Khamis, 28 Mei 2020 | 9:17am
KERAJAAN mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi membendung penularan pandemik COVID-19. - Foto Saifullizan Tamadi
KERAJAAN mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi membendung penularan pandemik COVID-19. - Foto Saifullizan Tamadi

PKP percepat proses kehidupan normal baharu

Selepas memasuki fasa kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rata-rata rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan apa yang disifatkan normal baharu.

Meskipun kebanyakan berlaku sebenarnya bukanlah baharu, PKP mempercepatkan proses itu. Contohnya, pembelajaran secara dalam talian, mesyuarat secara sidang video atau secara maya dan pembelian secara dalam talian.

Namun ada juga yang dianggap baharu seperti nikah secara sidang video, tidak boleh bersalam, keluar rumah memakai pelitup muka dan perlu menggunakan cecair pencuci tangan.

Terkini selepas sebulan solat Tarawih di rumah, kita juga memasuki era normal baharu dengan mengerjakan solat sunat Aidilfitri juga di kediaman masing-masing.

Apa yang penting kehidupan normal baharu dengan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, mencuci tangan secara kerap dan mengamalkan dasar tidak bersalam akan terus menjadi amalan kehidupan kita seterusnya. Kealpaan akan mengakibatkan COVID-19 kembali mengganas.

Mungkin ramai menganggap PKPB seolah-olah berakhir selepas Aidilfitri. Ini berdasarkan pemerhatian sebahagian besar menjalankan aktiviti seharian tanpa memikirkan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Perlu diingat kita belum kembali kepada normal seperti kehidupan kita sebelum ini. PKP memasuki fasa kelima akan berakhir 9 Jun depan.

Orang ramai dinasihat menjalankan kehidupan seperti fasa kedua, ketiga dan keempat. Pada fasa berkenaan orang ramai begitu patuh kepada arahan kerana bimbang penularan wabak COVID-19.

Sudah tentu kita tidak boleh kembali kepada kehidupan normal buat masa ini agar apa yang berlaku di Hokkaido dan Singapura tidak berulang di sini.

Di Hokkaido misalnya, selepas ekonomi dibuka pada 16 Mac, sebanyak 18 kes sehari dilaporkan dan terus meningkat kepada 279 pada 14 April, mengakibatkan kerajaan mereka menguatkuasakan perintah kecemasan kedua. Kes di Hokkaido terus meningkat sebanyak 984 pada 15 Mei.

Begitu juga di Singapura apabila kes positif meningkat daripada 266 pada 17 Mac kepada 28,800 (19 Mei) menjadikan Singapura antara negara tertinggi merekodkan kes COVID-19 di Asia Tenggara.

Justeru jika kita mahu wabak ini berakhir segera dan rantaian COVID-19 dapat diputuskan, kita tidak boleh kembali kepada normal buat masa ini.

Suka atau tidak, pilihan di tangan kita sama ada mahu kembali normal atau mahu wabak COVID-19 dihentikan.

Jika kita mengambil mudah arahan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan (KKM), tidak mustahil kita akan menghadapi semula PKP.

Bayangkan jika lebih 1,000 kenderaan diarah berpatah balik dalam cubaan merentas negeri terlepas, pastinya kemungkinan penularan akan meningkat kerana COVID-19 menyerang tanpa dilihat, tidak mengira warna kulit dan kita tidak mengetahui siapa pembawa dan kontak.

Begitu juga apa berlaku pada sambutan Aidilfitri. Sebahagiannya gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, iaitu tiada kunjungan ziarah pada hari raya kedua. Ini dibuktikan 31 kompaun dikeluarkan.

Kegagalan mematuhi arahan dan SOP dikeluarkan kerajaan serta jika jumlah dijangkiti semakin meningkat, pastinya akan PKP dikuatkuasakan untuk fasa seterusnya.

Perjuangan kita melawan COVID-19 belum tamat, jadi patuhilah arahan agar kita semua beroleh kemenangan dalam melawan wabak ini. Kita pasti menang!

Penulis ialah Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) dan Pensyarah Kanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X