Jumaat, 14 Februari 2020 | 12:15pm
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg. - Foto L Manimaran

PRN Sarawak: Menunggu Abang Jo lancar 'torpedo'

Sebaik 2020 membuka tirai lebih sebulan lalu, ramai pemerhati politik mula mengarahkan tumpuan ke Sarawak, menjangkakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) bakal berlangsung tahun ini.

Ada cakap-cakap membayangkan Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selaku ‘Panglima’ Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan PRN-12 tahun ini, setahun sebelum tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak matang pada Jun 2021.

Pelbagai teori kedengaran, antara yang popular adalah mengaitkan keadaan politik di Semenanjung yang kini dilihat dalam situasi tidak menentu.

Keadaan semasa politik di Semenanjung dikatakan memberi kelebihan kepada GPS untuk mengukuhkan peluang mengekalkan kuasa di Sarawak dengan kekuatan sendiri selepas lebih 50 tahun berada dalam gabungan Barisan Nasional (BN).

Pengumuman pelbagai projek besar untuk rakyat yang bernilai jutaan ringgit pada setiap program dihadiri Ketua Menteri di segenap pelusuk negeri, juga dilihat sebagai petanda PRN-12 semakin hampir.

Abang Johari atau lebih popular dengan nama Abang Jo yang mengambil alih pucuk pimpinan negeri selepas pemergian Tan Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan pada 11 Januari 2017 seperti tidak terpengaruh dengan pelbagai andaian itu.

Namun, kenyataan beliau ketika menghadiri satu majlis di Limbang, baru-baru ini yang menyifatkan DUN Sarawak sudah memasuki ‘waktu Maghrib’ boleh diambil sebagai petunjuk.

“Dalam amalan wajib umat Islam, ada lima waktu solat, iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Saya menyebut Maghrib bukan Isyak lagi. Saya tidak pasti (bila PRN-12), tetapi anda fikirlah lima waktu solat itu apabila saya sebut waktu Maghrib,” katanya.

Secara tersirat, Abang Johari memberi bayangan DUN Sarawak sudah memasuki tahun keempat susulan PRN pada 7 Mei 2016. Penjelasan itu disambut gelak ketawa pemimpin GPS lain.

Jika dilihat proses PRN Sarawak sejak kali pertama ia diadakan berasingan dengan pilihan raya peringkat kebangsaan pada 1979, tiga PRN diadakan apabila tempoh DUN genap lima tahun, tiga lagi dalam tempoh empat tahun lebih selepas pilihan raya negeri sebelumnya dan sekali dalam tempoh hanya lebih tiga tahun.

Kali pertama PRN Sarawak diadakan ialah selepas pembentukan Malaysia, dilangsungkan secara berperingkat serentak seluruh negara bermula 10 Mei 1969 hingga 7 Jun 1969 kerana sistem pengangkutan dan komunikasi pada masa itu belum sempurna.

Akibat peristiwa 13 Mei tahun sama di Semenanjung diikuti pengisytiharan darurat, pilihan raya ditangguhkan sehingga diadakan semula pada 6 Jun 1970 dan selesai pada 4 Julai 1970.

Empat tahun kemudian, PRN kedua masih diadakan serentak dengan Semenanjung, bermula 24 April hingga 14 September 1974, diikuti pilihan raya negeri seterusnya pada 1979.

Berdasarkan sejarah 11 pilihan raya negeri terdahulu, PRN-12 tidak mustahil boleh diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang atau mungkin Abang Johari mahu memilih melengkapkan penggal DUN yang diwarisinya daripada Allahyarham Tok Nan genap lima tahun, iaitu sehingga Jun tahun depan.

Penutup butang sudah dibuka, kini terpulang kepada Abang Johari untuk menentukan masa sesuai menekannya bagi melancarkan ‘torpedo’ sulung GPS untuk menghadapi saingan getir Pakatan Harapan (PH) selaku Kerajaan Persekutuan.

PRN-12 yang dianggap ibu segala pilihan raya bagi Sarawak juga akan menyaksikan GPS bakal menghadapi saingan BN, gabungan parti ditunjangi UMNO yang pernah menaungi majoriti parti membentuk kerajaan negeri ini sejak lebih 50 tahun lalu.

Namun, parti mana yang akan membawa lambang dacing, masih samar.

Harus diingat, simbol dacing sudah sebati dalam benak fikir pengundi, khususnya golongan veteran di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Silap percaturan, mereka masih menganggap parti berlambangkan dacing masih pemerintah Sarawak sekarang.

Selain cabaran sengit daripada parti Kerajaan Persekutuan, gabungan parti pemerintah pasti berdepan satu lagi parti mesra GPS sebelum ini, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang diketuai Datuk Seri Wong Soon Koh yang kini semakin ghairah meraih sokongan di kawasan pengundi Bumiputera.

PSB sudah awal-awal lagi mengumumkan akan meletakkan calon di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Saingan mereka tidak boleh dianggap remeh kerana sebahagian besar calon yang bakal dipertaruhkan juga adalah bekas ahli GPS.

Abang Johari harus melihat secara serius, bukan sahaja tentangan PH yang bercita-cita besar membentuk kerajaan negeri, tetapi juga saingan bekas rakannya, baik dalam BN, mahupun PSB.

Yang pasti, PRN-12 bukan sahaja gelanggang pertama buat GPS, tetapi juga ujian sulung Abang Johari selaku ‘panglima’ empat parti yang membentuk gabungan memerintah Sarawak ketika ini.

Berita Harian X