Sabtu, 29 Ogos 2020 | 11:01am
Paparan Rukun Negara di Stesen MRT Merdeka. - Foto Aswadi Alias
Paparan Rukun Negara di Stesen MRT Merdeka. - Foto Aswadi Alias

Rukun Negara wadah bentuk masyarakat berpandangan jauh

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-13.

Ia dibentuk dalam usaha mewujudkan perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, diperkenalkan susulan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan hubungan kaum di Malaysia.

Prinsip dalam Rukun Negara jelas kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kestabilan Malaysia, bertujuan menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat, nilai keagamaan, kesetiaan kepada Raja dan negara, kepatuhan kepada Perlembagaan dan undang-undang serta masyarakat yang sopan dan bertatasusila.

Nilainya perlu difahami, dihayati dan diamalkan semua lapisan masyarakat kerana keharmonian negara bergantung kepada masyarakat yang tinggi disiplin dan cintakan negara.

Namun, apa erti Rukun Negara kepada generasi muda kita. Itu yang dikupas barisan panel forum 'Rukun Negara Teras Perpaduan Kaum dalam Menghayati Kemerdekaan' anjuran Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), baru-baru ini.

Antara objektifnya untuk memberi pendedahan kepada generasi muda agar dapat menghayati prinsip Rukun Negara, menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri dan membentuk keperibadian sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Tiga ahli panel ditampilkan dalam kalangan generasi pelapis kepemimpinan negara, iaitu Muhammad Danial Akmal Hamdan, M Eswaran dan Tan Ray Ming di hadapan khalayak dalam kalangan pelajar sekolah, guru, mahasiswa dan ahli akademik.

Muhammad Danial adalah Naib Presiden 1 Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan. Eswaran pula Felo Perdana di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, manakala Ray Ming, Naib Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Pengerusi Kelab Mahasiswa MCA.

Bagi Muhammad Danial, sebagai ideologi kebangsaan, Rukun Negara mempunyai maksud tersurat dan tersirat, perlu pemahaman dan penghayatan yang sepatutnya tidak menghadirkan sebarang masalah kepada rakyat.

Namun, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia terhadap 1,000 responden berkaitan pemahaman konsep Rukun Negara, mendapati 88 peratus memahaminya, tetapi tidak diiringi penghayatan dan amalan.

"Kita boleh lihat kurangnya penghayatan Rukun Negara dalam masyarakat kerana adanya isu tidak menghormati Jata Negara, Jalur Gemilang dipasang terbalik, dihitamkan jalurnya dan lain-lain yang menyentuh sensitiviti semangat kenegaraan," katanya.

Eswaran pula berpendapat, prinsip Rukun Negara mudah difahami, dimulakan dengan prinsip pertama, iaitu kepercayaan kepada tuhan yang mengambil kira komposisi rakyat Malaysia berbilang bangsa dan pegangan agama.

Dalam kepelbagaian hidup masyarakat majmuk, setiap bangsa dan agama seharusnya mampu menerima dan menghormati pegangan agama masing-masing, mengamalkannya dengan aman harmoni, dengan kedudukan Islam diangkat sebagai agama rasmi.

Prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara pula mengangkat kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan peranan rakyat pula adalah merafak setia.

Ambil petikan kata-kata Sultan Alauddin Riayat Shah untuk pedoman. Baginda diberitakan pernah bertitah, 'Rakyat itu umpama akar, Raja itu umpama pohonnya. Jikalau tiada akar, nescaya pohon tidak akan dapat berdiri'. Begitu signifikan dinyatakan hubungan antara rakyat dan Raja.

Prinsip keluhuran Perlembagaan memaparkan pentingnya Perlembagaan dalam sesebuah negara. Di Malaysia, walaupun Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara, baginda menjalankan tugas berpandukan Perlembagaan Persekutuan.  

Prinsip kedaulatan undang-undang, jelas menyatakan undang-undang adalah elemen utama pemerintahan sesebuah negara yang mengikat kerajaan dan rakyat dan wajib mematuhinya. 

