Selasa, 1 Oktober 2019 | 11:00am
Peserta pada raptai sempena sambutan ulang tahun penubuhan Republik Rakyat China ke-70, di Tiananmen Square, Beijing. - Foto AFP

7 dekad China berjuang demi kemakmuran

PADA 70 tahun lalu, mendiang Pengerusi Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China kepada dunia. Maka berakhirlah penderitaan dan kesusahan 100 tahun diharungi bangsa Cina, susulan pergolakan dalaman dan ancaman luaran.

Sejak itu, China bangkit melangkah memulakan perjuangan ke arah kemakmuran negara dan kebangkitan bangsa.

Saya masih ingat generasi yang lahir pada hujung 1940-an dan awal 1950-an sentiasa diberikan nama ‘Jian Guo’ (penubuhan negara) atau ‘Guo Qing (hari kebangsaan). Penubuhan negara baharu jelas besar maknanya bagi semua rakyat yang meletakkan harapan tinggi terhadap masa depan negara.

Sepanjang 70 tahun lalu, China mengorak langkah baik dari segi pembangunan negara mahupun kesejahteraan rakyat. Saya amat berbesar hati melihat kemajuan yang sungguh memberangsangkan itu.

Dalam tempoh 70 tahun lalu, China mencipta banyak keajaiban dalam pembangunan sosioekonomi. Bermula sebuah negara pertanian miskin, China berkembang menjadi entiti ekonomi kedua terbesar dan gergasi sektor pembuatan, dengan jumlah dagangan dan rizab pertukaran asing paling besar di dunia.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyaksikan pertumbuhan 450 kali ganda, meningkat kepada AS$13.6 trilion (RM56.9 trilion) pada 2018 daripada AS$30 bilion (RM125.8 bilion) pada 1949.

China kini rakan dagang terbesar 130 buah negara. Dengan purata sumbangan tahunan hampir 30 peratus, China menjadi enjin penggerak utama kepada ekonomi dunia.

Selama 70 tahun ini, China mencapai kemajuan besar dalam sains dan teknologi. Pada peringkat awal penubuhan, China tidak mempunyai sebarang kepakaran dalam bidang pembuatan dan teknologi.

Hari ini, negara itu bukan sahaja pengeluar automotif terbesar dunia, malah mempunyai pesawat berbadan lebar atau ‘widebody aircraft’ buatan sendiri.

Dengan pelaksanaan strategi pembangunan dipacu inovasi, pencapaian dalam pelbagai bidang dirangkul. Antaranya termasuk penerbangan membawa angkasawan ke angkasa lepas, misi penjelajahan bulan, sains kuantum, penjelajahan laut dalam, superkomputer, navigasi satelit dan lain-lain.

Selain menduduki tempat teratas dalam pemfailan permohonan paten selama lapan tahun berturut-turut, China juga paling hadapan dari segi teknologi 5G, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI). Jumlah pengguna jalur lebar mudah alih di China melebihi 1.3 bilion.

Dalam tempoh 70 tahun lalu, kehidupan rakyat China bertambah baik. “Jika tiada negara yang kuat, manakah lahirnya keluarga yang kaya” seperti dinyatakan lagu berjudul ‘Negara’. Ia berkat usaha kerajaan melangkah ke arah keterbukaan, sehingga rakyat dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Pendapatan per kapita China bertambah daripada AS$70 (RM293.5) kepada AS$9,470 (RM39,707). Purata jangka hayat juga meningkat kepada 77 tahun berbanding 35 tahun.

Sejak dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan 40 tahun lalu, seramai 700 juta orang keluar daripada belenggu kemiskinan. Golongan yang mampu keluar daripada kancah kemiskinan akan mencatat 1.4 bilion.

Ini bukan sahaja contoh bagi negara membangun dalam usaha membasmi kemiskinan, bahkan mencipta keajaiban dalam lipatan sejarah China selama 5,000 tahun serta sejarah umat manusia.

Dalam tempoh 70 tahun lalu, integrasi dan kerjasama antara China dan dunia semakin didalamkan. Sejak mengesahkan tempat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1971, China sentiasa aktif dalam urusan dunia.

China menjadi penyumbang kedua terbesar kepada bajet tetap PBB dan mengerahkan anggota pengaman paling banyak untuk misi pengaman pertubuhan itu sebagai antara lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

China juga menganggotai hampir semua organisasi antarabangsa antara kerajaan serta lebih 500 konvensyen antarabangsa.

Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) disarankan Presiden Xi Jinping pada 2013 disahut 136 negara serta 30 pertubuhan antarabangsa. Ia antara kepentingan awam global dan platform kerjasama antarabangsa paling popular.

Selama 70 tahun ini, daripada bangkit berdiri, menjadi makmur dan kuat hinggalah menerajui arus sezaman, satu demi satu lonjakan direalisasikan China.

Berkat kebijaksanaan kolektif dan usaha gigih, rakyat China mencatatkan detik cemerlang dalam sejarah umat manusia.

