Khamis, 30 Julai 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Lanjutan moratorium, bantuan bersasar langkah prihatin

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bersasar dilihat sebagai langkah prihatin kerajaan dalam membantu golongan yang paling terkesan akibat COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan dalam mengekang penularan pandemik itu.

Secara khusus, peminjam individu yang mengalami impak negatif akibat pandemik ini, sama ada dari segi pemberhentian pekerjaan atau pengurangan penggajian adalah golongan utama yang diberi perhatian oleh kerajaan untuk menerima lanjutan moratorium pinjaman.

Secara dasar, langkah ini dapat membantu untuk mengelakkan pinjaman yang diberikan kepada golongan khusus ini daripada dikategorikan sebagai pinjaman tidak berbayar dalam portfolio pihak bank.

Oleh itu, langkah ini juga adalah untuk membantu pihak bank menangani isu pertambahan pinjaman tidak berbayar secara mendadak selepas tamat tempoh moratorium terdahulu.

Dengan lanjutan moratorium ini, kuasa berbelanja bagi golongan yang terkesan ini sedikit sebanyak dapat dipertahankan supaya perbelanjaan dapat diteruskan untuk memastikan usaha memulihkan ekonomi negara dapat berjalan dengan lancar.

Di samping itu, bantuan bank bersasar kepada golongan peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro dari segi perkhidmatan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman oleh pihak bank juga dilihat sebagai langkah penting untuk meneruskan usaha penjanaan semula ekonomi negara dengan sumbangan berterusan daripada golongan yang terkesan itu.

Ini dapat dilaksanakan dengan terlebih dahulu memberi peluang kepada golongan ini, terutama sektor PKS, untuk terus menjalankan operasi perniagaan tanpa dibebani oleh masalah pembayaran balik pinjaman yang mengekang keadaan dan kestabilan kewangan golongan itu.

Pihak bank juga dilihat bersedia untuk bersama-sama memastikan usaha penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman ini dapat dijalankan dengan efektif bagi kepentingan semua pihak.

Antaranya memastikan kelangsungan operasi perniagaan sektor PKS untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara di samping terus menjadi sektor utama dalam memberikan peluang pekerjaan.

Selain itu, memastikan perbelanjaan domestik dapat diteruskan dengan kestabilan kuasa membeli serta memastikan kualiti aset pinjaman dalam portfolio pihak bank dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

Sektor PKS negara mengalami pertumbuhan 5.8 peratus pada tahun lalu, berbanding 6.2 peratus pada 2018.

Prestasi sektor itu masih melebihi pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 4.3 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, sektor PKS menyumbang 38.9 peratus kepada keseluruhan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu, berbanding 38.3 peratus pada 2018.

Bagi tahun ini, sumbangan sektor PKS adalah dijangka 41 peratus, namun akibat isu pandemik yang melanda keadaan ekonomi global dan domestik, jangkaan itu besar kemungkinan tidak dapat dicapai.

Oleh itu, amat penting untuk pihak kerajaan memastikan kesinambungan sektor PKS ini dapat diteruskan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang dianggarkan dapat dipulihkan semula pada tahun hadapan.

Namun, dengan syarat penularan pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya dan tiada terjadi gelombang seterusnya.

Muhyiddin semalam mengumumkan pelaksanaan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar dengan memberi tumpuan kepada empat golongan bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Bantuan itu adalah untuk individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan belum mendapat pekerjaan baharu.

Moratorium lanjutan bersasar itu akan diberi untuk tempoh tiga bulan dengan syarat peminjam membuat permohonan kepada institusi kewangan.

Selepas tiga bulan, institusi kewangan boleh melanjutkan tempoh sekiranya individu masih gagal mendapat pekerjaan.

Kedua, bagi individu yang masih bekerja, tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bantuan bersasar adalah berbentuk bayaran ansuran yang dikurangkan selaras kadar pengurangan gaji, tertakluk kepada jenis pinjaman.

Bantuan berkenaan adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan oleh institusi kewangan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu yang memerlukannya.

Di samping itu, pertimbangan akan diberikan kepada peminjam lain, termasuk individu atau PKS, peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan COVID-19.

Antara kelegaan yang ditawarkan, termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau pelepasan lain yang sesuai.

Bagi peminjam sewa beli yang memerlukan bantuan, institusi kewangan akan menawarkan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

Penulis adalah Ahli Ekonomi Bank Muamalat

Berita Harian X