Khamis, 27 Februari 2020 | 11:38am

Mandat akhir milik rakyat

MALAYSIA mencipta sejarah dalam konteks buat kali pertama negara mempunyai Perdana Menteri interim.

Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik Yang di-Pertuan Agong melalui peruntukan kuasa yang ada pada baginda yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tujuan beliau dilantik bagi memastikan struktur eksekutif negara terus berjalan apabila seluruh jawatan Kabinet terbatal susulan peletakan jawatan Dr Mahathir sebelumnya.

Langkah Sheraton yang dikatakan petanda kebangkitan baharu Perikatan Nasional menjadi punca utama peletakan jawatan Dr Mahathir.

Perikatan Nasional dikatakan mempunyai mandat lebih 130 Ahli Parlimen untuk membentuk gagasan baharu dalam politik tanah air. Dr Mahathir sepatutnya mengetuai perikatan ini dan terus kekal menjadi Perdana Menteri.

Namun, Perikatan Nasional menerima kejutan kerana Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, apabila dilaporkan tidak bersetuju dengan langkah mewujudkan kolaborasi bersama UMNO.

Rakyat menerima kejutan dengan penuh tanda tanya dan perkataan Perdana Menteri interim tiba-tiba popular.

Interaksi rakyat mencetus fenomena keghairahan perbincangan isu politik tanah air. Keterujaan interaksi menjadikan isu politik bertukar trend dalam hampir semua saluran media khususnya media sosial.

Namun, secara fakta ia bukan permainan rakyat, tetapi senario pergolakan dalam kalangan Ahli Parlimen yang sepatutnya berada di Dewan Rakyat untuk kepentingan rakyat.

Permainan ini adalah permainan golongan politik yang bergelut untuk mencari penyelesaian dalam kecelaruan politik tanah air. Rakyat akhirnya adalah penonton yang melepaskan keresahan di dalam saluran media sosial.

Ketidaktentuan politik memuncak apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH). Kesannya, PH hilang dominasi dan majoriti bagi membentuk kerajaan.

Ketidaktentuan politik negara semakin kompleks apabila Muafakat Nasional yang pada awalnya gah mengatakan mereka mempunyai sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan, menarik balik sokongan terhadap Dr Mahathir.

Akhirnya wujud dua blok pakatan yang rapuh dan tidak mampu membentuk kekuatan bagi membentuk kerajaan.

Dalam konteks ini kewibawaan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara bagi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 31(2) dan memilik kuasa dan hak eksekutif Persekutuan yang juga digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 39 akan diuji.

Baginda perlu membantu menyelesaikan kemelut ini dengan bijaksana. Terbukti kewibawaan dan ketenangan yang dimiliki baginda dalam menghadapi ketidaktentuan politik negara amat disanjungi.

Baginda kelihatan tenang dan menterjemahkan imej sebagai pemerintah tertinggi keselamatan Angkatan Tentera Persekutuan seperti terkandung dalam Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan. Jelas terbukti fungsi baginda amat penting dan kritikal dalam situasi sebegini.

Terkini, polemik antara sokongan majoriti bagi melantik Perdana Menteri dan pembubaran Parlimen menjadi faktor penentuan hala tuju pembentukan kerajaan.

Dr Mahathir juga memberi gambaran mungkin sudah tibanya Malaysia mempunyai kerajaan campuran. Satu faktor yang mengakibatkan Muafakat Nasional menarik kembali sokongan kepada beliau.

Adakah kerajaan campuran satu resolusi yang boleh membentuk kerajaan lebih baik pada pengakhiran kemelut episod politik negara?

Parti adalah penterjemahan suara rakyat. Muafakat Nasional tegas dengan pendirian menolak parti yang tidak sealiran dengan perjuangan parti mereka.

Stigma kerajaan perpaduan mungkin dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada penyokong parti yang masih mengekalkan pendekatan konservatif dalam percaturan politik yang berasaskan maruah dan identiti.

Namun, alternatif kerajaan campuran adalah satu bentuk kesepakatan yang mungkin perlu dinilai kerana ia juga dipraktiskan di negara lain. Apa yang lebih utama adalah teras kerajaan campuran harus bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip negara.

Hak istimewa dan keseimbangan ekonomi tidak boleh membelakangkan prinsip itu. PH harus mengambil iktibar agar lebih peka dengan sentimen berkaitan prinsip itu sekiranya kembali membentuk kerajaan.

Namun, jika tiada solusi maka rakyat harus diberi mandat menentukan hala tuju negara. Gelanggang harus dibuka kepada rakyat dan pembabitan rakyat yang akan menentukan kuasa milik siapa.

Akhirnya, mandat akhir adalah milik rakyat dan Ahli Parlimen harus mempunyai tanggungjawab bersama-sama untuk cuba menyelesaikan kemelut politik negara sebelum rakyat mengambil alih dan menentukan nasib mereka.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X