Khamis, 23 Januari 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Program Subsidi Petrol kurangkan beban rakyat

Dalam satu rancangan wawancara yang disiarkan BERNAMA pada 11 Disember 2019, geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berpendapat langkah kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Petrol adalah sangat tepat dan sepatutnya sudah lama dilakukan.

Katanya, subsidi pengagihan petrol secara pukal adalah tidak efektif kerana berlaku banyak ketirisan dan dinikmati golongan tidak sepatutnya.

Ketirisan dan penyelewengan ini menyebabkan kerajaan menanggung kerugian jutaan ringgit. Dilaporkan, jumlah penggunaan petrol RON95 negara sekitar 14.4 bilion liter setahun, sekali gus bermakna jumlah subsidi ditanggung kerajaan untuk RON95 saja sebesar RM4.32 bilion setahun.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak mempertikaikan jumlah subsidi Program Subsidi Petrol diberikan itu terlalu sedikit, Azmi berkata, masyarakat perlu memahami kembali maksud sebenar ‘subsidi.’

“Memang ada orang mempersoalkan RM30 sekali isi, habislah.” Ramai ingat subsidi adalah 100 peratus pembiayaan perbelanjaan petrol yang harus dibantu kerajaan walhal itu bukan sebenarnya.

“Subsidi bukanlah pembiayaan sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sara hidup rakyat.

Walaupun nilainya kecil, ia tetap subsidi untuk membantu rakyat yang layak mengurangkan beban perbelanjaan petrol,” katanya.

Sebagai menteri, saya mengalu-alukan pandangan dilontarkan Azmi itu. Memang rakyat susah nak faham, tetapi sebagai ahli kerajaan, saya dan kementerian saya tidak akan letih untuk terus memberikan penerangan dan penjelasan. Saya yakin satu hari nanti rakyat akan memahami, malah akan menyokongnya.

Andaikan jarak perjalanan pergi balik pejabat ialah 50 kilometer (km) sehari dan 23 hari bekerja ialah 1,150km sebulan. Untuk mudahkan pengiraan kita guna 1,500km sebulan. Andaikan juga kita mempunyai kereta 1600cc yang agak tua dan yang tidak efisien penggunaan petrolnya sekitar 10km setiap liter.

Bermakna kereta itu menggunakan sekitar 150 liter petrol sebulan dan pada harga RM2.08, pegawai itu membelanjakan RM312 sebulan untuk petrolnya. Itu pada harga subsidi pukal sekarang.

Apabila Program Subsidi Petrol dilaksanakan dan harga petrol RON95 diapungkan, akan berlaku harga turun naik mengikut harga minyak mentah di pasaran. Tidak semestinya harga itu akan naik tiap minggu. Ada kalanya turun. Kerajaan berjanji jika berlaku kenaikan, ia tidak mendadak dan tidak akan membebankan.

Jika selepas beberapa bulan pelaksanaan Program Subsidi Petrol dan harga diapungkan, manakala RON95 disenaraikan pada harga RM2.13, maka perbelanjaan petrol bulan itu ialah RM319.50. Apabila perbelanjaan itu ditolak RM30 subsidi Program Subsidi Petrol yang diterima daripada kerajaan, maka perbelanjaan bersih petrol ialah RM289.50 iaitu RM22.50 kurang daripada perbelanjaan petrol ketika harga subsidi pukal RM2.08.

Ini bermakna ada lebihan RM22.50 dan boleh saja dibelanjakan untuk keperluan keluarga atau dikumpul ke bulan depan. Jika harga pada paras itu berterusan untuk setahun, akan ada lebihan RM270 setahun.

Begitu juga jika harga apungan RM2.18 dan RM2.23 seliter. Perbelanjaan petrol dapat dikurangkan antara RM7.50 hingga RM15 sebulan atau antara RM90 hingga RM180 setahun dengan subsidi Program Subsidi Petrol RM30 sebulan dan pastinya andaian sama boleh digunakan untuk perbelanjaan keperluan keluarga.

Tentunya kereta berteknologi baharu lebih efisien dalam penggunaan petrol yang melepasi 12km setiap liter dan itu lebih menjimatkan pengguna yang dengan pelaksanaan Program Subsidi Petrol dapat mengurangkan perbelanjaan petrol mereka.

Amat benar kata Azmi bahawa subsidi Program Subsidi Petrol itu bukan pembiayaan perbelanjaan petrol sepenuhnya, tetapi ia adalah subsidi. Walau sekecil mana, ia seharusnya dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan petrol rakyat.

Penulis adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Berita Harian X