Selasa, 19 Mei 2020 | 11:00am

Usah biar maklumat sahih ditelan berita palsu

Keseriusan memerangi berita tidak tepat dalam menangani COVID-19 dimanifestasikan kerajaan melalui penubuhan Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Ia kena pada masa berikutan ketidaktentuan tersebar di dunia maya.

KKMM wajar dipuji kerana PRP berjaya mengawal penularan berita palsu. Jika ia tidak dikawal, sudah pasti keresahan rakyat tidak terbendung.

Masyarakat pula umumnya hanya menerima bulat-bulat berita sampai kepada mereka tanpa banyak soal. Jarang kita dapati ahli kumpulan dalam WhatsApp bertanyakan semula kesahihan berita dikongsikan melainkan terus menganggapnya betul. Kerajaan bertanggungjawab memperjelaskan fakta tidak tepat, apatah lagi yang disensasikan.

Jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai Unit Tindakan Khas (UTK) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki Pasukan Aturgerak Cepat, PRP KKMM pula diperlukan untuk memperjelaskan fakta ditularkan tukang gosip sensasi dan spekulator digital dengan pantas.

Dalam memastikan slogan Tidak Pasti, Jangan Kongsi mempunyai taringnya, dua akta dikuatkuasakan kerajaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan. Penjawat awam pula sahaja tertakluk kepada dua akta itu, bahkan bakal berdepan hukuman di bawah dua lagi undang-undang, iaitu Akta Rahsia Rasmi 1972 (Dokumen Rahsia Rasmi) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) terus mengukuhkan arahan kerajaan disampaikan melalui sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) yang meminta rakyat terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Adanya koordinasi maklumat kemas antara agensi kerajaan, tiada sebab untuk orang ramai mencipta alasan tidak tahu sehingga tidak patuh PKP. Pendekatan agresif dan bersepadu MKN serta KKMM ini berhasil.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui usaha menangani pandemik ini di seluruh dunia dikusutkan penyebaran maklumat tidak tepat dan tokok tambah melampau-melampau mengenai COVID-19. 'Infodemik' ialah istilah dipopularkan badan dunia itu, lebih berbahaya daripada virus COVID-19.

Berdasarkan Digital 2020 dikeluarkan Hootesuite and We are Social, kadar penembusan media sosial di negara ialah 81 peratus, iaitu meningkat 4.1 peratus berbanding 2018. Peningkatan ini membuktikan rakyat semakin ghairah menggunakan media sosial dalam kehidupan seharian.

Jika tidak dididik dan dikawal, lebih ramai terdedah kepada salah laku tanpa disedari. Kecenderungan menyebarkan maklumat palsu, menghina, mengapi-apikan, memfitnah dan menghasut boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman negara.

Banyak kejayaan dicapai kerajaan selama ini tetapi tidak disampaikan kepada rakyat dengan efektif. Akses maklumat pantas dan teknik penyampaian mudah difahami melalui teknologi digital perlu dimanfaatkan kerajaan secara agresif. Kurang mendapat gambaran sebenar mengundang pelbagai kritikan, tohmahan dan fitnah daripada rakyat.

Contohnya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019, kedudukan Malaysia melonjak ke kedudukan ke-51 pada 2019 berbanding kedudukan ke-61 pada 2018 dengan peningkatan skor daripada 47 kepada 53 mata. Ini menunjukkan usaha membanteras rasuah oleh kerajaan selari dengan kehendak rakyat. Namun, tidak ramai mengetahui pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan ke arah itu.

Bertitik tolak kesedaran ini, pemantauan dan penjelasan hebahan berita tidak tepat masih perlu diteruskan kerajaan pada fasa pasca-COVID-19. PRP KKMM hendaklah diperkukuhkan fungsinya dengan terma lebih mantap menjayakan banyak lagi agenda kerajaan di peringkat persekutuan.

Tidak terhenti di situ, kebolehlaksanaan mekanisme pelaksanaan PRP di peringkat negeri dan kerajaan tempatan wajar difikirkan. Maklumat tidak tepat atau ditokok tambah mengenai inisiatif, program serta projek di bawah bidang kuasa negeri dan kerajaan tempatan juga perlu diperjelaskan.

Ini harus dilakukan secara tuntas meliputi ketiga-tiga peringkat kerajaan bagi memerangi habis-habisan penyalahgunaan media sosial hingga akar umbi. Kesepakatan dan semangat kebersamaan dalam kalangan agensi kerajaan sekali lagi diperlukan demi rakyat dan negara.

Maklumat berkredibiliti tidak harus dibiarkan tenggelam dalam lautan maklumat palsu. Minda rakyat tidak harus dirosakkan pengaruh negatif maklumat dicurigai kerana ia aset paling berharga harus dipelihara.

Sesungguhnya, ruang di alam maya untuk dimanipulasi mereka tidak bertanggungjawab atau sekadar bersuka-suka, sama ada sedar atau tidak, tidak boleh dibiarkan berlarutan. Ia perlu disekat agar rakyat tenang dan aman daripada sensasi tidak berkesudahan.

Rakyat harus disedarkan bukan sahaja di media massa dan sosial, bahkan di lapangan melalui aksi rasa kilas dan papan iklan di lokasi strategik termasuk di lebuh raya. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) juga sentiasa terbuka kepada tokoh berwibawa untuk berkongsi idea, pengetahuan dan pengalaman dengan penjawat awam berkait isu ini melalui program seperti INTAN Executive Talk.

Kita perlu peka kepada apa akan terjadi dan menatijahkan sesuatu baik untuk diri, rakyat dan negara. Berbaloikah mengeluarkan ribuan ringgit akibat didenda, disaman atau dipenjara gara-gara keceluparan dalam hantaran serta komen di media sosial?

Sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2020, kelmarin, wajarlah rakyat mengamalkan sifat benar dalam menerima dan menyebarkan informasi agar tidak menimbulkan pelbagai masalah.

Penulis adalah Felo Penyelidik, Kluster Pembangunan Kepakaran, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X