Rukun kesopanan dan kesusilaan, menggambarkan cara hidup dan norma diamalkan rakyat Malaysia.

"Saya percaya rakyat negara ini mampu hidup aman dan harmoni disebabkan kesopanan dan peradaban yang diamalkan. Apabila kelima-lima prinsip ini digabungkan, dapatlah diwujudkan panduan sebagai wadah pembentukan masyarakat Malaysia berpandangan jauh dan holistik," kata Eswaran.

Ray Ming pula berkongsi pandangannya mengenai langkah mengelak berulangnya tragedi 13 Mei 1969, peristiwa berdarah yang menjadi bukti permusuhan kaum yang sangat dahsyat.

"Kita perlu letakkan diri ketika Peristiwa 13 Mei itu. Bayangkan, forum kita hari ini dihadiri berpuluh rakan, tiba-tiba ada sekumpulan datang daripada belakang dan tikam kita, apakah perasaan itu? Takut?

"Inilah perasaan dan perkara yang perlu kita hadapi bila permusuhan kaum sampai ke tahap kemuncaknya. Kita perlu ingat Malaysia antara negara terbentuk pelbagai masyarakat berlainan kaum, adat, kepercayaan dan agama," katanya.

Dalam membentuk negara, beberapa perkara yang sebelum ini dilempar dan diungkapkan, perlu dipastikan tidak mengguris perasaan mana-mana pihak, walaupun ia hak asasi kita untuk bebas bercakap seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Faktor bahasa kebangsaan juga memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara kaum. Sekadar memahami tidak berguna, sebaliknya perlu mahir dan fleksibel dalam menggunakannya supaya tidak tersekat apabila berkomunikasi.

Apa yang penting, sekiranya ketidakstabilan perpaduan wujud, Peristiwa 13 Mei 1969 mungkin berulang.

Dalam hal ini, peranan tokoh sebelum kemerdekaan boleh dijadikan rujukan seperti Sheikh Abdullah Ibrahim atau Sheikh Abdullah Fahim, ulama dan ahli falak terkemuka yang menasihati Tunku Abdul Rahman Putra menaiki kapal laut ke London agar mempunyai masa panjang untuk berbincang.

Tokoh pejuang masyarakat India, Tun VT Sambanthan berganding bahu membebaskan tanah air daripada penjajahan, begitu juga sumbangan Tok Gajah, Mat Kilau, Antanom dan Datuk Maharaja Lela yang asas perjuangan mereka mewujudkan rasa permulaan fasa kemerdekaan. Timbalan Perdana Menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, juga menyumbang usaha mengekalkan kemerdekaan melalui kepakaran hal ehwal dalam negeri serta hubungan antarabangsa.

Jangan dilupa fasa penggabungan Sabah dan Sarawak, di mana Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah dari Sarawak dan Tun Fuad Stephen dari Sabah memainkan peranan dalam perjuangan selepas kemerdekaan sehingga terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963.

Tun Tan Cheng Lock, Tun Leong Yew Koh dan Kolonel HS Lee pula menubuhkan Persatuan Cina Malaysia (MCA) pada 27 Februari 1949 bagi menyatupadukan masyarakat Cina, bekerjasama dengan kerajaan menentang komunis dan berjuang dengan kaum lain untuk kemerdekaan Tanah Melayu.

Kini, ideologi Barat mula kelihatan dalam politik negara. Ada golongan memperjuangkan tuntutan minoriti yang tidak diterima rakyat majoriti atau memperjuangkan hak sama rata mutlak seperti di Amerika Syarikat.

Bagi Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan, toleransi, persefahaman dan sikap saling menghormati menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia, perlu dikembang dan diperkukuhkan khususnya dalam kalangan generasi muda supaya kekuatan dan keunikan Malaysia terus dihayati bagi membina sebuah negara yang teguh, aman dan makmur.

Penulis adalah Perunding Media Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)

Berita Harian X