Ahad, 17 Mei 2020 | 12:24pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Tambahan dana bantu usahawan PKS bertahan

Dalam perkongsian laporan keempat pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, antara lain mengulas mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menerusi laman Facebooknya, beliau memaklumkan sehingga 3 Mei lalu, pinjaman diluluskan bank dan dipersetujui terima oleh 6,840 PKS adalah berjumlah RM3 bilion.

Pada 8 Mei pula, media melaporkan Hong Leong Bank (HLB) mempermudahkan proses permohonan dan kelulusan untuk pinjaman PKS bagi membolehkan mereka mendapat Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) dengan segera dan tepat pada masanya.

Laporan itu memetik Ketua Perbankan PKS HLB, Terrence Teoh yang memaklumkan setakat 30 April lalu, bank berkenaan meluluskan RM1.3 bilion kemudahan di bawah SRF BNM untuk lebih 1,600 PKS merangkumi pelbagai sektor daripada perdagangan borong dan runcit, pembuatan serta pembinaan hingga pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

Perkara pertama menerjah fikiran saya adalah jumlah 6,840 penerima Dana Pinjaman Mudah PKS, iaitu mewakili kurang satu peratus daripada lebih 700,000 PKS di negara kita. Ia statistik yang menjadi asas pembentukan Pakej PRIHATIN dirangka Kementerian Kewangan.

Bagi pihak Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), saya amat gusar kerana melalui kajian kami, ramai pengusaha dan usahawan Melayu yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19, tidak berpeluang menerima dana khas ini.

Kami juga mendapati usahawan bukan Bumiputera yang menerima pinjaman menerusi dana ini juga, rata-ratanya mengeluh kerana pembiayaan diberikan tidak mencukupi selepas nilai permohonan dipotong daripada jumlah keperluan mereka yang sebenar.

Sebagai contoh, jika memerlukan aliran tunai RM300,000 untuk keperluan bagi tempoh enam bulan akan datang untuk membantu aliran tunai operasi, mereka cuma diberikan kelulusan dana RM100,000.

Ini menyebabkan keperluan aliran tunai yang mereka sangat perlukan masih tidak dapat dipenuhi, sekali gus memaksa usahawan yang berdepan masalah ini tutup kedai dalam jangka masa enam bulan berkenaan.

DPMM juga khuatir memikirkan nasib usahawan Melayu yang terkebelakang dalam menerima dana disediakan kerajaan bagi meringankan beban pengusaha PKS, apatah lagi kerana industri perbankan dilihat lebih selesa memberi bantuan pembiayaan kepada pelanggan mereka yang sedia ada.

Dalam hal ini, kecenderungan pihak bank mengutamakan pelanggan sedia ada tidak boleh disalahkan kerana lebih mudah memberikan bantuan pembiayaan kepada orang yang dikenali berbanding pelanggan baharu yang belum dikenali dan tidak dapat dipastikan kebolehpercayaan bayaran balik mereka.

Dalam kes HLB, penulis percaya tidak ramai usahawan Bumiputera yang berada dalam senarai lebih 1,600 PKS menerima pinjaman berjumlah RM1.3 bilion di bawah SRF BNM dan secara logik juga, pelanggan sedia ada mereka pasti lebih diutamakan.

Ini boleh menyebabkan usahawan Melayu terpinggir daripada menerima bantuan pembiayaan dan seterusnya mengakibatkan mereka 'gulung tikar' lebih awal, sekali gus mencipta situasi perkembangan sosioekonomi tidak sihat kerana jurang perbezaan antara kaum terus melebar.

Justeru, DPMM mencadangkan kepada kerajaan supaya dana untuk SRF ditambah sehingga RM20 bilion lagi dengan sebahagian daripadanya diperuntukkan kepada usahawan Melayu yang mewakili 294,000 daripada keseluruhan 700,000 usahawan PKS di Malaysia.

Langkah itu akan memastikan usahawan, termasuk pengusaha Melayu mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus meneruskan perniagaan mereka serta menggajikan pekerja yang mewakili 66 peratus atau 10 juta daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia.

Penulis ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Berita Harian X