Sabtu, 28 September 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

Kesalahan mengagungkan keganasan

DALAM usaha melawan keganasan, banyak negara menjadikan tindakan mengagungkan keganasan sebagai satu kesalahan jenayah. Menjenayahkan perbuatan mengagungkan keganasan sering disandarkan kepada Resolusi 1624-2005 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Majlis Keselamatan badan itu menyeru negara anggota untuk menggubal undang-undang melarang sebarang bentuk hasutan bagi melakukan tindakan keganasan.

Seruan Majlis Keselamatan PBB disambut banyak negara. Misalnya di United Kingdom, Akta Keganasan 2000 dipinda pada 2006 bagi memasukkan perihal mengenai tindakan mengagungkan keganasan.

Bagi Malaysia, Kanun Keseksaan tidak menyebut tindakan mengagungkan (to glorify) keganasan secara literal. Namun seksyen 130G (a) menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana orang menghasut atau mempromosi perbuatan jenayah, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan didenda jika didapati bersalah. Seksyen 130G(b) pula menyentuh mengenai tindakan mempromosikan keanggotaan kumpulan pengganas.

Selain itu, seksyen 130J Kanun Keseksaan pula menjelaskan mengenai kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas atau perbuatan keganasan. ‘Sokongan’ itu merangkumi penggunaan media sosial bagi tujuan menyokong atau mempromosi atau menyokong kumpulan pengganas atau perbuatan keganasan.

Secara umumnya di Malaysia, ada dua bentuk kesalahan berkaitan mengagungkan keganasan. Pertama, kesalahan menghasut atau menyokong perbuatan keganasan. Penekanan diberi kepada tindakan yang bersifat keganasan, tanpa melihat siapa yang melakukannya. Kedua, kesalahan mempromosikan kumpulan pengganas, biarpun tidak dikaitkan apa-apa perbuatan keganasan secara khusus. Bagi kesalahan mengagungkan tindakan keganasan, kesalahan ini seumpama kesalahan menghasut seseorang melakukan perbuatan jenayah atau kekerasan.

Justifikasi larangan hasutan bagi melakukan keganasan lebih jelas sekiranya penghasut menyebut secara khusus kekerasan yang diinginkan. Bagaimanapun, kesalahan ini mungkin rumit jika ‘hasutan’ itu berbentuk umum tanpa dikaitkan mana-mana kumpulan pengganas.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang yang menyeru serangan dibuat ke atas kerajaan yang dipimpin oleh diktator. Begitu juga seseorang yang memuji seorang yang mengebom diri dengan menyasarkan tentera penjajah atau ketika dalam keadaan perang. Dalam keadaan sebegitu, pertimbangan moral dan politik turut wajar diberi perhatian.

Kesalahan jenis yang kedua adalah mengagungkan kumpulan pengganas. Kesalahan ini membabitkan tindakan memuji atau meraikan kumpulan pengganas tertentu. Maka bagi tujuan pendakwaan di mahkamah, kumpulan berkenaan semestinya terlebih dahulu memenuhi kriteria sebagai ‘kumpulan pengganas’ menurut undang-undang.

Dalam konteks Malaysia, ‘kumpulan pengganas’ ditentukan melalui dua kaedah. Pertama, menurut Kanun Keseksaan, ‘kumpulan pengganas’ adalah entiti yang bermatlamat atau melakukan atau memudahkan perbuatan keganasan.

Melalui pendekatan ini, fokus adalah pada tindakan atau matlamat sesebuah kumpulan. ‘Tindakan keganasan’ (terrorist act) dihurai panjang lebar dalam Kanun Keseksaan. Contohnya, penceroboh Lahad Datu yang menggelarkan diri mereka ‘Angkatan Tentera Kesultanan Sulu’ tidak pernah diwartakan sebagai ‘kumpulan pengganas’ sebelum kejadian berlaku.

Bagi kaedah kedua, penentuan status ‘kumpulan pengganas’ melalui perwartaan sebagai ‘entiti ditentukan’ di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Antara contoh adalah Jemaah Islamiyah, Gerakan Islam Turkistan Timur, Abu Sayyaf, Hizbullah, Militan Houthi dan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

Tiga perkara berikut diutarakan agar diperhalusi. Pertama, batas dan skop tindakan mengagungkan sesuatu tindakan atau kumpulan perlu difahami dengan mengambil kira hak kebebasan bersuara dan berpersatuan di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Soalan perlu dijawab adalah sejauh mana tindakan mengagungkan itu mengancam keselamatan negara sehingga membolehkan kebebasan asasi disekat atau dikecilkan. Kedua, penentuan kumpulan pengganas hakikatnya berkait rapat dengan definisi terrorisme atau keganasan, yang gagal disepakati sejagat.

Hal ini menjadi lebih rumit dalam membincangkan mengenai status pejuang kebebasan. Perjuangan mereka secara dasarnya sah berdasarkan hak menentukan nasib sendiri yang diiktiraf undang-undang antarabangsa. Namun pada masa sama, kaedah dan taktik diguna pakai sering menjadi pertikaian.

Ketiga, status sesebuah organisasi ‘pengganas’ rata-ratanya berubah mengikut peredaran masa. Sebagai contoh, perayaan memperingati Guy Fawkes yang disambut saban tahun di England pastinya tidak wajar dikelaskan sebagai mengagungkan keganasan, sedangkan Fawkes, yang cuba meletupkan Parlimen, dilabel sebagai pengganas pada zamannya.

Kesamaran dalam menentukan kesalahan mengagungkan keganasan secara amnya dipengaruhi sifat fenomena terorisme itu sendiri. Pertimbangan dan tindak balas disarankan perlu bersifat objektif. Di samping pertimbangan politik dan diplomatik, penumpuan mestilah dihala kepada sejauh mana sesuatu tindakan atau kenyataan itu mendorong orang awam untuk melakukan kekerasan. Bukan semata-mata kepada simbol, perlambangan atau retorik umum yang jauh perkaitannya dengan ancaman keganasan yang sebenar.

Penulis adalah Penyelidik Undang-Undang Counter-Terrorism dan Keadilan Jenayah di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X