Jumaat, 15 November 2019 | 11:00am
Pembangunan berlandas maqasid syariah menjamin negara yang aman, sejahtera serta diberkati.- Foto hiasan

Nikmati kemajuan negara berlandas maqasid syariah

Barakah dalam bahasa Arab bermaksud tumbuh dan bertambah. Secara umum, ia anugerah Allah yang mendatangkan kebaikan bagi diri seseorang. Dalam istilah syarak pula, barakah ialah mendapat nikmat Allah dan ia berterusan dalam perkara kebaikan yang mematuhi al-Quran dan sunah.

Sebagai contoh jika dikaitkan dengan makanan. Ia mencukupi bagi mereka yang menikmatinya, bukan sahaja puas dan kenyang, tetapi dengan makanan itu mereka dapat menjalani ibadat dengan tenang.

Makanan yang mempunyai berkat ialah yang menyebabkan orang yang menikmatinya sihat dan tidak menimbulkan masalah.

Keberkatan pada harta pula ialah mereka yang mempunyai harta itu berasa senang dan bahagia dengannya, hidup harmoni dengan keluarga serta rukun damai baik dengan jiran tetangga dan sebagainya.

Maqasid syariah dalam pembangunan negara tidak lari dari sudut kepentingan penjagaannya. Namun untuk memastikan sebuah negara itu hebat, aspek pembangunan sesebuah negara perlu dipastikan bukan sahaja dari sudut bangunan, tetapi dari aspek kerohanian.

Antara yang boleh digariskan adalah dengan memastikan pemimpin yang baik. Maksudnya, pemimpin yang mematuhi hukum hakam Allah serta melaksanakan tugas kepemimpinan dengan amanah dan bijaksana, dengan melihat kepada kemaslahatan rakyat.

Kaedah memelihara kemaslahatan dan menghilangkan kerosakan menjadi asas kepada maqasid syariah. Mencari kemashalatan bukan bermakna membelakangkan nas al-Quran dan hadis, tetapi setiap kemaslahatan hendaklah daripada al-Quran dan sunah.

Keputusan pemimpin mesti didasarkan kepada maslahah rakyat berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut - tindak tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah.

Imam Al-Suyuthi menyatakan kaedah ini dinaskan oleh Imam Al-Syafie dalam perkataannya: “kedudukan Imam (pemerintah) terhadap rakyatnya adalah seperti kedudukan penjaga kepada anak yatim.

Dalam membina kemapanan ekonomi, menjaga harta menjadi antara kemaslahatan terpenting. Tanpanya manusia tidak dapat meneruskan kehidupan dan dengan harta juga manusia dapat memenuhi kepentingan hidup.

Islam menekankan hak sesama manusia, maka sudah menjadi keutamaan dalam maqasid syariah menolak kezaliman dan kemudaratan dengan mengharamkan riba, gharar, judi, ikhtikar dan lain-lain lagi.

Tujuan syarak mengharamkan perbuatan itu kerana ia satu penindasan sesama manusia serta boleh mencacatkan pertubuhan ekonomi sesebuah negara dan masyarakat itu sendiri.

Menjelaskan maqasid dalam pelaksanaan undang-undang, Allah SWT berfirman, “Demi sesungguhnya! Kami mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan” (Surah Al-Hadid ayat 25).

Pensyariatan atau perundangan adalah nilai kekuatan utama bagi sesebuah masyarakat. Sesebuah masyarakat memerlukan kepada perundangan untuk mengatur perhubungannya dan menghukum sesiapa sahaja yang menyeleweng daripada kaedahnya, sama ada perundangan ini diturunkan dari langit atau keluar dari bumi.

Hati nurani dan dorongan jiwa tidak mencukupi buat manusia secara umum untuk memelihara keselamatan masyarakat serta strukturnya dari segi material dan moral, serta menegakkan keadilan dalam kalangan manusia.

Kenyataan ini selari apa yang dikatakan Ibn Khaldun bahawa hidup bersosial adalah sebuah keperluan dan kemestian. Adalah dirumuskan bahawa Ibn Khaldun menekankan masyarakat itu memerlukan hukum yang mampu dijadikan aturan antara mereka, bagi membolehkan bertahan tinggal dalam sebuah masyarakat.

Undang-undang yang tidak bercanggah al-Quran dan sunah tidak menjadi kesalahan untuk mengawal perilaku manusia, agar keamanan dan keadilan dalam masyarakat terus terjamin.

Membangunkan negara berkonsepkan maqasid syariah dapat menjamin kesejahteraan sesebuah masyarakat dan memberikan kemaslahatan kepada semua tidak kira agama dan bangsa.

Dengan berteraskan prinsip keadilan untuk semua, maka menjadi kelaziman untuk mengaplikasi maqasid dalam sesebuah negara untuk menjadi negara yang aman dan sejahtera serta mendapat keredaan Allah.

Penulis adalah Pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia YADIM

Berita Harian X