Selasa, 5 November 2019 | 11:00am
Murid-murid tahun satu terdiri pelbagai bangsa. - Foto hiasan/BERNAMA

Sistem pendidikan tunggal satukan kaum

Kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada perpaduan dan semangat cintakan negara. Tanpa kedua-duanya sukar bagi sesebuah negara mencapai kemajuan diidamkan.

Keperluan kepada kedua-dua perkara ini lebih mendesak jika sesebuah negara itu didiami masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

Menelusuri sejarah Islam, unsur perpaduan dan kesatuan turut diberi perhatian utama oleh Rasulullah SAW ketika era kepimpinan Baginda, khususnya melalui Piagam Madinah digubal enam abad lebih awal daripada Magna Carta, yang dianggap Perlembagaan tertua di Barat.

Melaluinya Baginda meletakkan unsur perpaduan dan kesatuan serta keperluan merujuk kepada satu Perlembagaan sebagai dua fasal awal daripada 47 fasal keseluruhan.

Bagi menjamin keadilan, setiap penduduk Madinah, termasuk mereka bukan Islam seperti kaum Yahudi diberi jaminan perlindungan keselamatan selama mana mematuhi piagam ini (Fasal 15 dan Fasal 16).

Bagaimanapun hak ini tidak akan diberikan kepada mereka yang berlaku zalim atau melakukan kesalahan. Ini dijelaskan di bawah Fasal 47. Selain itu dalam Fasal 37, semua penduduk baik beragama Islam atau bukan Islam dikehendaki berganding bahu serta bekerjasama menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran Madinah dalam pelbagai bidang kehidupan seperti ekonomi, kewangan dan kemasyarakatan.

Semangat yang ada dalam Piagam Madinah ini sebenarnya turut terkandung dalam undang-undang dan Perlembagaan Malaysia. Contohnya seperti ketaatan kepada pemimpin dan unsur kesatuan, jaminan beragama dan hak asasi serta hak mendapat perlindungan dan keselamatan, turut terkandung dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.

Di Malaysia, semangat bersatu padu sentiasa dilaungkan ramai, termasuk ahli politik dan golongan pemerintah. Ia semakin lantang, terutama ketika sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Tidak dinafikan perpaduan dan semangat patriotisme bukan mudah untuk diwujudkan. Dalam kalangan Melayu selaku penduduk majoriti Malaysia sendiri pun wujud perpecahan dan perbalahan sesama mereka. Apa lagi dalam sebuah negara yang turut dihuni kaum Cina, India, kelompok Bumiputera lain serta warga asing.

Paling tidak setiap etnik atau kaum sedikit sebanyak mempunyai sentimen assabiyah atau semangat kesukuan terhadap puak masing-masing.

Manusia pada dasarnya satu kelompok sosial yang mempunyai kecenderungan untuk hidup secara bersama. Jika bersendirian, mereka akan berhadapan pelbagai kesukaran. Setiap individu memerlukan bantuan dan kerjasama daripada orang lain. Mereka tidak mampu memenuhi keperluan asasi dan mempertahankan diri secara bersendirian.

Pada masa sama suasana konflik, kezaliman dan permusuhan tidak memungkinkan manusia hidup dalam satu kumpulan sosial yang harmoni. Justeru semangat assabiyah atau solidariti sosial atau cintakan kaum, amat diperlukan bagi membolehkan manusia menjalani hidup sempurna dan aman.

Bagaimanapun assabiyah berdasarkan ketaasuban membabi buta sehingga menolak kebenaran atau menafikan hak kumpulan lain, adalah bentuk perkauman yang ditegah Islam.

Ini juga berlaku di Malaysia. Sikap taasub kepada pemimpin parti atau kumpulan ajaran tertentu atau ideologi didukung sesetengah parti politik atau pertubuhan, ada kalanya menyebabkan pengikut mereka menolak kebenaran.

Mereka juga enggan memperakui hak orang lain walaupun kedua-duanya, yakni kebenaran dan hak itu secara jelas diperakui Islam, undang-undang mahupun Perlembagaan negara.

Jadi bagaimana kita mampu wujudkan semangat kesatuan dan perpaduan, pada masa sama mewujudkan sikap assabiyah yang lebih besar perspektifnya berbanding assabiyah kesukuan?

Pada hemat penulis, dalam sebuah negara diwarnai pelbagai latar belakang keturunan, Malaysia seharusnya mempunyai satu sahaja sistem pendidikan.

Dewasa ini selain sekolah kebangsaan, kita turut mempunyai sekolah vernakular yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan Tamil. Jadi usaha membentuk kesatuan dalam kalangan penduduk daripada peringkat awal sudah ada sedikit kesukaran kerana orang muda diasingkan daripada bergaul dan berasimilasi sesama mereka.

Ini menyumbang kepada pelebaran jurang persefahaman antara kaum di negara kita. Memandangkan setiap kaum di negara ini sudah diasingkan dalam bentuk pendidikan, sedikit sebanyak mereka akan mempunyai mentaliti untuk mengasingkan diri daripada bergaul dengan kaum lain.

Mereka juga akan lebih selesa menggunakan bahasa ibunda masing-masing sedangkan faktor bahasa boleh menjadi alat penyatuan dalam sesebuah negara.

Lihat sahaja Thailand dan Indonesia. Orang Melayu Thailand sudah selesa berbahasa Siam, begitu juga masyarakat Tionghua Indonesia yang selesa berbahasa Indonesia. Ini semuanya hasil sekolah satu aliran kebangsaan.

Di negara maju sekalipun, mereka hanya mempunyai satu sistem pendidikan aliran nasional walaupun negara dihuni berbilang bangsa. Mereka sedar kesatuan, perpaduan dan semangat patriotisme tidak wujud jika setiap penduduk membawa kepala masing-masing.

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X