Isnin, 11 November 2019 | 11:00am
KUCHING Riverfront di Sarawak antara contoh terbaik projek perintis pembangunan tebingan air yang berjaya di Malaysia. - Foto hiasan

Daripada air menjadi 'emas'

PEMBANGUNAN infrastruktur di Malaysia semakin rancak demi memenuhi keperluan masyarakat. Antara pembangunan yang dapat dilihat adalah berkaitan tebingan air atau dikenali waterfront development.

Menelusuri sejarah pembangunan tebingan air di Malaysia, evolusinya bermula seawal zaman praketamadunan manusia. Pada zaman itu kawasan tebingan air paling sibuk dengan aktiviti perdagangan, pengangkutan dan penempatan manusia.

Namun, kemerdekaan Malaysia 62 tahun lalu menjadi titik tolak kepada transformasi kawasan tebingan air di Malaysia, daripada kawasan perindustrian berasaskan air kepada sebaliknya.

Fakta ini disokong peningkatan kadar pertumbuhan populasi, perkembangan sektor ekonomi, proses urbanisasi dan peningkatan teknologi yang akhirnya turut mengubah fungsi kawasan tebingan air.

Evolusi ini akhirnya mengheret kawasan tebingan air menjadi terbiar, seterusnya menghilangkan model bandar pelabuhan bersepadu yang secara tidak langsung turut mengurangkan fungsi sungai sebagai sumber air utama dan nilai ekonomiknya.

Secara umum, tebingan air sering dilihat sebagai kawasan interaksi antara bandar dan air. Sumber semula jadi yang unik ini saling berhubungan antara tanah, air, matahari serta flora dan fauna.

Dalam konteks lebih spesifik, pembangunan tebingan air merujuk kepada apa-apa bentuk pembangunan tebingan dengan air yang sumbernya sendiri meliputi sungai, tasik, pulau, dan terusan.

Pembangunan semula kawasan tebingan air berkenaan tercetus apabila pihak kerajaan tempatan mula mengenal pasti tebingan air sebagai kawasan berpotensi untuk pembangunan dan paten semasa, lebih menjurus kepada pembangunan bercampur dan rekreasi sambil mengekalkan nilai budaya serta sejarah tempatan.

Sehingga hari ini, kawasan tebingan air menjadi penentu dalam proses pembangunan semula bagi kebanyakan bandar utama di Malaysia.

Terdapat beberapa kajian dilakukan berkaitan pembangunan tebingan air dengan mengenal pasti beberapa faktor mendorong transformasi kawasan itu yang terbengkalai sekian lama, kepada kawasan maju yang signifikan untuk kegunaan awam dan rekreasi.

Kejayaan beberapa projek mega membabitkan tebingan sungai pada peringkat antarabangsa menjadi inspirasi dan pemangkin kepada hala tuju pembangunan semula kawasan itu di Malaysia.

Praktis semasa pada peringkat antarabangsa menunjukkan pembangunan semula tebingan air mampu menjana kebaikan.

Antaranya mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan kepada kerajaan, menggalakkan industri pelancongan, meningkatkan nilai harta tanah di kawasan pembangunan dan sekitar, pemeliharaan serta pemuliharaan habitat flora dan fauna, penyelenggaraan rizab sungai, kawalan banjir, mewujudkan kawasan rekreasi untuk orang awam dan pembaharuan kawasan kejiranan.

Persoalannya, sejauh manakah pembangunan semula kawasan tebingan air mampu membentuk persekitaran bandar yang sihat dan aktif?

Kuching Riverfront di Sarawak antara contoh terbaik projek perintis pembangunan tebingan air yang berjaya dan kekal sehingga kini.

Melewati tempoh lebih 20 tahun menikmati kegemilangan pembangunan semula kawasan tebingan air ini, jelas kebanyakan projek pembangunan tebingan air dilaksanakan berjaya mencapai matlamat pembangunan ditetapkan.

Dapatan kajian dijalankan menyokong beberapa implikasi positif yang dikenal pasti terjana akibat pembangunan tebingan air di Malaysia. Implikasi ini dilihat melalui tiga sudut berbeza iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Kesimpulannya, integrasi sejarah, budaya dan seni bina sedia ada dan pembabitan ramai pihak yang berminat dengan konsep pembangunan tebing air, sewajarnya dipertimbangkan dengan teliti semasa membangunkan projek pembangunan tebing air, agar nilai ekonomi kawasan terbabit berkekalan.

Seterusnya, kelulusan berkaitan alam sekitar dari pelbagai agensi terbabit perlu dan dianggap sebagai peraturan utama yang mesti diberikan pertimbangan untuk pembangunan tebing air yang berjaya, sekali gus mampu mencapai matlamat pembangunan lestari yang dapat memenuhi keperluan masyarakat dari aspek ekonomi dan sosial.

Penulis adalah Ketua Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X