Sabtu, 1 Februari 2020 | 11:13am
Graduan TVET kebiasaannya akan membina kemahiran melalui pengalaman dan latihan berkala di tempat kerja. - Foto hiasan
Graduan TVET kebiasaannya akan membina kemahiran melalui pengalaman dan latihan berkala di tempat kerja. - Foto hiasan

Tumpu STEM, TVET elak bergantung tenaga kerja luar

DALAM siri program lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Qatar tempoh hari, antara yang menarik tumpuan ialah lawatan beliau ke pusat penternakan lembu tertutup di tengah padang pasir.

Baladna Food Industries (Baladna) antara ladang ternakan lembu terbesar di Asia Barat. Keluasannya menjangkau lebih 2.4 juta meter persegi. Menariknya ia memanfaatkan sepenuhnya teknologi automasi dalam pengoperasiannya.

Selain penternakan, Baladna menghasilkan produk tenusu dan menjadi pengeluar produk tenusu serta makanan terbesar milik Qatar. Ia membekalkan lebih 95 peratus daripada keperluan produk tenusu segar Qatar.

Ladang tenusu itu diwujudkan secara besar-besaran selepas sekatan ekonomi dikenakan terhadap Qatar oleh Arab Saudi dan beberapa negara lain pada 2017.

Kesan sekatan ekonomi sebegini memberi gambaran akan risiko kebergantungan sepenuhnya kepada negara lain, terutama dari aspek pembekalan produk makanan dan juga guna tenaga pekerja pengeluaran serta perkhidmatan.

Ladang tenusu ini sebenarnya bukan seperti ladang biasa, tetapi dilengkapi sepenuhnya teknologi automasi terkini sejajar Revolusi Industri Keempat (IR4.0). Ini jelas membuktikan teknologi automasi amat berperanan dalam meningkatkan daya pengeluaran dengan hanya memerlukan guna tenaga pekerja am yang minimum.

Namun, industri yang bergantung sepenuhnya kepada pengautomasian produksi sangat memerlukan pekerja mahir dan separa mahir, terutama dalam bidang sains, teknologi serta kejuruteraan dan pengkomputeran.

Baladna hanya gambaran industri masa hadapan. Ia tidak hanya terbatas kepada industri penternakan dan pertanian, malah merangkumi industri pengeluaran dan perkhidmatan.

Industri masa hadapan sebenarnya adalah pengautomasian produksi. Dalam menempuh persediaan ke arah pengautomasian produksi, penyediaan pekerja pintar yang mencukupi bukan lagi pilihan.

Secara khususnya, pengautomasian atau kawalan automatik ialah pelaksanaan proses atau prosedur dengan penggunaan tenaga manusia minimum. Pengautomasian boleh dilakukan melalui pelbagai teknologi seperti mekanikal, elektrik, elektronik, hidraulik, pneumatik, komputer atau gabungan semuanya seperti teknologi robotik.

Pengautomasian sebenarnya bermula sejak era IR3.0 lagi. Peningkatan pada era IR4.0 ialah pengintegrasian dengan teknologi internet dan mobil, apabila jarak tidak lagi menjadi masalah dari aspek pengendalian dan pemantauan produksi.

Revolusi industri mendatang pula menjanjikan pengautomasian pintar dengan penerapan teknologi kepintaran buatan secara lebih meluas. Perkembangan ini jelas menggambarkan betapa teknologi akan mengambil alih peranan manusia, terutama dari aspek guna tenaga pekerja am.

Keperluan tenaga kerja manusia yang akan tetap kekal pada masa hadapan ialah tenaga kerja mahir seperti jurutera bagi tujuan pengurusan, penyelidikan dan penginovasian proses dan produksi, serta tenaga kerja separa mahir seperti juruteknik dan pembantu jurutera bagi tujuan penyelesaian masalah, penyelenggaraan pencegahan serta servis.

Proses melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir boleh dilakukan melalui program pendidikan terancang dan berstruktur. Secara khusus, pekerja mahir dilahirkan melalui proses pendidikan peringkat ijazah tinggi seperti sarjana muda, sarjana dan kedoktoran dalam bidang seperti Sains, Teknologi dan Kejuruteraan atau STEM.

Proses pendidikan peringkat ijazah tinggi memerlukan pelajar dengan kebolehan akademik tinggi. Ijazah tinggi membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang menggabungkan aspek teori dan praktikal.

Hal itu disebabkan P&P membabitkan proses kognitif yang rumit bagi membina hubungan antara teori dan praktikal.

Pekerja separa mahir pula dilahirkan melalui program sijil dan diploma jangka pendek yang lebih berfokus atau diistilahkan sebagai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kemahiran akademik yang tinggi tidak menjadi keperluan mendesak bagi program TVET kerana aspek kemahiran praktikal menjadi objektif utama proses P&P program TVET.

Graduan TVET kebiasaannya akan membina kemahiran melalui pengalaman dan latihan berkala di tempat kerja. Dengan pendedahan mencukupi, graduan TVET juga boleh meningkat maju menjadi pekerja mahir selepas tempoh masa tertentu.

Kesimpulannya, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja am luar, inisiatif pengautomasian produksi adalah satu pendekatan penyelesaian yang perlu diterokai.

Bagi tujuan itu, keperluan tenaga kerja pintar yang mahir dan separa mahir dalam bidang STEM dan TVET perlu ditingkatkan.

Tanpa peningkatan, penerokaan ini akan hanya mampu mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja am luar, namun akan meningkatkan pula kebergantungan kepada tenaga kerja pakar luar.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X