Jumaat, 7 Ogos 2020 | 7:18am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

PRN Sabah uji kerjasama PN

Sabah melalui pengalaman politik berbeza daripada negeri lain. Di Johor, Perak, Melaka dan Kedah, perubahan pucuk pimpinan negeri kepada parti mendapat sokongan majoriti, tanpa pilihan raya negeri (PRN).

Berbeza di Sabah apabila Yang di-Pertua Negeri mengambil keputusan menolak majoriti mudah diperoleh Tan Sri Musa Aman untuk dilantik terus sebagai Ketua Menteri baharu menggantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

PRN Sabah mempunyai banyak kebaikan dan keburukannya. Hikmah besar mesti ada di sebalik keputusan Yang di-Pertua Negeri.

Tulisan ini hanya memfokuskan mengenai perbincangan percaturan kuasa parti politik di bawah atau memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan implikasi serta kemungkinan keputusan yang akan dicapai nanti.

Dua parti utama mempunyai peranan besar dalam percaturan ini ialah UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Parti Bersatu Sabah (PBS), PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga penting, tetapi peranan serta percaturannya tidak sepenting kedua-dua parti berkenaan.

PRN ini akan menguji sejauh mana semangat kerjasama antara parti menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam proses membentuk kerajaan negeri. Kedua-dua pihak daripada awal menunjukkan keinginan menguasai kerusi.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, menyatakan akan bertanding sekurang-kurangnya di 32 kerusi, manakala Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor menyatakan akan bertanding di 45 kerusi.

Kedua-dua parti ini sahaja sudah melebihi 73 kerusi. Bagaimana pula dengan parti politik lain seperti PAS, PBS dan STAR. Parti politik ini juga pasti mahu bertanding dan perlukan diberikan peruntukan kerusi tertentu.

Bukan hanya UMNO dan BERSATU mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi Sabah. PBS tidak kurang kuat dan pengaruhnya di kawasan Bumiputera bukan Islam khususnya di kawasan Kadazan-Dusun.

Begitu juga PAS, walaupun setakat ini belum berjaya memenangi sebarang kerusi dalam sejarah politik Sabah, tetapi pengaruhnya di kawasan Bumiputera Islam berkembang pesat sejak akhir-akhir ini. Pengaruh PAS sebagai penentu kemenangan tidak boleh dipandang kecil.

Sokongan pengundi PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis tidak boleh dipinggirkan bagi kemenangan majoriti besar calon BN/UMNO di Parlimen itu. PAS juga harus diberi peluang pada PRN kali ini di bawah semangat PN. Tiga atau dua kerusi DUN sepatutnya diberikan kepada PAS di kawasan majoriti pengundi Muslim.

Jika PAS langsung tidak diberikan peluang pada PRN 2020, ia tidak tepat. Memandang rendah terhadap PAS Sabah mungkin akan memberikan rasa dingin penyokong parti berkenaan dan sokongan terhadap rakan UMNO, BERSATU dan parti politik lain di bawah payung PN.

Apa dinyatakan Pengerusi UMNO dan Pimpinan BERSATU yang seakan-akan cuba melonggokkan kerusi kepada kedua-dua parti kurang tepat dalam semangat kerjasama PN. Kepentingan hanya kepada dua parti itu perlu disesuaikan dengan kepentingan menyeluruh semua parti mendokong PN.

Walaupun PN tidak didaftar secara sah, roh dan semangat perjuangan serta kerjasama perlu dijunjung yang akan lebih menjamin kekuatan dan kemenangan.

Ada pula pandangan UMNO, perlu bertanding di semua DUN. Ini sangat radikal dan mempunyai implikasi besar. Jika menang besar, UMNO akan berkuasa di Sabah.

Bagaimanapun, secara logiknya kemenangan besar agak sukar dengan UMNO bertanding bersendirian. Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan parti bekerjasama di bawahnya juga mempunyai pengaruh yang besar di Sabah.

Kekuatan WARISAN tidak boleh dinafikan khususnya di Pantai Timur Sabah dan kawasan majoriti pengundi kaum Cina. UMNO sukar menang besar jika bertanding di semua DUN.

Formula menang-menang dan kerjasama semua parti politik di bawah PN perlu dibina serta diselesaikan. Keputusan segera perlu dibuat oleh pucuk pimpinan semua parti yang terbabit untuk mengelakkan perebutan sesama parti, apatah lagi pertandingan tiga penjuru.

Hakikatnya, UMNO dan BERSATU akan menerima kesan buruk sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru. Kecelaruan dan rasa tamak tidak akan menjamin kemenangan besar, sebaliknya kerjasama dan tolak ansur perlu dijadikan asas dalam penentuan serta peruntukan kerusi.

PRN ialah ujian awal menghadapi pertarungan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Andai berlaku keributan besar dalam PN, ia akan memberikan kesan kepada PRU-15.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Berita Harian X