Ahad, 22 March 2020 | 11:00am

Rakyat perlu bersatu hapus wabak

Sedih, kecewa, dukacita dan hairan. Begitu perasaan yang boleh digambarkan waktu ini apabila mengikuti perkembangan terhadap tindak-tanduk dan sikap segelintir rakyat Malaysia.

Ramai masih berdegil atau sengaja tidak faham dengan fenomena wabak yang sedang melanda dunia serta negara kita waktu ini.

Masuk hari kedua selepas Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, seperti dilaporkan hanya 60 peratus rakyat Malaysia yang akur dengan arahan. Apa sebenarnya yang ada dalam benak fikiran baki 40 peratus lagi.

Ada antara mereka apabila disoal, masih memberi pelbagai alasan. Antaranya ingin berjumpa kawan berkumpul untuk berbual kosong, masih minum pagi bersama rakan, malah lebih mengecewakan masih bermain dam dengan alasan kononnya tak tahu.

Apa punya alasan dan sikap golongan ini sebenarnya? Kalau pun mereka tak sayangkan nyawa sendiri, beri peluang kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan.

Satu lagi, dalam pada segala usaha dilakukan ini, sepatutnya ia merentasi ideologi politik, bangsa, kaum mahupun agama. Namun, situasi genting yang memerlukan sokongan semua pihak, diparahkan dengan cubaan mempolitikkan situasi.

Masih kedengaran di sana sini kritikan demi kritikan, malah tuntutan untuk pihak atau individu tertentu meletakkan jawatan dan sebagainya, bersandarkan ideologi politik yang hanya gemar mencari salah.

Soal salah tindakan itu dan ini untuk ditegur tidak menjadi kesalahan, cuma nawaitu biar betul. Sepatutnya pada waktu ini semua pihak memberi komentar dan pandangan membina serta bekerja bersama, bukan hanya mencari kelemahan untuk mendabik dada.

Agaknya apalah kepuasan dapat diraih, selain menambahkan keperitan yang sedang kita alami.

Tak cukup dengan politik, timbul pula komen dan kritikan terhadap keputusan majlis fatwa untuk menghentikan aktiviti keagamaan. Maha suci Allah, tiada siapa yang boleh menafikan keesaan dan kuasa mutlak Allah SWT terhadap hamba-Nya. Itu pasti dan tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.

Cuma harus diingat dan perlu terbuka sedikit minda dan akal supaya mengingati pesan Allah supaya berikhtiar, berusaha dan mengelak sebelum bertawakal dalam menghadapi apa jua dugaan.

Malah, pengalaman yang berlaku pada waktu ini juga pernah terjadi ketika zaman Rasulullah SAW dahulu.

Jadi, tidak apa yang dilakukan pada waktu ini terlalu menyimpang atau boleh berterusan dikritik dan tidak dihiraukan atas pendirian peribadi atau kumpulan, tanpa memikirkan kesejahteraan orang lain. Bukankah ini juga tuntutan dalam agama? Fikir-fikirkanlah.

Andai kata kita semua faham dan benar menghayati nilai hidup bermasyarakat dan benar bertakwa, keputusan yang dibuat secara musyawarah dan fatwa daripada golongan berwajib yang mewakili kita, selayaknya kita akur dan mentaati arahan demi kemaslahatan semua pihak.

Pada saat kita diuji ini sebaiknya kita patuh pada arahan pemerintah dan seterusnya semua itu harus didukung dan disokong pula dengan segala bentuk aktiviti spiritual di rumah, berdoa bermunajat dan berserah kepada tuhan.

Melihat perkembangan semasa waktu ini, tidak pernah terduga masih ada segolongan rakyat Malaysia yang mempamerkan sikap mendukacitakan seperti dilaporkan.

Tamak, angkuh, ego, mementingkan diri sendiri dan terlalu taksub dengan kepercayaan dan pendirian, sebaiknya diketepikan malah dibuang jauh.

Fahami hasrat dan niat semua pihak yang sedang berjuang dan berjihad bermati-matian demi memulihkan situasi getir yang sedang melanda negara pada waktu ini.

Sudah-sudahlah. Kita tak punya banyak masa untuk mengawal dan mengekang wabak ini. Semua pihak berwajib boleh terus berusaha, namun akhirnya, kalau bukan kita siapa lagi?

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Malaysia Sarawak

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X