Ahad, 21 Jun 2020 | 11:01am

Penghayatan Rukun Negara mesti disebar luas

2020 ialah ulang tahun ke-50 pengisytiharan Rukun Negara. Ejaan asalnya Rukunegara, namun kini ditulis sebagai Rukun Negara.

Rukun bermaksud dasar, tiang, asas atau sendi. Dalam maksud lain, rukun bermakna tenang dan tenteram. Maka amat sesuai frasa Rukun Negara digunakan kerana ia adalah dasar asas negara demi mencapai kehidupan bernegara yang aman tenteram.

Pengisytiharan Rukun Negara dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1968. Pemasyhuran Rukun Negara dibuat ketika Parlimen Ketiga belum bersidang ekoran peristiwa 13 Mei. Parlimen Ketiga hanya bermula dengan mesyuarat pertama pada 20 Januari 1971.

Disebabkan ketiadaan Parlimen, apatah lagi dalam keadaan darurat, Yang di-Pertuan Agong yang memiliki kuasa dan kekuasaan tertinggi negara serta Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) memainkan peranan memulihkan ketenteraman. Oleh kerana kuasa dan kekuasaan tertinggi berada pada Yang di-Pertuan Agong, maka pengisytiharan Rukun Negara dibuat baginda, sekali gus menjadi suatu Pengisytiharan Diraja.

Istilah Pengisytiharan Diraja tidak digunakan secara meluas walaupun ia tidak asing dalam sistem beraja. Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah satu bentuk Pengisytiharan Diraja walaupun Perlembagaan tidak menggunakan istilah berkenaan secara harfiah.

Pengisytiharan Diraja bermaksud pengisytiharan yang dibuat atas nama ketua negara. Ia bertujuan menentukan dan memasyhurkan perkara dasar yang utama dan penting bagi negara. Pengisytiharan Diraja tidak semestinya dibuat dalam bentuk undang-undang atau menggunakan kuasa eksekutif, tetapi ia dibuat atas kapasiti ketua negara. Pemasyhuran Rukun Negara amat bertepatan dengan peranan takhta Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara (Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan).

Rukun Negara mendukung lima cita-cita negara, iaitu untuk mencapai perpaduan erat dalam kalangan warganegara dan negeri yang membentuk Persekutuan, memelihara cara hidup demokratik dengan mementingkan kedudukan bangsa dan negara.

Cita-cita juga merangkumi mencipta masyarakat adil dan saksama serta bebas daripada penindasan, memelihara masyarakat yang menerima perbezaan agama, adat resam dan budaya, selain menegakkan masyarakat progresif dalam penggunaan teknologi dan maklumat.

Bagi tujuan mencapai matlamat atau cita-cita negara yang lima itu, Rukun Negara menggariskan lima prinsip, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Dengan kata lain, lima prinsip Rukun Negara hendaklah sentiasa diamalkan bagi mencapai lima matlamat negara. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia boleh mengamalkan demokrasi, serta bersikap liberal terhadap amalan agama dan tradisi atau memelihara masyarakat progresif, tetapi semua itu hendaklah juga menghidupkan nilai ketuhanan.

Masyarakat Malaysia dibina atas agama dan kedudukan agama perlu dipertahankan. Masyarakat juga hendaklah sentiasa menumpahkan kesetiaan kepada Raja dan negara, mengangkat keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, serta mengamalkan kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan walaupun negara bergerak ke arah hidup secara demokrasi.

Ringkasnya matlamat negara dimasyhurkan dalam Rukun Negara ialah perpaduan dan kesaksamaan serta kecemerlangan. Jelas sekali bahawa Rukun Negara adalah peraturan asas membentuk pasak kenegaraan atau falsafah negara.

Justeru, Rukun Negara adalah tepat untuk dikenali sebagai Pengisytiharan Diraja kerana ia dimasyhurkan atas nama Yang di-Pertuan Agong, sekali gus dokumen pedoman dan tonggak utama kenegaraan Malaysia. Matlamat dan cita-cita negara serta prinsip Rukun Negara bertepatan dengan kedudukan, peranan dan fungsi takhta Yang di-Pertuan Agong sejak mula takhta ini dicadangkan keberadaannya dalam sistem negara.

Dokumen pengisytiharan Rukun Negara tidak meletakkan hukuman andainya ia tidak dipatuhi. Rukun Negara ialah peraturan kenegaraan bukan dalam bentuk undang-undang. Namun, ia mesti ditaati kerana ia adalah prinsip ketatanegaraan.

Walaupun begitu, terdapat undang-undang beriringan dengan prinsip Rukun Negara bagi menghukum ketidakpatuhan kepada elemen atau aspek yang ada dalam Rukun Negara. Maksudnya, terdapat undang-undang yang menyokongnya dengan mewujudkan kesalahan berkaitan aspek Rukun Negara.

Akta Hasutan antara contoh. Begitu juga dengan beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan seperti kesalahan memerangi Yang di-Pertuan Agong, kesalahan berkaitan agama, kesalahan berkaitan sistem demokrasi dan kesalahan membabitkan kesusilaan atau kemoralan.

Prinsip Rukun Negara juga diambil pedoman dalam beberapa keputusan mahkamah. Sebagai contoh, lihat kes The Ritz Hotel Casino Ltd & Anor v Datuk Seri Osu Haji Sukam dan Ng Kok Jooi v Public Prosecutor.

Bagi meraikan usia 50 tahun Rukun Negara, moga agensi kerajaan, seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan serta agensi lain mengambil tindakan proaktif menyebarluaskan Pengisytiharan Diraja ini. Dokumen asalnya perlu dipertontonkan kepada masyarakat umum bagi menyemarakkan lagi penghayatan Rukun Negara dan seterusnya menyumbang kepada keutuhan negara.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X