Isnin, 18 November 2019 | 11:00am
PENYOKONG mengibarkan bendera PH pada program Ceramah Mega Harapan di Kukup, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Misi PH pulihkan 'mood' rakyat

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai melabuhkan tirainya kelmarin dengan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Bagi Pakatan Harapan (PH) selaku penyandang kerusi berkenaan, impak keputusan bukan dilihat dari segi angka majoriti kemenangan parti lawan, sebaliknya lebih kepada moral parti yang mewakili kerajaan.

Yang pasti, kehilangan kerusi Tanjung Piai cukup mendatangkan kesan buat PH. Ia berlaku tidak sampai 20 bulan selepas kerajaan baharu terbentuk melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dengan tempoh singkat itu, ramai bersetuju kerajaan belum cukup kukuh kerana perlu menampal pelbagai kekurangan dek mewarisi kerajaan lama yang mempunyai rekod tersendiri sama ada baik atau buruk.

Jika dilihat rentetan selepas PRU-14, Tanjung Piai adalah pentas PRK yang kesembilan. Dari segi rekod, PH masih mendahului dengan lima kemenangan, manakala empat lagi termasuk Tanjung Piai dimenangi BN.

Bercakap soal Tanjung Piai, pengalaman penulis sendiri melihat sepanjang kempen berlangsung gerak kerja lebih berpihak kepada BN. Parti itu memiliki jentera lebih mantap, malah siri kempen dan ceramah parti mendapat reaksi positif masyarakat. Ini harus diteliti PH.

Faktor calon memainkan peranan besar di Tanjung Piai. BN dan PH masing-masing mempertaruhkan calon kitar semula dalam saingan enam penjuru, namun masing-masing menerima reaksi berbeza.

Pada PRU-14, calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, bertanding di Parlimen Tanjung Piai, namun tewas dengan majoriti tipis, manakala calon PH, Karmaine Sardini, tewas di Parlimen Pontian, juga dengan majoriti kecil.

Kali ini Jeck Seng mempunyai kelebihan kerana bertanding di kawasan sama. Ia ibarat menyambung semula kempen ketika PRU lalu, selain memiliki kelebihan kerana pernah mewakili kawasan itu selama dua penggal.

Karmaine pula perlu ‘mula’ berkempen kerana bertanding di kawasan bersebelahan Parlimen yang ditandingi pada PRU lalu, walaupun beliau anak jati kawasan berkenaan.

“Memang mudah menjadi pembangkang, banyak isu boleh dimainkan, (banyak) isu tak selesai.

“Tahun lalu saya dengan ramai pengundi lain memang sokong PH, tetapi kali ini berbelah bagi. Ramai kawan mahu sokong BN,” luah seorang pengundi yang ditemui dalam siri ceramah BN.

“Saya tetap sokong PH tak kira siapa calon. Tapi saya tengok ramai yang sudah berbelah bagi,” sambut kawannya.

Teka-teki yang dimuktamadkan dengan kemenangan BN pada PRK Parlimen Tanjung Piai malam kelmarin, sedikit sebanyak membayangkan undi Cina beralih kepada MCA, manakala undi Melayu kembali kepada UMNO.

Pada awalnya, ramai melihat BN membuat percaturan bahaya apabila meletakkan calon MCA di kawasan majoriti pengundi Melayu. Ia sebenarnya untuk menguji penerimaan pengundi.

Kemenangan akan ‘menghidupkan’ semula parti komponen BN itu dan jika kalah, ia boleh ‘dihukum’ sebagai penamat.

Jika dilihat pada PRU lalu, BN tewas di hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai majoriti pengundi Cina, namun kini undi berpihak kepada mereka.

Kelebihan calon Cina memberi kelebihan buat BN meraih sokongan pengundi masyarakat itu.

Namun ada soalan ingin ditanya, adakah pengundi Cina akan menyokong BN jika calon diletakkan adalah daripada UMNO atau PAS?

Melingkari soal berkaitan Tanjung Piai, antara isu menarik untuk dibincangkan adalah mengenai ‘mood’ pengundi.

Apakah ‘mood’ sokongan ini bersifat sementara atau akan berubah jka PH mempamerkan gerak kerja lebih baik dan keadaan ekonomi juga semakin pulih?

Sepanjang kempen dan ceramah pun, isu nasional seperti ekonomi perlahan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan, amat dekat di hati rakyat terutama bagi masyarakat luar bandar.

Tidak mustahil situasi sokongan rakyat kepada BN boleh berubah dengan mudah dan hanya bersifat sementara.

Bagi saya, tetap akan ada ruang harapan bagi PH meraih sokongan. Ia tidak mustahil jika PH dapat menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka menjanjikan masa depan lebih cerah.

Penulis Khas Berita Harian
yang membuat liputan
di PRK Tanjung Piai

Berita Harian X