X
Isnin, 16 March 2020 | 11:00am
Pada 11 Mac lalu, WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik. - Foto hiasan
Pada 11 Mac lalu, WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik. - Foto hiasan

Perangi COVID-19 dengan kerjasama, perpaduan

ANTARA ungkapan menarik dalam novel terkenal abad ke-19, Pride and Prejudice karya Jane Austen, ialah ‘keangkuhan menyekat orang lain menyintai saya, manakala prasangka menyekat saya menyintai orang lain.’

Ungkapan itu meninggalkan tanggapan mendalam, iaitu keangkuhan dan prasangka jadi penghalang hubungan manusia.

Begitu juga dalam hubungan antara negara. Keikhlasan dan keramahan membantu jalinan hubungan, sedangkan komplot dan pengasingan menghasilkan pertentangan serta perselisihan.

Kita perlu belajar daripada kisah itu. Awal tahun ini, COVID-19 menular ke seluruh dunia. Dengan bimbang dan prihatin, saya memerhatikannya sejak ia berlaku hingga tidak dapat tidur lena.

Nampaknya, keadaan COVID-19 mula berubah. Perjuangan memerangi wabak ini sudah menjadi usaha global, bukan sahaja di China. Apa yang menggalakkan adalah keadaan di Hubei dan seluruh China semakin pulih.

Setakat 12 Mac, jumlah kes positif baharu di China sudah kurang daripada 10, manakala kes positif baharu tempatan di wilayah selain Hubei menjadi sifar selama lima hari berturut-turut, melainkan beberapa kes import. Jumlah kes positif baharu di pusat epidemik, iaitu Wuhan kurang daripada 10 selama dua hari berturut-turut.

Namun, apa membimbangkan ialah COVID-19 menular di serata dunia. Pada 11 Mac lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai pandemik.

Menurut Ketua Pasukan Pakar WHO ke China, Dr Bruce Aylward, dengan angka jangkitan kian meningkat pada peringkat global, semakin ramai bertanya bagaimana China mengekang dan memerangi virus? Jawapannya, kelajuan, wang dan keberanian.

Kerajaan China mengambil langkah paling komprehensif membendungnya. Misalnya, sekatan pergerakan keluar masuk di pusat epidemik bandar Wuhan, membina beberapa hospital dalam tempoh singkat, mengatur pelbagai sumber dari seluruh negara untuk menyokong Hubei serta beberapa wilayah mencipta ‘pengurusan tutup’ di komuniti kediaman.

Ia bukti tanggungjawab China sebagai kuasa besar, kepakaran doktor dan kakitangan perubatan serta kesedaran rakyatnya. Menurut laporan pasukan pakar China-WHO, 24 Februari, negara itu mengambil tindakan paling berani, fleksibel dan proaktif dalam sejarah untuk membendungnya.

Hasilnya kira-kira 100,000 kes dapat dihalang berlaku, pembendungan pertama dibina untuk mencegah penyebaran wabak. Dengan terharu, Dr Aylward berkata: “Kita mesti faham sumbangan rakyat Wuhan, dunia terhutang budi kepada rakyat Wuhan.”

Namun, suara bising sentiasa terdengar ketika China giat menangani wabak COVID-19. Sesetengah media Barat menamakan ‘virus China’ atau ‘pneumonia Wuhan’. Ahli politik Amerika Syarikat (AS) yang anti-China menyebar berita palsu COVID-19 senjata biokimia makmal Wuhan.

Ketua Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, berkata COVID-19 ialah fenomena global, wujud merata dunia. Malangnya virus ini didapati di sesuatu tempat.

Kita jangan menyalahkan tempat asal virus itu, tetapi fokus menangani dan membendungnya. Menurut pakar respiratori terkenal China dan ahli Chinese Academy of Engineering, Dr Zhong Nanshan, COVID-19 mula-mula didapati di China, tetapi tidak semestinya virus itu berasal dari China.

Tidak kira dari mana asalnya, semua negara ialah mangsa COVID-19. Seramai 27 ahli sains global, termasuk pakar perubatan kesihatan awam Malaysia, Prof Datuk Dr Lam Sai Kit, menandatangani kenyataan bersama mengutuk teori konspirasi kononnya coronavirus buatan manusia.

Wabak influenza H1N1 yang berlaku di AS pada 2009 pernah menular ke 214 negara dan mengorbankan ratusan ribu nyawa. Apakah negara dan kawasan terjejas meminta AS mohon maaf?

Namun, apa mengharukan ialah sokongan tidak ternilai pelbagai negara kepada rakyat China dalam perjuangan memerangi wabak ini. Seperti serangkap puisi China: “Walaupun berpisah jauh, hujan sama turun, bulan sama berseri.”

Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia memberikan bantuan kepada China dengan cara tersendiri seperti menderma duit atau barang, mencipta lagu serta video untuk memberi semangat.

“Derma emas boleh dibayar, derma budi dibawa mati.” Setiap perkataan jiayou (jadilah kuat) disebut dan setiap bantuan diberikan Malaysia, memaparkan kasih sayang serta persahabatan seperti bukit sama didaki, lurah sama dituruni.

Bak kata pepatah China, jika beri aku buah betik, aku balas permata jed. Rakyat China yang pentingkan membalas budi, sentiasa mengingati sokongan dan bantuan itu.

Hakikatnya China berkongsi rancangan pencegahan dan pengawalan jangkitan COVID-19 dengan semua termasuk WHO, menghantar pasukan pakar perubatan, bahan perubatan serta reagen pengesanan virus ke negara terjejas termasuk Iran, Korea dan Itali.

COVID-19 ialah musuh segala manusia yang sudah terjalin sebagai satu komuniti berkongsi masa depan. Hanya dengan kerjasama dan perpaduan, baru kita mampu memeranginya.

Kita harus mengalahkan kejahilan dengan sains, menghapuskan prasangka dengan kerjasama dan membina bendungan global untuk menghalang COVID-19.

Pride and Prejudice berakhir dengan keputusan gembira, mungkin kerana wataknya menghapuskan keangkuhan dan prasangka. Semoga perasaan sama tidak lagi wujud di dunia kita. Mudah-mudahan kita menyambut pengakhiran gembira dengan berjaya memerangi COVID-19 dalam masa terdekat.

Penulis adalah Duta Republik China ke Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X