Jumaat, 25 Oktober 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

Kerangka rundingan merdeka

RUNDINGAN Kemerdekaan 1956-1957 adalah satu proses perkembangan Perlembagaan untuk membentuk sebuah persekutuan dan pengukuhan negara bangsa di Tanah Melayu.

Pandangan popular mendakwa Persidangan London 1956 sehingga penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah proses rundingan antara kaum berasaskan pada 131 memorandum yang diserahkan kepada Suruhanjaya Reid 1956.

Namun, dokumen sejarah menunjukkan sebaliknya. Dalam Perjanjian Harold McMichael 1945, Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, proses itu dinamakan perkembangan Perlembagaan.

Perkembangan Perlembagaan bermula selewat-lewatnya apabila Kesultanan Melayu Melaka berkerajaan dan seawal agama Islam dianuti oleh kerajaan Melayu di Tanah Melayu.

Wilayah Tanah Melayu yang berada di bawah jajahan, naungan atau bersekutu di bawah Kesultanan Melayu Melaka meneruskan kewujudan Alam Melayu bersama-sama dengan pegangan kepada agama Islam bersyariatkan Nabi Muhammad SAW.

Hal ini berevolusi sehingga memberi identiti baharu kepada penduduk Tanah Melayu; daripada rakyat Raja Melayu yang tidak dibatasi oleh agama kepada pengenalan orang Melayu disyaratkan penganut agama Islam.

Lantaran itu, rakyat Raja Melayu yang tidak menganuti agama Islam mengekalkan etnik asal mereka tanpa afilasi Melayu dengan panggilan sebagai orang Asli. Inilah hakikat orang asal di Tanah Melayu atau rakyat Raja Melayu sebelum kelahiran istilah ‘bangsa’ dan ‘kewarganegaraan’.

Identiti itu mengukuhkan institusi beraja di setiap negeri Melayu di samping, memperluas tulisan Jawi dalam sistem bahasa Melayu dan perkembangan adat Melayu sebagai sumber perundangan watan berprinsipkan patuh syariah.

Keadaan di atas menggambarkan beberapa asas kenegaraan di Tanah Melayu sebelum Malayan Union diperkenalkan pada 1 April 1946 yang akhirnya dibatalkan dengan Perjanjian Negeri 1948. Perlu dinyatakan bahawa banyak peruntukan dalam Malayan Union Order in Council 1946 digantung seawal Julai 1946, hanya beberapa bulan Malayan Union dimasyhurkan.

Perlu juga dinyatakan bahawa idea untuk menubuhkan Malayan Union tercetus akibat kegagalan British untuk menunaikan janji mereka dalam perjanjian dengan Raja-Raja Melayu, iaitu untuk melindungi kerajaan Melayu daripada ancaman luar. Kegagalan itu berlaku apabila British diusir oleh tentera Jepun.

Satu fakta yang sering diabaikan apabila membicarakan sejarah Rundingan Kemerdekaan 1956-1957, di Tanah Melayu sudah terdiri undang-undang Perlembagaan di setiap kerajaan negeri Melayu sebelum 1948 lagi.

Bermula pada 1 Februari 1948, lahirlah undang-undang Perlembagaan dalam bentuk moden, tetapi masih mengekalkan prinsip kedaulatan watan sedia ada.

Undang-undang Perlembagaan itu dinamakan Undang-Undang Tubuh Kerajaan bagi Negeri-Negeri Melayu, selain kerajaan Terengganu. Kerajaan Terengganu menggelarkan perlembagaannya sebagai Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Untuk rekod, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911 sudah digubal dalam bentuk moden lebih awal dari tarikh 1948. Sekian lama rakyat dikelirukan antara istilah rundingan kemerdekaan dengan rundingan antara kaum.

Kekeliruan yang berlaku meletakkan satu persepsi nakal bahawa tanpa persetujuan orang Melayu untuk membuka kewarganegaraan kepada bukan bangsa asal di Tanah Melayu, maka Tanah Melayu tidak akan diberikan kemerdekaan oleh British. Lebih nakal lagi kenyataan yang mendakwa bahawa tanpa persetujuan the founding fathers atau kaum pendatang, maka Islam, sistem beraja, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan lain-lain peruntukan yang menjamin semua kedudukan itu tidak akan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Mereka mendakwa semua itu terhasil daripada rundingan kaum yang dinobatkan sebagai kontrak sosial. Seolah-olah Raja-Raja Melayu tiada tempat dalam sejarah penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan (2018) menghuraikan sejarah perundangan di Tanah Melayu berasaskan proses perkembangan Perlembagaan sehingga penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Dalam buku itu dihuraikan kedudukan sebenar Suruhanjaya Reid 1956 dan laporannya pada 1957 dari sudut jurisprudens. Apa yang didakwa sebagai rundingan kemerdekaan itu sebenarnya ialah kemajuan proses perkembangan Perlembagaan di negeri Melayu sehingga Tanah Melayu kembali bersekutu.

Apabila Malayan Union dibatalkan maka Perjanjian Negeri 1948 menjadi batu asas kepada terma pembinaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Proses rundingan yang berlaku selepas Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menghasilkan kemajuan pada 1948 dan 1957.

1. Rundingan antara Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan British yang mewakili Negeri-Negeri

Selat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan sementara 1948 selanjutnya Kerajaan Yang di-Pertuan Agong melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, bermaksudkan sebuah persekutuan yang kuat untuk berdepan dengan ancaman luar dan mampu berdikari.

Rundingan itu antara lain untuk memohon perkenan Raja-Raja Melayu untuk mendelegat sebahagian kuasa kerajaan-kerajaan negeri mereka kepada Kerajaan Persekutuan dan sistem kerajaan berpersekutuan yang tetap mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Hasilnya termaktublah Jadual 9 dan lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang bersifat agihan bidang kuasa kepada Persekutuan.

2. Proses bagi kerajaan-kerajaan negeri Melayu berkerajaan sendiri bebas daripada campur tangan British.

3. Proses bagi Negeri-Negeri Selat untuk merdeka dan diserahkan kedaulatannya kepada Kerajaan Yang di-Pertuan Agong.

4. Permohonan kaum pendatang untuk menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, ada syarat dan sumpah kewarganegaraan, iaitu Borang VIII.

5. Lahirlah bangsa Melayu yang terdiri daripada orang Melayu, orang Asli dan bukan orang Melayu (kaum-kaum etnik lain).

Sekiranya rundingan berlandaskan terma Persidangan London 1956 tidak berjaya, pastinya kerajaan negeri-negeri Melayu akan kekal sebagai entiti bebas merdeka tanpa ikatan Persekutuan. Pada sisi lain, rakyat bangsa asing daripada pelbagai kaum pendatang yang tidak diterima sebagai bangsa Melayu atau warganegara Persekutuan Tanah Melayu, pastinya kekal dengan status bukan warganegara Persekutuan Tanah Melayu, dan Malaysia pada hari ini. Ringkasnya, berdasarkan fakta sejarah dan sejarah perundangan di Tanah Melayu, rundingan kemerdekaan tidak wajar dianggap sebagai rundingan antara kaum apatah lagi kontrak sosial. Kontrak sosial dari sudut undang-undang ialah kedaulatan rakyat. Hal ini kerana kedaulatan Raja-Raja Melayu sebelum dan pasca Hari Merdeka masih terpelihara di dalam undang-undang tertingginya.

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis merangkap Penasihat Gabungan MI’RAJ

Berita Harian X