Ahad, 9 Ogos 2020 | 8:14am

Sudah merdekakah bahasa Melayu?

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Laungan keramat tanggal 31 Ogos 1957, detik bersejarah negara kita memperoleh kemerdekaan.

Selanjut usia negara dewasa dengan cara dan acuan sendiri membentuk jati diri serta menjadi kemegahan pada peringkat antarabangsa, namun jika diteliti usia merdekanya negara dengan merdekanya bahasa Melayu dalam negara, masih ada kelompongan perlu ditutupi.

Bahasa Melayu diwartakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sebaik negara merdeka. Bagaimana pula penggunaannya masa kini?

Persoalan ini sering timbul, apabila pencinta bahasa Melayu berdiskusi secara ilmiah ataupun sebaliknya, namun tiada penghujungnya.

Warganegara Malaysia sering menganggap bahasa Melayu berada pada peringkat atau status sewajarnya. Bahasa Melayu sudah tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu diangkat bahasa penting dalam semua hal dan bidang.

Untuk menjadi negara maju, masyarakat perlu menguasai bahasa antarabangsa lain, umpamanya bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun dan lain-lain bahasa dunia. Bahasa Melayu sendiri terpinggir secara terhormat. Sudah merdekakah bahasa Melayu kini?

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, mengucapkan terima kasih atas iltizam dan janji Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan termasuk aspek mutu bahasa di tempat awam.

Adakah kita akan menyerahkan segala-galanya kepada DBP untuk memerdekakan bahasa Melayu?

Sebagai warganegara, kita mempunyai peranan tersendiri untuk memastikan bahasa Melayu juga sebenar-benarnya merdeka.

Pendidik mata pelajaran Bahasa Melayu berperanan paling utama dalam merungkai masalah ini. Mereka perlu sedar kolerasi antara tahap penguasaan bahasa Melayu seseorang murid dengan tahap kematangan berfikir, kemahiran lisan dan kemahiran menghasilkan penulisan yang baik.

Bahasa ialah wahana sangat penting kepada kesinambungan tamadun komunikasi interpersonal. Maka, entiti bahasa dan komponen kebahasaan merangkumi semua aspek kewujudannya serta segala keindahan bahasa yang mendasarinya perlu dibudayakan dalam setiap aspek kehidupan.

Keagungan sesebuah negara, bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai alat berkomunikasi, tetapi berperanan antaranya sebagai aset atau modal budaya sesuatu bangsa.

Tanpa bahasa, identiti sesebuah bangsa tidak dapat dikenali, apatah lagi bagi Malaysia yang didiami pelbagai bangsa.

Bahasa juga penting sebagai alat mempertahankan dan menonjolkan jati diri bangsa serta negara untuk mewujudkan kekuatan tamadun dan budaya bangsa itu sendiri.

Kemahiran lisan dan penulisan dalam bahasa Melayu sebahagian kemahiran penting harus dikuasai semua individu seawal peringkat persekolahan. Ia sebahagian besar pendidikan formal yang memerlukan kecekapan mental dan kemahiran kendiri dalam menyampaikan maklumat, idea, perasaan, atau pendapat.

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran sangat berkait rapat kebolehan murid menguasai sesuatu bahasa dan menanam keyakinan tinggi untuk menuturkannya.

Pendidik, cendekiawan, ahli akademik, pengkaji bahasa, guru, masyarakat dan ibu bapa perlu memastikan semua peringkat pengajian atau persekolahan menjalankan tanggungjawab mengajar bahasa Melayu dengan penuh komited dan ikhlas seperti termaktub dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada peringkat persekolahan, semua nilai, penghayatan, penggunaan dan amalan bahasa dapat disampaikan.

Guru adalah ejen dan jentera pelaksana segala dasar kerajaan pada peringkat paling awal seawal generasi baharu berusia empat tahun di sekolah, maka wajar guru menjalankan tanggungjawab mengaplikasikan cara pengajaran bersifat lebih membina, memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu.

Selain itu, keberkesanan dalam amalan pengajaran guru dalam bilik darjah juga berkait rapat kebolehan murid berbahasa.

Sikap pendidik terhadap profesionalisme perguruan, berperanan penting dalam mencorakkan suasana pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang berkesan.

Pendidik bahasa Melayu perlu mempunyai ciri dan sifat tersendiri melayakkan mereka memikul tanggungjawab seperti dikehendaki agama, bangsa, dan negara. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Berita Harian X