Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:00am

Kebajikan B40 agenda penting Belanjawan 2020

Kita semua pastinya amat ternanti Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan esok. Ia adalah belanjawan kedua oleh kerajaan Pakatan Harapan. Belanjawan 2020 unik kerana serentak sasaran Wawasan 2020 negara.

Wawasan ini dibentangkan Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi kertas kerja bertajuk ‘Malaysia: Langkah ke Hadapan’ pada Persidangan Majlis Perdagangan pada 1 Mei 1991. Ia bermatlamat merencanakan Malaysia ke arah masa depan dan cara mencapai matlamat membangunkan Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi sepenuhnya menjelang 2020.

Bagaimanapun menurut Dr Mahathir baru-baru ini, Wawasan 2020 yang digariskannya ketika menjadi Perdana Menteri keempat (1981-2003), sudah tersasar untuk dicapai. Namun beliau yakin ia mampu dicapai dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Persoalannya, adakah Belanjawan 2020 ini menyasarkan untuk mencapai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi?

Tema Belanjawan 2020 ialah ‘Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi’. Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada sesi pradiskusi Belanjawan 2020, ia akan memberi tumpuan kepada sasaran Malaysia untuk menjadi negara maju melalui pertumbuhan ekonomi berkualiti merangkumi semua segmen masyarakat.

Katanya, pertumbuhan inklusif akan meliputi sektor penjagaan, perubatan, pendidikan, pekerjaan dan keadaan ekonomi yang bebas daripada persaingan yang tidak adil dan pasaran monopoli. Semua kerangka ini untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi bagi mencapai negara ekonomi berpendapatan tinggi.

Namun begitu, sesetengah penganalisis ekonomi meramalkan Belanjawan 2020, mungkin tidak akan jauh bezanya dengan belanjawan lalu. Bagi belanjawan terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan menyasarkan penggunaan pendekatan Bajet Asas Sifar (Zero Based Budgeting) bertujuan meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan penjimatan kerana perbelanjaan dibuat melalui matlamat peruntukan dan bukannya berdasarkan perbelanjaan tahun sebelumnya.

Ia dirancang melalui jumlah sifar. Adakah pendekatan belanjawan tahun lalu benar-benar berjaya dalam meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan penjimatan?

Tahun 2019 adalah tahun yang mengalami pertumbuhan ekonomi tidak begitu baik. Ini adalah faktor luaran yang mengganggu kebanyakan negara di dunia. Walaupun kerajaan Pakatan Harapan melakukan banyak usaha untuk memulihkan ekonomi negara, kadar kelembapan pertumbuhan beberapa rakan dagang utama Malaysia ekoran perang dagang Amerika Syarikat dan China, turut mempengaruhi keadaan.

Hal ini menyebabkan keadaan yang buruk terhadap ekonomi global, mengganggu rantaian bekalan dan turut menggugat pasaran saham Asia dan dunia. Laporan akhbar ini memetik Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd Redza Abdul Rahman, sebagai berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua adalah sedikit lebih baik berbanding unjuran pihaknya, 4.8 peratus.

Keadaan ini kekal positif terhadap perkembangan ekonomi negara untuk separuh tahun kedua tahun ini dengan mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2019 pada kadar 4.9 peratus. Selain itu, kadar inflasi rendah, pasaran pekerjaan stabil dan perubahan dasar monetari dan fiskal yang menyokong seperti penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di samping harga bahan api runcit yang stabil dijangka terus memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi negara pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Sementara itu, menurut Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Pusat Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), peningkatan positif pertumbuhan KDNK pada suku kedua 2019 berkemungkinan didorong nilai ringgit yang kompetitif menyebabkan berlaku peningkatan permintaan eksport terhadap barangan dan perkhidmatan negara.

Nilai eksport pada suku kedua 2019 yang berjumlah RM245.46 bilion, meningkat 0.2 peratus berbanding suku sama 2018, manakala jumlah import merosot 1.2 peratus dalam tempoh sama. Ini menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang kerana wujudnya permintaan untuk eksport dan pada masa sama turut menunjukkan peningkatan positif bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang tidak begitu baik, isu kos sara hidup yang tinggi bagi rakyat sememangnya menjadi agenda utama negara. Lebih terkesan dengan situasi ini adalah golongan B40.

Kerajaan sedang merancang Indeks Kos Hidup untuk menentukan kos kehidupan minimum yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan yang selesa. Indeks ini berbeza daripada Indeks Harga Pengguna (CPI) sedia ada yang digunakan untuk mengesan perubahan harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

Diharapkan indeks ini akan membantu kerajaan merangka dasar lebih tepat dalam menangani kos sara hidup dihadapi rakyat. Kerajaan dijangka terus menyalurkan Bantuan Sara Hidup kepada golongan B40 namun kaedah penyaluran bantuan ini yang menjadi tanda tanya.

Adakah penyaluran secara tunai seperti tahun terdahulu sebagai kaedah yang berkesan atau penggunaan kad atau kupon yang lebih baik bagi menggantikan kaedah sedia ada bagi memastikan golongan ini menggunakan Bantuan Sara Hidup ini untuk membeli barang keperluan asas.

Selain itu, isu subsidi minyak dan subsidi hospital yang membabitkan peruntukan besar oleh kerajaan dan isu belia serta kadar pengangguran di kalangan belia dilihat sebagai agenda menarik untuk didengari dalam belanjawan kali ini.

Penulis adalah Koordinator Program Ijazah Kewangan dan Pelaburan, Universiti Teknologi MARA Johor

Berita Harian X