Khamis, 16 Januari 2020 | 11:00am
Bangunan Kementerian Pengajian Tinggi. - Foto wikiwand
Bangunan Kementerian Pengajian Tinggi. - Foto wikiwand

Pengajian Tinggi perlu 'rumah sendiri'

Pendidikan tinggi antara sektor paling kritikal dalam menjayakan wawasan Malaysia. Sektor ini berperanan menjana insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi tuntutan pembangunan negara.

Hasil penyelidikan ahli akademik di universiti pula membantu usaha negara mentransformasi aktiviti ekonomi berasaskan inovasi.

Ini tidak termasuk usaha pengembangan dan pemindahan ilmu serta kepakaran pelbagai bidang melalui pendekatan ‘universiti untuk masyarakat’ yang secara langsung meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ditubuhkan pada 2004, banyak pihak melihatnya tindakan yang wajar. Apabila sektor pendidikan tinggi negara semakin berkembang seiring perubahan landskap pendidikan tinggi global yang dinamik, sebuah kementerian khusus perlu diwujudkan bagi menangani hal ehwal pendidikan tinggi dan menyediakan ekosistem tadbir urus dengan lebih berkesan.

Tidak dinafikan, apabila KPT diwujudkan, sektor pendidikan tinggi negara lebih terarah. Buktinya, hanya selepas tiga tahun kewujudan KPT, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dilancarkan pada 2007.

Pelan ini sangat penting kerana menjadi dokumen asas untuk melonjakkan kualiti pengajian tinggi negara ke tahap lebih baik. Lebih-lebih lagi, Malaysia bercita-cita menjadi hab pendidikan tinggi pada peringkat global.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan di bawah PSPTN. Ini termasuk universiti penyelidikan, pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), jaminan kualiti, pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan sosial, integriti akademik, hubungan industri dan akademia serta transformasi komuniti dan universiti.

Universiti awam (UA) mahupun swasta, politeknik dan kolej komuniti semua diletakkan di bawah pengendalian KPT. Meskipun UA diberikan autonomi menguruskan institusi masing-masing, banyak juga perkara masih di bawah kuasa kementerian dan menteri.

Contohnya, soal penyaluran dana penyelidikan dan pelantikan Naib Canselor serta Timbalan Naib Canselor. Yang pasti, kepentingan mengekalkan KPT sentiasa relevan.

Pada 2013, KPT digabungkan dengan Kementerian Pendidikan (KPM). Banyak pihak mempersoalkan bagaimana dua kementerian besar disatukan. Malah, ada menyifatkan penggabungan KPT pada 2013 sedikit sebanyak merencatkan dinamik pengajian tinggi yang dibina sekian lama.

Namun pada 2015, KPT diwujudkan semula sehinggalah pada 2018, ia digabungkan kembali bersama KPM. Kini, cadangan mengembalikan semula KPT semakin kuat selepas peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari lalu.

Perdana Menteri, yang juga Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut mempertimbangkan cadangan sama, seperti dilaporkan media.

Saya sendiri dalam tulisan sebelum ini menyatakan langkah ke hadapan pendidikan tinggi tidak akan sempurna selagi ia diletakkan sekali dalam KPM.

Yang pasti, sektor pendidikan tinggi perlu ‘rumah sendiri’ untuk menawarkan sebuah kehidupan lebih bermakna dan sejahtera. Sudah tiba masanya KPT dipulangkan kembali dengan seorang menteri baharu yang boleh dipertanggungjawabkan.

Pelbagai pihak bersuara, antaranya Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) melalui kenyataan media, mencadangkan supaya dipisahkan sektor pendidikan tinggi daripada KPM dan diwujudkan semula KPT bagi menjayakan agenda pendidikan negara.

Melihat perkembangan dan cabaran semasa pendidikan tinggi, adalah wajar KPT diwujudkan semula atas beberapa pertimbangan.

Pertama, KPM pada asalnya ialah kementerian yang sangat besar apabila membabitkan pelbagai pihak berkepentingan seperti guru, sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Justeru. KPM tidak dapat memberi fokus jitu kepada pihak berkepentingan dalam konteks institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti ahli akademik dan mahasiswa.

Kedua, mengekalkan sektor pendidikan tinggi dalam KPM akan menjejaskan tumpuan kementerian dan kerajaan kepada perancangan, dasar dan amalan pendidikan tinggi apabila kementerian terpaksa banyak memberi tumpuan kepada isu sekolah dan murid.

Ketiga, kewujudan KPT akan dapat mengurangkan birokrasi, sekali gus mempercepatkan keputusan dan tindakan segera bagi kepentingan warga IPT secara keseluruhannya.

Keempat, seorang menteri yang khusus dapat memberikan tumpuan penuh kepada hal ehwal pendidikan tinggi. Isu pendidikan tinggi sangat kompleks dan teknikal hingga memerlukan perhatian serta kefahaman jelas. Lebih-lebih lagi, sebarang dasar mesti berpegang kepada pendekatan evidence based policy atau polisi berasaskan pembuktian.

Kelima, kejayaan wawasan negara sangat bergantung kepada usaha kita untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dan ini sudah tentu memerlukan sebuah kementerian khusus seperti KPT.

Tuntasnya, KPT perlu diwujudkan semula. Saya sendiri percaya KPT perlu ada bagi memberikan semula keadilan kepada sektor pendidikan tinggi yang semakin kurang diberikan perhatian mutakhir ini.

Seorang menteri berkelayakan boleh dilantik bagi menerajui pendidikan tinggi.

Jika kerajaan bersedia dan bersikap lebih terbuka, jawatan ini boleh diberikan kepada bukan ahli politik.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Pengajian Tinggi

Berita Harian X