Jumaat, 6 September 2019 | 11:00am
Penguatkuasaan tidak sehebat mana, maka gentar perokok juga tidak lama. - Foto hiasan

Rokok alternatif, pilihan atau tabiat

“Ha… tak apa. Boleh je merokok kat sini, tahun depan baru kena tangkap,” kata si A sambil menyalakan rokok di meja makan di restoran dan A bukan berseorangan. B ikut sama, C juga turut serta. Maka, berkepul-kepullah asap, puntung berganti puntung, tak kisahlah siapa di meja sebelah, ‘bukan kena tangkap pun’.

Ini pemandangan biasa, sebaik sahaja Kementerian Kesihatan mengumumkan untuk melanjutkan tempoh pendidikan larangan merokok di tempat makan, Julai lalu.

Pemilik restoran atau kedai makan juga tarik nafas lega. Boleh jawab, “merokok je kat sini…tak apa,” bila ada yang bertanya.

Ini bukan cerita baharu. Lebih dua dekad lalu, kerajaan bertindak ‘garang’ juga apabila mewartakan 12 kawasan umum sebagai kawasan larangan merokok. Pejabat dan restoran berhawa dingin, perhentian bas dan stadium, antara lokasi yang disenaraikan.

Sesiapa yang ditangkap merokok di kawasan ini boleh dikenakan kompaun serta-merta, malah boleh dihadapkan ke mahkamah dengan hukuman denda lebih tinggi. Namun, gah undang-undang hanya di kertas, penguatkuasaan tidak sehebat mana, maka gentar perokok juga tidak lama. Tinggallah niat yang baik, menjadi sia-sia.

Tahun ke tahun, macam-macam lagi tindakan, peraturan, malah undang-undang diperkenalkan. Harga makin lama makin naik, malah gambar mengerikan kesan buruk merokok juga dipaparkan di kotak rokok. Tujuannya bagi memupuk kesedaran dan membangkitkan kesedaran kepada perokok khususnya, bahawa tabiat merokok itu boleh membahayakan kesihatan atau lebih buruk, membawa maut.

‘Menakut-nakutkan’ perokok dengan kesan buruk merokok, hanya usaha sia-sia. Tanyalah mana-mana perokok, hampir pasti tiada seorang pun yang tidak tahu merokok itu berbahaya. Mereka akur kesan buruknya kepada diri sendiri, mereka tahu mudaratnya kepada bukan perokok. Mereka juga bimbang jika ahli keluarga, khususnya anak-anak turut dapat tempias, sama ada dapat penyakit atau menjadi perokok.

Attila Danko, seorang doktor dari Australia dan beliau juga seorang perokok tegar. Danko sudah merokok sejak berusia 11 tahun dan sehingga usia lebih setengah abad, Danko masih lagi bergelar perokok.


Attila Danko, seorang doktor dari Australia dan beliau juga seorang perokok tegar.

Danko mengakui berasa malu bergelar perokok, lebih-lebih lagi apabila menggalas tanggungjawab sebagai doktor, namun tegasnya, untuk membuang tabiat itu bukan sesuatu yang mudah, sehinggalah Danko mengenali vape.

Danko berkata, beliau ibarat diberi kehidupan baharu. Badan lebih sihat dan bertenaga, berbanding ketika berusia 20 tahun. Baginya, vape adalah satu pilihan terbaik untuk perokok membuang tabiat merokok.

“Saya tidak mengatakan vape atau rokok elektronik (e-rokok) ini tiada mudarat, tetapi ia lebih selamat berbanding rokok konvensional dan dapat membantu perokok mengurangkan atau terus berhenti merokok,” katanya yang ditemui pada Forum Nikotin Global (GFN) 2019, di Warsaw, Poland, baru-baru ini.

Namun, seperti kebanyakan negara lain di dunia, rokok alternatif seperti vape, dilarang di Australia.

“Benda yang membantu saya membuang tabiat merokok dan menjadi lebih sihat adalah benda terlarang. Saya juga menggunakan produk ini untuk membantu perokok lain untuk berhenti merokok, membantu mereka meningkatkan kualiti hidup dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Sejak beberapa tahun ini, seperti Danko, segelintir pihak, termasuk pengamal perubatan dan saintis juga semakin menerima kewujudan rokok alternatif ini. Bukan pilihan untuk melayan ketagihan, bukan juga pilihan untuk mereka yang mahu memulakan tabiat merokok, berhasrat untuk memulakan tabiat itu, namun lebih kepada satu kaedah untuk membantu perokok tegar mengurangkan atau berhenti merokok, dengan risiko mudarat lebih rendah berbanding rokok konvensional atau dikenali sebagai Tobacco Harm Reduction (THR).

Namun, bukan itu penerimaan majoriti, terutamanya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bagi WHO, rokok alternatif hanya memburukkan keadaan; berhenti secara mutlak adalah satu-satunya pilihan, ketika enam juta penduduk dunia maut akibat merokok dan hala tuju serta ketetapan WHO itu jugalah yang menjadi sandaran kebanyakan negara, termasuk Malaysia.

“WHO adalah musuh utama sains dan inovasi,” kata Pengarah Tindakan Mengenai Rokok dan Kesihatan United Kingdom, Clive Bates.

WHO sepatutnya menerima sains dan memberitahu perkara yang benar mengenai e-rokok iaitu ia kurang berbahaya berbanding merokok secara konvensional. WHO perlu mengubah pemikiran daripada hanya menumpukan pada aspek risiko kepada keterbukaan untuk memanfaatkan peluang iaitu teknologi yang dapat menggantikan rokok konvensional, kata Bates.

Bates yang pernah berkhidmat untuk Perdana Menteri UK, Tony Blair pada 2003 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpendapat, kerajaan seharusnya membenarkan produk THR berada di pasaran dan diiklankan, namun perlulah disertai dengan dasar, penguatkuasaan, sistem percukaian, malah kaedah kawalan yang berkesan.

“Tawar dan benarkan orang ramai memilih, seperti metadon, yang digunakan bagi merawat ketagihan dadah dan kondom untuk mencegah HIV dan AIDS. Adalah lebih baik kita memberi pilihan yang lebih selamat atau kurang risiko kemudaratannya daripada tidak memberi pilihan langsung kepada rakyat,” katanya.

Kata Bates, bapanya, yang meninggal dunia kerana penyakit berkaitan merokok, mungkin dapat hidup lebih lama jika ketika itu, mempunyai pilihan untuk menghisap e-rokok.

Adakah ini juga jalan terbaik untuk ‘membantu’ jutaan perokok di negara kita? Memberi pilihan yang kurang kemudaratannya kerana yang pasti, undang-undang, larangan dan taktik menakut-nakutkan, tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi.

Penulis adalah Pengarang Komersial dan Ehwal Semasa BH

492 dibaca
Berita Harian X