Khamis, 21 November 2019 | 11:00am
Rumah penduduk Palestin yang musnah dalam serangan oleh tentera Israel di Gaza. - Foto fail

Dakwa Israel di ICC pembelaan terhadap Palestin

KEPUTUSAN terkini Amerika Syarikat (AS) berhubung status penempatan Israel dalam wilayah Palestin tidak masuk akal dan seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, ia seolah-olah mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran.

Ini susulan kenyataan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, mengumumkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram, menggambarkan negara kuasa besar itu secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa atau resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Oleh itu, Israel perlu didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) diatas segala penindasan dan kekejaman dilakukan mereka, khususnya terhadap rakyat Palestin. Buat sekian lama, Israel mengetepikan banyak peruntukan undang-undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis penindasan serta kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Ada juga usaha Israel serta pihak tertentu untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka seperti pengisytiharan bandar raya Baitulmaqdis secara sebelah pihak sebagai ibu kota Israel pada akhir 2017 lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netenhayu melalui kempen politik pilihan raya Israel tidak beberapa lama dulu turut menyatakan banyak kali hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Sejak penubuhan negara Israel pada 1948, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan. Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan Israel untuk memastikan setiap inci tanah milik rakyat Palestin menjadi milik mereka sekali gus menafikan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka.

Untuk rekod, Israel sudah banyak melanggar Konvensyen Geneva serta pelbagai jenis undang-undang antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin. Antara Konvensyen Geneva yang banyak kali dilanggar oleh Israel termasuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat awam Palestin tanpa mengira usia dan jantina.

Malah, Israel memindahkan rakyatnya ke kawasan yang ditakluki mereka ke tanah milik Palestin di Tebing Barat, menyusahkan kehidupan rakyat Palestin dengan mengenakan pelbagai jenis perintah berkurung dan penutupan jalan serta kawasan tanpa sebarang sebab yang munasabah serta menggunakan kuasa ketenteraan mereka secara berlebih-lebihan terhadap rakyat awam Palestin.

Pada masa sama juga, Israel melanggar berpuluh-puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus resolusi PBB yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok di tanah milik Palestin, serta menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Semua pelanggaran undang-undang antarabangsa ini membolehkan pihak Palestin membawa kes mereka ke pengetahuan pihak ICC. Walaupun Israel tidak menjadi anggota kepada ICC, tindakan undang-undang boleh diambil melalui ICC terhadap jenayah yang dilakukan oleh mana-mana warga Israel di tanah dan kawasan milik Palestin seperti di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Pelbagai jenis tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak Palestin melalui ICC terhadap Israel seperti jenayah perang, jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai orang awam dan lain-lain seperti yang jelas termaktub di bawah Artikel 5, Statut Rom, ICC.

Selain itu, Statut Rom ICC itu juga memperuntukkan skop maksud ‘jenayah perang’ yang lebih luas dengan membolehkan pihak berkuasa Palestin untuk mengemukakan lebih banyak pertuduhan jenayah perang ke atas Israel di mana Artikel 7 (1) (d) Statut Rom terbabit turut menyenaraikan sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak penjajah untuk ‘menghalau atau mengusir’ penduduk asal di sesuatu kawasan yang dijajahnya melalui apa-apa cara pun tanpa kebenaran undang-undang antarabangsa adalah satu bentuk kesalahan jenayah perang yang boleh didakwa.

Artikel 8 (2) (viii) Statut Rom berkenaan juga memperuntukkan jenayah perang meliputi aspek ‘penempatan penduduk’ yang banyak dilakukan oleh pihak Israel ke kawasan yang ditakluk mereka sejak mereka menduduki wilayah Palestin lebih setengah abad lalu.

Jika dilihat dengan teliti, Israel sudah banyak membuka penempatan haram mereka di kawasan penduduk Palestin, terutama di Tebing Barat serta di Timur Baitulmaqdis yang ingin dijadikan mereka sebagai ibu kota negara Israel yang tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak, termasuk pihak Palestin.

Ada pelbagai jenis hukuman yang disediakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah oleh ICC. Antara jenis hukuman yang boleh dikenakan meliputi penjara untuk satu tempoh yang lama, denda serta rampasan harta. Ini jelas diperuntukkan di bawah Artikel 77 Statut Rom.

Justeru, penting bagi pihak berkuasa Palestin untuk teruskan usaha mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap Israel bagi melindungi, menjaga dan mengambil kembali kedaulatan wilayah mereka yang sudah lama diceroboh dan dijajah serta menegakkan keadilan terhadap rakyat Palestin yang sudah lama menjadi mangsa penindasan dan kekejaman oleh Israel.

Semua negara dunia yang masih mempercayai kepada prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang perlu memberi kerjasama serta sokongan tidak berbelah bagi terhadap kerajaan dan rakyat Palestin di dalam perkara ini.

Negara Islam termasuk Malaysia harus tampil berani membantu kerajaan dan rakyat Palestin tanpa berasa bimbang atau takut terhadap sebarang ancaman atau ugutan yang bakal diterima dari mana-mana negara yang sentiasa menyebelahi Israel.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X