Khamis, 7 November 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

Gilap potensi remaja tangani gejala sosial

KEPUTUSAN Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Sam Ka Ting, seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 masih mengundang perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.

Namun, rata-rata aktivis sosial di kerja lapangan banyak berpandangan bahawa semua pihak perlu serius dan fokus terhadap hal perancangan kehidupan dan pembangunan generasi muda hari ini.

Sama ada suka atau tidak, sehingga ke hari ini usaha memandu generasi muda ke hadapan dengan cara meningkatkan kebolehan dan daya fikiran mereka dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan masih belum mencapai tahap terbaik seiring kemajuan negara.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang diharapkan melahirkan watak masyarakat Malaysia yang lebih bertanggungjawab hanya akan terbentuk dan memberi makna apabila orang muda diberi perhatian dan keutamaan dalam pelbagai aspek perancangan kehidupan dan pembangunan mereka kerana mereka adalah pelapis yang akan mewarisi kepemimpinan serta mendukung wawasan negara.

Kita harus bersyukur bahawa hampir semua rakyat kita dapat merasai dan menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negara. Pencapaian ini adalah kerana perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi negara yang rapi dan adil kepada semua masyarakat.

Program khusus diatur untuk golongan termiskin, penduduk di luar bandar dan pedalaman, mereka yang kurang upaya serta memerlukan jagaan khas. Kita harus bersyukur di atas perhatian dan kesungguhan kerajaan, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam melaksanakan dasar positif ini.

Namun, kita masih berdepan cabaran dalam bentuk lain yang melanda anak remaja kita. Gejala dan penyakit sosial seperti lumba motosikal haram, basikal lajak, kehamilan luar nikah, penyalahgunaan dadah, dan perbuatan yang melanggar tatasusila budaya timur kita pun menular dalam kalangan remaja.

Mengetahui mengenai masalah sosial sahaja tidak mencukupi, bahkan tidak berguna sekiranya ia tidak disusuli dengan cara penyelesaian dan pencegahan. Hakikatnya, setiap individu ada pilihan dan kita perlu membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri dan keluarga dengan membina benteng diri dan menjauhi daripada pengaruh serta unsur negatif dan bahaya.

Remaja adalah golongan yang amat mudah dipengaruhi oleh unsur negatif kerana sifat semula jadi remaja untuk mencari identiti sendiri, mudah terikut dengan gaya cara budaya ‘moden’, sentiasa diselubungi dengan sifat ingin tahu, ingin mencuba dan berani menghadapi risiko’.

Pengaruh positif pula agak lambat untuk menambat hati remaja kerana ia lebih menekankan disiplin, kerajinan, ketahanan diri dan hanya akan mendapat hasil dan faedah selepas berusaha gigih, tekun dan bersabar. Menyedari pentingnya untuk membentuk sikap dan nilai positif dalam kalangan remaja, kita sebagai orang dewasa dan rakan sebaya seharusnya bersedia memberi dorongan dan bimbingan berterusan untuk membangunkan remaja sihat lagi cemerlang.

Pendidikan sepanjang hayat, ketinggian moral dan rohaniah serta kemahiran untuk menghadapi cabaran era baharu pembangunan adalah kekuatan paling penting untuk dimiliki setiap individu, remaja mahupun dewasa.

Bagi tujuan ini, Dialog Profesion Kerja Sosial bertajuk ‘Kerja Sosial: Realiti atau Fantasi’ anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia pada 31 Oktober 2019 lalu yang menghimpunkan pekerja sosial dan sukarelawan sosial di lapangan diharap akan melahirkan modul pembangunan remaja direka khusus.

Matlamatnya memberi peluang dan dorongan kepada remaja membangunkan sepenuhnya potensi diri daripada perspektif mental, fizikal, sosial dan kerohanian. Alam remaja adalah tahap kritikal dalam proses perkembangan individu yang penuh dengan pelbagai dugaan dan pancaroba.

Ini masa untuk remaja membentuk sifat kendirinya dan menentukan watak dan cara gaya hidupnya berasaskan didikan dan jagaan ibu bapa, pengalaman dan suasana persekitaran. Andainya remaja tidak kuat dalam pegangan nilai murni dan agama serta kurangnya bimbingan keluarga dan guru, mereka pasti mudah hanyut dengan penyakit sosial yang sentiasa menunggu mangsanya.

Dalam usaha kita mencari punca dan sebab berlakunya gejala sosial, beberapa pihak disalahkan, antaranya ibu bapa, sekolah, media ataupun remaja sendiri. Banyak isu dan masalah dihadapi remaja hari ini mempunyai kaitan rapat antara pengaruh dalaman iaitu keluarga itu sendiri dan pengaruh luaran.

Anak remaja hari ini perlu dibimbing dengan pendekatan baharu bagi membolehkan mereka memahami diri sendiri, membentuk watak, keyakinan diri dan benteng diri untuk menjauhi pengaruh dan penyakit sosial. Semua remaja diseru membuat pilihan bijak dan menjadi contoh atau role model di antara satu sama lain sebagai rakan sebaya.

Tiba masa bagi setiap masyarakat bekerjasama berganding bahu dalam mencari strategi paling berkesan untuk penyelesaian dan pencegahan gejala sosial. Seruan jihad perjuangan ini kepada semua pihak – ibu bapa, sekolah, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta sektor swasta untuk bersama-sama bertindak dalam apa juga bentuk yang boleh menghasilkan kebaikan.

Usaha bersama ini mengharapkan agar remaja akan berasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dengan sentiasa menjadikan kekuatan dalam diri sebagai benteng untuk menangkis segala dugaan dan cabaran yang boleh merosakkan diri sendiri.

Jadikan segala gejala sosial negatif sebagai cabaran dan sempadan. Gunakan usia muda ini dengan penuh bijaksana dan hikmah untuk menuju ke tahap kecemerlangan diri. Dengan amalan hidup positif lagi sederhana dalam setiap aspek kehidupan, remaja akan mampu membawa negara ke abad dan iltizam baharu.

Penulis adalah Tokoh Belia Negara 2011/ Asean 2011 dan aktivis sosial menangani golongan belia berisiko

Berita Harian X