Pencapaian cemerlang China hari ini bergantung tiga faktor. Yang pertama pimpinan Parti Komunis China (PKC). Sepanjang 70 tahun lalu, jumlah anggota PKC bertambah kepada 90 juta berbanding lebih 10 orang pada peringkat awal penubuhan.

PKC mengetuai rakyat China merintis satu jalan pembangunan paling sesuai dengan keadaan sebenar negara, serta memastikan dasar diperkenalkan kerajaan sejajar kepentingan rakyat.

Ini punca utama PKC mampu memenangi sokongan rakyat dan mentadbir negara dalam jangka masa panjang hingga merangkul satu demi satu hasil membanggakan.

Yang kedua, semangat perjuangan rakyat. Penyertaan tenaga buruh China menduduki ranking pertama dunia dengan kadar 76 peratus, membabitkan hampir semua orang melainkan warga emas, kanak-kanak dan pelajar.

Sejumlah 1.4 billion rakyat bekerja keras membanting tulang demi rezeki. Kedai yang beroperasi hingga lewat malam dikendalikan orang China. Ini menunjukkan pencapaian China hari ini tidak datang dengan mudah dan ia hasil titik peluh dicurahkan rakyat.

Faktor ketiga, konsep pembangunan China berteraskan keamanan, keterbukaan dan inklusif. China mengekalkan hubungan baik dengan hampir semua negara dunia, yang mencipta suasana kondusif untuk pembangunan sendiri.

China berpegang teguh pada dasar pembaharuan dan pintu terbuka, di samping mengambil sikap terbuka, inklusif dan saling mempelajari dalam melakukan kerjasama dengan negara lain.

China mendukung semangat Piagam PBB, melaksanakan sepenuhnya kewajipan dan tanggungjawab antarabangsa, aktif dalam urusan global serta mengetengahkan buah fikiran demi pembaharuan sistem tadbir urus global.

Kini, dunia berdepan peluang serta risiko yang timbul seiring perubahan, dilihat dari segi transformasi penjana lama kepada baharu, pola kuasa antarabangsa dan sistem tadbir urus global.

Entiti ekonomi baharu muncul dan negara membangun termasuk China dan Malaysia bukan sahaja berdepan peluang terbaik, tetapi juga cabaran yang agak besar.

Mutakhir ini, pertarungan antara China dan Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian pelbagai pihak. Isu seperti mampukah kedua-dua negara mengelak daripada perangkap ‘Thucydides’ dan dapatkah ekonomi China kekal tumbuh mampan, menjadi bualan hangat.

China memberi jawapan jelas - sudi berdialog dengan harapan AS sehaluan dalam usaha menjaga persekitaran ekonomi dunia yang mantap.

China beriltizam mengharungi segala rintangan dalam laluan pembangunan, di samping menawarkan lebih banyak peluang kepada dunia.

China akan sentiasa berperanan sebagai pembina keamanan dunia, penyumbang kerjasama sejagat dan penjaga aturan antarabangsa untuk menyuntik tenaga positif kepada pembangunan bersama semua.

Malaysia adalah rakan baik China. Ia antara negara paling awal menjalin hubungan diplomatik dengan China di rantau ASEAN, malah antara paling awal menyokong dan menyertai Inisiatif BRI. Sejak ikatan dijalin 45 tahun lalu, China dan Malaysia sentiasa melayan satu sama lain sama rata dan saling menghormati serta mengejar situasi ‘untung-untung’ hingga mendatangkan manfaat melimpah-ruah.

Pada masa ini, hubungan China-Malaysia memasuki era baharu. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memandang tinggi hubungan dengan China dan aktif terbabit dalam kerjasama berkaitan BRI, membolehkan ikatan dua hala memperlihatkan momentum perkembangan lebih kuat.

Dalam setahun lalu, lebih separuh anggota jemaah menteri Malaysia melakukan lawatan ke China. Banyak produk keluaran Malaysia seperti durian dan minyak sawit dieksport ke China. Semakin banyak syarikat China melabur di Malaysia dan interaksi sesama rakyat membabitkan bidang pendidikan, sukan dan seni semakin rancak.

Boleh dirumuskan hubungan kedua-dua negara mempunyai asas kukuh, potensi yang besar dan prospek yang luas.

China yang terus berkembang maju serta komited terhadap keamanan, keterbukaan dan kerjasama akan mencipta lebih banyak peluang kepada Malaysia pada masa hadapan.

Ada pepatah berbunyi ‘Lebih pantas jika berjalan bersendirian, lebih jauh jika berjalan berkumpulan’.

China bersedia berkongsi peluang pembangunan dengan keterbukaan pada tahap lebih tinggi, mengejar pembangunan bersama melalui permuafakatan yang lebih banyak, menggalakkan situasi untung-untung menerusi sinergi lebih rapat, sekali gus memberi sumbangan lebih besar kepada dunia.

China akan berganding bahu dengan negara lain termasuk Malaysia untuk mengatasi onak ranjau yang ditempuh ke arah merintis masa hadapan lebih gemilang.

Penulis adalah Duta Besar China ke Malaysia

Berita Harian X