Sabtu, 26 Oktober 2019 | 11:00am
MASALAH kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kerajaan di seluruh negara diharap dapat diatasi dengan pengumuman Belanjawan 2020 baru-baru ini. - Foto hiasan

Atasi suasana 'daif' jabatan kecemasan hospital kerajaan

MASALAH dihadapi pesakit yang perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital di seluruh negara seperti tiada penghujungnya.

Ramai pesakit kerap mengeluh mengenai tempoh yang terlalu lama mereka perlu menunggu untuk mendapatkan rawatan di bahagian itu. Mungkin ada segelintir tidak percaya, tetapi itulah yang disebut dalam laporan Jabatan Audit Negara 2018 Siri 1, baru-baru ini.

Mengikut laporan itu, hospital kerajaan semakin nazak akibat kesesakan di jabatan kecemasan. Kebanyakan pesakit hanya menerima rawatan selepas enam jam tiba di hospital, sekali gus menyebabkan kelewatan pesakit mendapatkan rawatan dan boleh juga mengakibatkan masalah lebih serius atau kematian.

Kesesakan di ETD di hospital berpunca daripada jumlah kunjungan pesakit melebihi Level of Care yang ditetapkan, iaitu antara 5.7 hingga 95.6 peratus.

Selain itu, ETD turut mengalami kekurangan perjawatan iaitu antara 11.6 hingga 53.1 peratus, berbanding bilangan perjawatan diperlukan berdasarkan pengiraan Workload Indicators of Staffing Need (WISN) 2010.

Laporan itu turut menyebut kekurangan perjawatan bagi pakar kecemasan adalah antara 75.6 hingga 79.5 peratus, pegawai perubatan antara 41.2 hingga 64.6 peratus, penolong pegawai perubatan antara 2.6 hingga 33.9 peratus dan jururawat terlatih antara 17.4 hingga 67.1 peratus.

ETD juga turut kekurangan bilangan katil bagi ruang rawatan di Zon Kuning, Zon Merah dan Wad Pemerhatian kerana menerima jumlah pesakit yang semakin meningkat, menyebabkan mereka terpaksa menyediakan antara lapan hingga 50 unit atau dua hingga lima kali ganda bilangan katil tambahan atau sofa.

Jika dilihat, kebanyakan hospital di kawasan bandar utama semuanya berdepan masalah kesesakan kerana sewaktu dibina dahulu, jumlah penduduk di kawasan sekitarnya tidaklah begitu ramai. Tidak dinafikan, usaha mempertingkatkan perkhidmatan dan kemudahan tidak diketepikan pihak kerajaan, tetapi masih ada yang perlu dilakukan lagi untuk penambahbaikan.

Apa yang berlaku sekarang disebabkan kesesakan, pesakit terpaksa ditempatkan di koridor wad dan jika sudah tiada ruang, mereka dipindahkan pula ke hospital lain. Kesesakan bukan saja berlaku dalam wad, malah di bahagian kecemasan, farmasi, klinik dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Keadaan ini bukan saja menyusahkan keluarga pesakit, malah merumitkan juga urusan kakitangan hospital menyediakan kemudahan dan sebagainya. Masalah menjadi lebih kritikal apabila sesetengah hospital mengecilkan ruang wad untuk menempatkan katil dalam usaha mempelbagaikan kemudahan rawatan.

Kita lihat usaha yang dibuat ini sudah tentunya berniat baik, tetapi mengakibatkan kesesakan kerana mereka terpaksa menerima pesakit yang menghidap pelbagai jenis penyakit tertentu di kawasan lain. Kes kemalangan jalan raya, kemalangan perusahaan dan kes mereka yang secara tiba-tiba dikejarkan ke bahagian kecemasan menambahkan lagi kesesakan di hospital dan kesibukan kakitangan.

Ini tidak dikira lagi caj murah yang dikenakan hospital kerajaan turut menjadi antara faktor mendorong warga asing mendapatkan rawatan di situ. Keadaan kesesakan ini boleh dielak sekiranya pesakit faham, bukan semua penyakit perlu dirawat di hospital atau secara khusus di jabatan kecemasan.

Jika orang ramai mampu memahami fungsi sebenar jabatan kecemasan dan trauma, pihak hospital mampu memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pesakit.

Kerajaan perlu tingkatkan usaha untuk mengatasi masalah kesesakan di hospital dengan terus menyalur dan meningkatkan peruntukan bagi menyediakan lebih banyak ruang serta mewujudkan banyak hospital di seluruh negara untuk pesakit.

Buat masa ini, lupakan dulu projek yang boleh ditangguh atau dibatal apatah lagi yang mega dan mewah. Sediakan peruntukan lebih bagi kemudahan kesihatan untuk kesejahteraan rakyat.

Penulis adalah Penyunting Eksekutif Berita Harian.

Berita Harian X