yang sama agar memberi persepsi ia sebuah gabungan yang teguh dukungan tiga parti politik Melayu terbesar di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.

Rakyat selaku pengundi perlu yakin keteguhan PN untuk menerima manda t lebih kuat. Manifesto adalah akujanji PN kepada rakyat khasnya kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Melalui manifesto, parti yang mendokong kerajaan perlu berada di atas prinsip dan komitmen akujanji yang sama. Yang paling utama ialah menjaga keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang demi kesejahteraan rakyat, keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Sebagai sebuah kerajaan PDP yang memerlukan dukungan kuat kaum Melayu/peribumi negara ini, manifesto PRU-15 perlu memberi ruang yang lebih sebagai teras utama kepada agenda Melayu dan Bumiputera sebagai kaum majoriti di bumi ini.

Tanpa sokongan orang Melayu/Bumiputera, impian untuk mewujudkan sebuah kerajaan PDP yang kuat tidak mungkin dapat dizahirkan menjadi realiti.

Penulis adalah Naib Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM)

Berita Harian X