Jumaat, 20 March 2020 | 11:48am
Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Kuching menuju pusat bandar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Kuching menuju pusat bandar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Selamatkan Malaysia, jangan pentingkan diri

Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu adalah perintah kedua yang saya alami.

Saya alami Perintah Kawalan Pergerakan pertama adalah perintah berkurung ketika zaman kanak-kanak di Sarawak. Ketika itu, saya baru berusia dalam lingkungan enam atau tujuh tahun. Namun, saya masih ingat diberitahu ibu bapa saya bahawa ada perintah berkurung pada waktu malam untuk beberapa hari.

Kami tidak dibenarkan keluar dari rumah pada waktu malam dan kelibat askar melakukan rondaan masih segar dalam ingatan. Bagaimanapun, kerana usia terlalu muda, saya tidak bimbang mengenai makanan atau keperluan hidup.

Namun, apabila Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan kali ini, ia untuk tujuan berlainan dan bukan satu perintah berkurung.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan ini diumumkan, terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenainya. Saya dan ramai lagi meneliti setiap baris ucapan berkenaan. Adakah ini satu arahan perintah berkurung?

Adakah kami perlu keluar membeli makanan dan segala keperluan asas dengan segera? Apakah yang perlu kami lakukan untuk pelajar dan kerja kami sebagai pakar kesihatan awam dalam universiti?

Tatkala rakan saya meneliti kandungan Perintah Kawalan Pergerakan terbabit, saya mendapat ilham memberi nama baharu kepada perintah kali ini.

Ada beranggapan ia perintah berkurung atau sering disebut lockdown dan curfew, tetapi itu ternyata tidak betul.

Saya menamakan Perintah Kawalan Pergerakan ini sebagai ‘Penjarakan Sosial Paksaan.’ Ia langkah kawalan untuk mengurangkan jangkitan daripada seorang pesakit kepada orang lain.

Tujuannya untuk meningkatkan jarak fizikal antara manusia atau mengurangkan kekerapan perkumpulan manusia dalam suasana padat seperti sekolah, universiti dan tempat kerja.

Ia terpaksa dilaksanakan pemerintah kerana menjarakkan sosial secara sukarela tidak diikuti sepenuhnya orang ramai.

Penjarakan Sosial Paksaan mesti dilaksanakan kerana pandemik COVID-19 amat merisaukan masyarakat lantaran skala dan kepantasan ia merebak.

Ia berbeza dengan perintah berkurung yang bermaksud semua pergerakan keluar rumah mesti dihentikan, sedangkan apa yang berlaku bermakna pergerakan kita terhad dan bersyarat.

Apa yang penting, kita mesti patuhi Penjarakan Sosial Paksaan ini secara serius! Jika tidak, usaha ini sia-sia sahaja.

Bagaimanakah kita hendak pastikan ia berkesan? Antara yang utama, kita tidak sepatutnya mengambil kesempatan untuk bercuti dan balik kampung.

Kita juga tidak perlu panik dan keluar membeli stok makanan di pasar raya secara berlebihan. Kita juga tidak harus menghadiri acara sosial atau keagamaan.

Penjarakan Sosial Paksaan ini tidak mendiskriminasi mana-mana bangsa atau agama. Ia jauh sekali bertujuan menyusahkan kehidupan kita.

Tidak kisahlah jika sesuatu acara kita rancangkan hanya berlaku sekali dalam setahun. Kita jangan pentingkan diri sahaja. Fikirkan juga orang tersayang. Penjarakan Sosial Paksaan bertujuan untuk melindungi kesihatan kita semua, terutama sekali golongan paling berisiko.

Ini termasuk anggota keluarga kita yang sudah berusia dan yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit paru-paru.

Sikap mementingkan diri bermakna kita membahayakan kesihatan orang lain dan kesannya mungkin sesuatu yang kita sendiri tidak inginkan.

Saya ingin menyeru semua warga Malaysia untuk mematuhi Penjarakan Sosial Paksaan secara serius dan mengurangkan interaksi fizikal dengan orang lain.

Kita boleh gunakan media sosial sebagai alternatif. Kita boleh gunakan masa lapang ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga di rumah, makan dan menonton TV bersama.

Anggaplah ini sebagai khidmat negara yang kita semua boleh lakukan kerana menurunkan kes COVID-19 akan mengurangkan kepenatan dan risiko jangkitan kepada wira tidak didendang kita yang sedang bertungkus-lumus membendung wabak ini.

Ingatlah pekerja kesihatan juga mempunyai keluarga masing-masing yang sentiasa bimbang keselamatan mereka. Namun, demi negara dan rakyat Malaysia, mereka terus berjuang dalam ‘peperangan’ mencegah, menangani, mengubati serta menjaga mereka dijangkiti wabak COVID-19.

Walaupun ini sesuatu yang mungkin pelik, mengasingkan diri daripada warga Malaysia lain bermakna kita membantu untuk menyelamatkan warga Malaysia.

Marilah kita jayakan Penjarakan Sosial Paksaan ini bersama untuk menyelamatkan negara yang kita cintai ini.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Profesor Epidemiologi di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya (UM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X