Selasa, 12 November 2019 | 11:00am
PENERJUN negara, Pandalela dan Cheong Jun Hoong memenangi pingat emas, manakala Leong Mun Yee serta Nur Dhabitah Sabri memperoleh pingat gangsa dalam acara pada sukan Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali

Manfaat belanjawan perluas pembabitan wanita dalam sukan

SIAPA tidak kenal nama seperti Datuk Nicol David selaku lapan kali juara skuasy dunia; pemenang dua pingat di Sukan Olimpik, Pandelela Rinong Pamg atau si cantik manis, Farah Ann Abdul Hadi, yang mencipta nama sebagai gimnas pertama negara yang akan ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo nanti.

Mereka antara atlet wanita negara yang tersenarai mencatat pencapaian cemerlang dalam bidang sukan masing-masing.

Namun hakikatnya kejayaan atlet wanita Malaysia ini khususnya, datang daripada sukan yang segelintirnya memang dilabel sebagai sukan wanita dan bukan secara menyeluruh.

Sukan yang menyaksikan lebih kejayaan daripada atlet wanita di negara ini adalah seperti gimnastik, boling dan skuasy sementara sukan lain tidak mempamerkan kejayaan ketara.

Sukan yang khusus dimainkan wanita pula menyaksikan kejayaan negara sehingga ke peringkat benua Asia sahaja dan belum memperoleh peluang untuk menembusi peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun peruntukan RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada Belanjawan 2020 baru-baru ini, memberi sinar harapan kepada pembangunan atlet wanita jika digunakan dengan cara yang betul.

Mengambil contoh salah satu kuasa besar sukan seperti Amerika Syarikat, negara itu sudah bermula awal dengan menggubal akta Title IX pada 1972, yang dikhususkan bagi memberi kesamarataan peluang kepada wanita dalam penyertaan sukan.

Akta itu menyaksikan penambahan angka pembabitan atlet wanita dalam pelbagai jenis sukan. Daripada hanya tujuh peratus atau 150,000 penyertaan sukan dalam kalangan pelajar, ia melonjak kepada 2.8 juta atau 41.5 peratus dalam pelbagai jenis sukan pada 2001. Pasukan bola sepak wanita negara itu juga sudah menjulang Piala Dunia Wanita pada Julai lalu.

Peruntukan dalam belanjawan buat pembangunan atlet wanita yang kali pertama diberikan itu adalah inisiatif terbaik dengan melihatkan potensi yang ada pada wanita di negara ini, dengan kini lebih ramai wanita menjalani gaya hidup sihat.

Namun, ia harus dimanfaatkan dalam membanyakkan program akar umbi pada peringkat sekolah khususnya dalam pelbagai jenis sukan dan bukan sekadar bagi ‘sukan wanita’ sahaja.

Pendedahan kepada pelbagai jenis sukan perlu dilakukan sejak peringkat akar umbi lagi bagi menghapuskan stereotaip sukan tertentu adalah untuk lelaki sahaja, seperti yang berlaku dalam sukan bola sepak atau ragbi.

Stereotaip sukan tertentu ini menyebabkan ramai ibu bapa tidak membenarkan anak mereka membabitkan diri dalam ‘sukan lelaki’ seperti bola sepak dan ragbi, yang menyukarkan negara mendapatkan pemain terbaik untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Apa pun peruntukan itu nanti harap diuruskan dengan baik dan tidak senasib sukan lain yang mana ada ceritanya memperoleh peruntukan sehingga berpuluh juta, tetapi persatuan pada peringkat negeri langsung tidak menerima manfaat bagi membangunkan atlet mereka.

Penulis adalah wartawan Meja Sukan Berita Harian.

Berita Harian X