Isnin, 10 Februari 2020 | 11:00am
Indeks Persepsi Rasuah dunia di https://www.transparency.org/
Indeks Persepsi Rasuah dunia di https://www.transparency.org/

Indeks Persepsi Rasuah bukti inisiatif berhasil

Usaha kerajaan memerangi rasuah, memperkasakan tadbir urus dan integriti masyarakat secara tegas serta menyeluruh pada 2018, menampakkan hasil memberangsangkan.

Penghujung Januari lalu, Transparency International (TI) mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia meningkat kepada 53 mata pada 2019 berbanding 47 mata pada 2018, sekali gus menduduki tangga ke-51 daripada 61 pada 2018.

Kejayaan ini membuktikan beberapa inisiatif dan tindakan segera kerajaan dalam memerangi rasuah yang diselaras secara sistematik di bawah penubuhan Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah (GIACC) di bawah Tan Sri Abu Kassim Mohammad, mula menampakkan hasil.

GIACC ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan gerakan antirasuah negara.

Ia juga bertanggungjawab merancang, merumus strategi dan menilai dasar dalam memastikan semua urusan kerajaan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik, berintegriti dan toleransi sifar terhadap rasuah.

Rujukan dan panduan utama dalam usaha memerangi rasuah ini turut disediakan kerajaan seperti terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 29 Januari 2019.

NACP mempunyai 115 inisiatif, enam strategi dan enam bidang keutamaan yang semuanya bertujuan untuk membanteras, memerangi dan menyekat rasuah di negara ini.

Ketika pelancaran NACP ini, skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2018 ialah 47/100 mata dan berada pada kedudukan 61/180.

Berikutan itu, Institut Integriti Malaysia (IIM) diberi peranan dalam usaha ini seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada September 2018.

IIM diminta membantu GIACC pada peringkat operasi dengan memainkan peranan dalam pembangunan kapasiti keupayaan dan kompetensi kepada semua sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta korporat menerusi penekanan terhadap penggunaan instrumen dan perkhidmatan yang ditawarkan agensi itu.

Berikutan itu IIM menawarkan beberapa produk dan perkhidmatan yang memfokuskan untuk meningkatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Antaranya, ialah Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang menjadi salah satu inisiatif mandatori di bawah NACP khususnya dalam ‘Memperkukuhkan Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan Awam’.

Ia bertujuan membantu organisasi untuk membangunkan rancangan strategik antirasuah korporatnya sendiri.

Menggariskan penyataan masalah, pendekatan dan program berkaitan dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan.

OACP bertindak membantu organisasi menentukan peruntukan sumber yang sesuai untuk memenuhi dasar yang ditetapkan, menentukan jangka masa yang munasabah dan menggariskan laluan ke arah pencapaian objektif strategik organisasi.

Di samping itu, IIM diminta membantu organisasi kerajaan dan swasta dalam membangun dan mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 - Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).

Pensijilan ini adalah sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi secara sukarela bagi membantu organisasi untuk mencegah, mengesan dan menangani rasuah. Pematuhan kepada pensijilan ini akan mula dikuat kuasa pada Jun 2020.

Ia memerlukan organisasi untuk menerima dasar antirasuah, melantik seseorang untuk mengawasi pematuhan antirasuah, latihan, penilaian risiko dan ketekunan wajar atau due diligence terhadap projek dan rakan perniagaan.

Melalui pensijilan ini organisasi mesti menyediakan keperluan dan panduan untuk mewujud, melaksana, mengekal dan memperbaiki sistem pengurusan antirasuah, malah ia boleh wujud secara bebas, disepadukan dengan sistem sedia ada atau menjadi sistem pengurusan keseluruhan.

Organisasi ini juga boleh mengenal pasti dan mengkaji semula risiko yang berkaitan dengan ancaman rasuah dengan melaksanakan kawalan kewangan dan komersial, melaksanakan prosedur pelaporan dan penyiasatan.

Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) pula satu alat pengurusan yang efektif dalam menangani isu risiko rasuah dan mewujudkan sistem pengurusan yang bercirikan antirasuah dan mendukung nilai integriti.

Ia menekankan analisis data kesalahan rasuah, selain mengenal pasti punca dan skim rasuah yang akan menghasilkan pelan tindakan risiko yang berguna dan praktikal untuk pihak pengurusan tertinggi organisasi bagi memantapkan tadbir urus dalam organisasi komprehensif dan inklusif.

Selain itu, ia membantu organisasi mengenal pasti risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta menyediakan pelan pengurusan risiko sistematik hingga mewujudkan tadbir urus terbaik yang boleh menutup ruang peluang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Di samping itu terdapat juga perkhidmatan Individual Integrity Profiling (IIP), Integrity Assessment Tool (IAT), Community Integrity Building (CIB) dan Program Latihan Etika & Integriti.

Semua produk ini diharap menjadi pemangkin utama kepada pembangunan kapasiti keupayaan dan kompetensi kepada semua sektor awam, korporat dan GLC.

Namun, dalam usaha melangkah ke hadapan untuk memerangi rasuah dan secara langsung untuk meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI, pembabitan, sokongan dan kerjasama semua pihak bermula peringkat kepemimpinan negara hingga masyarakat di bawah, amatlah diperlukan.

Penulis adalah Pengurus Besar Khidmat Korporat Institut Integriti Malaysia (IIM)
Berita Harian X