Isnin, 16 Disember 2019 | 11:00am
PADA dasarnya sistem pendidikan negara sudah mantap dan mampu melahirkan generasi berilmu. - Gambar hiasan
PADA dasarnya sistem pendidikan negara sudah mantap dan mampu melahirkan generasi berilmu. - Gambar hiasan

Kajian UEC perlu berlandas fakta, asas kenegaraan

Melalui Ordinan Pelajaran 1957, sebanyak 134 Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) ketika itu diberi pilihan untuk bersama-sama dalam sekolah yang diiktiraf kerajaan.

Akhirnya 74 memilih untuk mengikut aliran Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ini bermaksud sekolah terbabit akan menggunakan bahasa rasmi Persekutuan iaitu bahasa Melayu sebagai pengantar, menggunakan kurikulum kebangsaan dan pelajarnya mengikuti peperiksaan awam yang diselaraskan, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Semua sekolah berkenaan dikenali conforming school atau Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), diiktiraf kerajaan dan dianggap sebagai aliran arus perdana. Lulusannya layak memasuki universiti awam (UA) dan menyertai sektor perkhidmatan awam.

Sewajarnya tidak timbul lagi isu sama ada perlu mengiktiraf peperiksaan Unified Exam Certificate (UEC) kelolaan SMPC yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan. Peperiksaan ini hanya diperkenalkan mulai 1975.

Tuntutan pengiktirafan UEC adalah kesinambungan tindakan 60 SMPC yang memilih untuk mengikuti sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan sehingga hari ini.

Uniknya sistem pendidikan di Malaysia, semua pihak dibenarkan menjalankan sistem persekolahan mengikut acuan dan pilihan masing-masing. Ini selaras amalan pendemokrasian pendidikan yang sememangnya ditulis dalam Akta Pendidikan.

Namun dalam kalangan rakyat Malaysia, untuk memasuki UA dan mendapatkan pekerjaan di sektor perkhidmatan awam, syarat paling minimum diletakkan kerajaan adalah mempunyai SPM, iaitu minimumnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Justeru, semua sistem pendidikan di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan seperti UEC, Tahfiz-pondok, Azhariy, International Baccalaureate (IB), International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan sebagainya, perlu memenuhi syarat itu tanpa kompromi.

Berdasarkan kenyataan itu SMPC ada dua pilihan untuk lulusan mereka. Pertama, boleh mengambil peperiksaan SPM dan STPM sebagai syarat kemasukan ke UA dan kedua, meneruskan pengajian di luar negara atau di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berbekalkan sijil peperiksaan UEC semata-mata.

Pada Oktober 2018, sebuah jawatankuasa Pasukan Petugas Dasar dibentuk bagi mendapatkan maklumat dan kajian berkaitan UEC (PPD-UEC) daripada pelbagai aspek. Ia meliputi 17 tokoh dalam pelbagai bidang, 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), lima parti politik, 12 agensi kerajaan, 14 IPTA dan IPTS, serta 2 siri townhall membabitkan belia dan pelajar.

Tidak cukup itu, diadakan juga sesi libat urus kepada ahli parlimen merentasi parti. Keseluruhannya, 406 orang terbabit dalam sesi pengumpulan data yang amat penting ini.

Ini sebenarnya dapat difahami memandangkan kesan pengiktirafan ini amat besar, kerana ia menyentuh aspek asas dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Selain itu, isu ini juga membabitkan hala tuju sistem pendidikan kebangsaan yang sudah tentunya memerlukan pembabitan semua institusi pendidikan di negara ini seperti sekolah rendah serta menengah, UA, serta paling utama setiap kementerian, jabatan agensi kerajaan.

Skala isu ini amat besar. Justeru, jika ada pihak mempersoalkan kenapa PPD-UEC berjumpa pelbagai pihak untuk isu berkaitan UEC, jelasnya pihak itu tidak mengerti asas dalam bernegara.

Isu ini bukan sekadar pinggiran, bukan juga sekadar ingin memenuhi manifesto, malah bukan isu anti atau bermusuh dengan SMPC, apatah lagi isu kualiti murid atau standard tahap kesukaran peperiksaan UEC.

Sudah tentu juga tidak timbul isu menyalahgunakan duit pembayar cukai dalam mendapatkan data sahih yang sah dan komprehensif suara akar umbi mewakili rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia harus bersyukur atas keberanian kerajaan mengadakan sesi libat urus bersemuka dengan rakyat kembali, sebelum membuat keputusan yang akan memberikan kesan dalam asas pembinaan negara ini sejak 1957.

Akhirnya, tugas jawatankuasa PPD-UEC ini hanyalah mengumpulkan data dan maklumat. Keputusan akhir masih di tangan Kabinet dan kerajaan.

Sebagai rakyat Malaysia, saya akan berpuas hati apabila kerajaan membuat keputusan dasar berdasarkan data, berbanding sandaran politik populis atau sentimen politik identiti yang merosakkan negara.

Sebagai penutup artikel ini, untuk Malaysia mencapai matlamat sebenar perpaduan bangsa Malaysia, kita perlu berjiwa besar dan pada masa sama realistik menentukan dasar pendidikan terbaik untuk negara.

Penulis lontarkan persoalan untuk difikirkan bersama:

Bagaimana dan bila agaknya murid Malaysia yang pelbagai etnik budaya bangsa ini dapat berinteraksi apabila dalam satu negara yang sama, kita seolah-olah menggunakan falsafah pendidikan yang berbeza, aspirasi pendidikan yang berbeza, hala tuju persekolahan yang berbeza, sistem pendidikan dan bahasa pengantar yang berbeza, kurikulum dan buku teks yang berbeza, latihan keguruan yang berbeza, dan sistem peperiksaan yang berbeza?

Model negara maju mana yang ingin kita contohi?

Penulis adalah Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan & Kenegaraan) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Berita Harian X