Selasa, 3 March 2020 | 11:00am
Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bertunjangkan tiga strategi utama iaitu menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bertunjangkan tiga strategi utama iaitu menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Teruskan agenda kesejahteraan, kemakmuran rakyat

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentangkan Khamis lalu, bertunjangkan tiga strategi utama iaitu menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Tema dipilih - Memperkukuhkan Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan - diyakini menjadi pemangkin strategi jangka pendek ini untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih komprehensif.

Sejumlah RM20 bilion disuntik kerajaan mampu merangsang dan merancakkan kembali pertumbuhan mana-mana sektor terjejas susulan penularan COVID-19, kepada semua sektor, khususnya berkaitan kelompok B40.

Contohnya, bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup (BSH) RM200 yang sepatutnya dibayar Mei ini, diumumkan akan dipercepatkan pembayarannya pada bulan ini.

Langkah ini mampu merangsang dan merancakkan kembali permintaan domestik dalam kalangan B40. Mungkin ada menganggap ia tidak memberi apa-apa kesan, tetapi golongan ini berasakan ia sebagai rahmat dan rezeki.

Pemberian BSH yang diawalkan akan mempertingkatkan kuasa beli B40 untuk menyelesaikan pelbagai bayaran tertangguh seperti bil utiliti, yuran pengajian anak serta bayaran hutang kedai runcit. Penerima turut mendapat bayaran tambahan RM100 pada Mei ini, selain RM50 disalurkan melalui e-tunai.

Namun, timbul kebimbangan mengenai pelaksanaan e-tunai dalam kalangan B40 khususnya di luar bandar kerana rata-rata ialah petani, penternak dan nelayan yang menginjak usia emas. Keupayaan mengakses serta mengaplikasi kemudahan teknologi sepenuhnya dalam kehidupan seharian agak terbatas.

Dalam konteks sebegitu, agak sukar untuk mengimplementasi kemudahan e-tunai tanpa sokongan kemudahan teknologi melalui telefon pintar dimiliki. Justeru, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme yang dapat membantu mereka dalam penggunaan e-tunai secara berkesan.

Kita tidak mahu hak mereka dinafi untuk menikmati limpahan pembangunan negara, seandainya tiada mekanisme dan sokongan teknologi bagi membantu B40 secara kolektif dalam soal ini.

Kerajaan juga prihatin kepada penghidupan rakyat, terutama golongan B40 berkecimpung dalam sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama. Golongan ini dianggap nadi pengeluaran makanan negara. Kenaikan harga input pertanian, kos sara hidup serta perubahan cuaca tidak menentu menjadi antara kemudahterancaman yang sering dihadapi golongan ini.

Situasi ini secara tidak langsung memberi kesan kepada hasil pengeluaran, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan. Menyedari keperitan golongan ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Tabung AgroFood di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM1 bilion.

Pelaksanaan tabung ini bukan hanya untuk menggalak dan merangsang aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan domestik serta eksport, malah mencakupi hasrat meningkatkan pendapatan golongan B40 yang terbabit dalam sektor ini, sekali gus mengurangkan kos sara hidup.

Petani, peladang dan penternak yang terbabit dalam pengeluaran makanan negara harus merebut peluang ini bagi mempertingkatkan hasil pengeluaran, sekali gus berupaya meningkatkan hasil penghidupan.

Agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Jabatan Pertanian harus mengambil inisiatif mengenal pasti golongan petani, peladang dan penternak berpotensi supaya dapat menikmati kesan limpahan di atas pelaksanaan tabung itu.

Namun, proses permohonan tabung perlu dipermudah dan mempunyai akauntabiliti tinggi bagi memastikan pengagihan sumber dana mencakupi pelbagai bidang dan pihak secara komprehensif serta kondusif.

Bagi memastikan jaminan keselamatan makanan rakyat dan secara berterusan pada harga rendah, pakej ini turut memperuntukkan RM10 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menyediakan kemudahan simpanan makanan dengan hasrat agar harga dapat dikurangkan.

Inisiatif ini menjelaskan kerajaan menekankan kebajikan rakyat khususnya golongan B40 untuk mendapat makanan tanpa sebarang sekatan dengan kadar harga mampu diperoleh.

Dalam konteks menyediakan kemudahan simpanan bekalan makanan secara berterusan, FAMA berkemampuan menjalinkan hubungan secara langsung dengan agensi kerajaan yang bertindak sebagai pengeluar makanan.

PPK sebagai contoh, dilihat antara agensi terbabit secara langsung dan pemangkin kepada pengeluaran makanan negara. Keterbabitan dan sokongan antara agensi khususnya memastikan bekalan makanan terjamin sepanjang masa perlu diperkukuhkan melalui pelbagai bentuk rantaian program dan hubungan kerjasama lebih komprehensif serta berupaya memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak.

Dengan pelantikan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diyakini pelbagai pembaharuan dan transformasi bakal dilakukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat khususnya golongan B40.

Pada masa sama, saf kepimpinan Muhyiddin perlu mempunyai aspirasi jelas dan holistik bagi meletakkan agenda kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sebagai sasaran utama dalam pembangunan negara.

Penulis adalah Profesor Madya di Pusat Pangajian Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X