Rabu, 4 September 2019 | 1:14pm
MAJIKAN perlu menyediakan peralatan perlindungan bersesuaian kepada wartawan dan jurugambar bertugas. - Foto hiasan

Selamatkah wartawan di lapangan?

Bekerja dalam persekitaran selamat dan sihat, bebas daripada kemalangan adalah hak asasi setiap pekerja tanpa mengira jenis pekerjaan atau sektor. Pengamal media tidak terkecuali.

Adakah majikan di setiap organisasi media hari ini sudah bersedia dengan persiapan sepatutnya setiap kali melepaskan kakitangan masing-masing ke lokasi berisiko.

Bayangkan kejadian seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, demonstrasi jalanan, pencemaran gas atau toksik, adakah majikan menyediakan peralatan perlindungan diri atau PPE bersesuaian kepada wartawan, jurugambar serta jurufoto bertugas.

Bukan sekadar terdedah penyakit dan ancaman persekitaran, mereka yang dihantar ke zon perang atau konflik juga mungkin turut berdepan risiko tercedera atau terbunuh.

Kejadian wartawan sesak nafas dan terpaksa menerima rawatan di hospital kecemasan ketika membuat liputan pencemaran sungai di Pasir Gudang pada Mac lalu, contoh paling dekat mengenai pentingnya pemahaman dan pengetahuan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).

Kita tidak boleh berkompromi, apatah lagi menunggu sehingga ada insiden sebegitu berlaku lagi sebelum dapat menerima pakai amalan kerja selamat.

Malah, pengamal media sendiri perlu memiliki ilmu dan pengetahuan berkaitan OSH supaya bukan sahaja faham, tetapi mampu mengamalkannya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, sering menyebut bahawa safety is our right, safety is human right (keselamatan adalah hak kita, keselamatan adalah hak asasi manusia).

Beliau kerap menekankan bahawa pengamal media seperti juga dalam sektor pembinaan, perindustrian, gas dan minyak (O&G), perlu mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan agar kejadian wartawan, jurugambar dan jurufoto menjadi mangsa ketika bertugas di kawasan berisiko dapat dielakkan.

“Majikan kena sediakan kelengkapan PPE sebelum menghantar petugasnya ke kawasan berisiko supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan selesa dan pulang dengan selamat untuk bersama keluarga tersayang,” katanya.

Apabila petugas media memahami pentingnya aspek keselamatan, lebih mudah untuk memanjangkan ilmu dan pengetahuan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya turut peka dan sensitif, serta pantas mengambil tindakan pencegahan jika berdepan risiko di tempat kerja masing-masing.

Perlu diingat, pekerja adalah aset utama majikan dan mereka pula aset kepada keluarga dan komuniti masyarakat di kejiranan masing-masing.

Bayangkan jika mereka ditimpa kemalangan, sudah tentu akan menjejaskan produktiviti syarikat, selain keluarga juga hilang punca pencarian.

Peranan pengamal media sebagai ejen penyampai maklumat yang penting, dapat dilaksanakan dengan berkesan jika dapat menjalankan tugas dengan selamat dan selesa.

Pada masa sama, organisasi media hendaklah prihatin dan memberi perhatian serius meningkatkan pemahaman dan pengetahuan pekerja, dengan menggalakkan mereka menyertai kursus serta seminar berkaitan OSH secara berkala.

Mungkin mereka boleh beri insentif kepada kakitangan yang mengambil inisiatif sendiri menyertai mana-mana kursus terbabit menggunakan perbelanjaan sendiri sebagai menghargai dan mengiktiraf usaha murni itu.

Majikan juga perlu mengambil langkah proaktif membantu pekerja masing-masing menjadikan amalan keselamatan sebagai budaya kerja harian, sekali gus mencegah atau meminimumkan risiko yang mungkin mereka hadapi.

Pendidikan dan latihan berkaitan OSH penting dan pihak majikan hendaklah melihat ia sebagai pelaburan, bukan perbelanjaan dan bebanan. Dalam ekonomi global, isu itu sebenarnya penentu daya saing syarikat melalui peningkatan produktiviti.

Kod Antarabangsa Amalan Perlakuan Selamat bagi bidang kewartawanan menyatakan bahawa profesional media perlu dimaklumkan mengenai politik, fizikal dan sosial di kawasan mereka bertugas. Mereka tidak perlu terbabit dalam keadaan tidak menentu dan tidak selamat akibat sikap tidak ambil peduli dan tingkah laku melulu.

Ia juga menyatakan bahawa mereka hendaklah dilengkapi alat pertolongan cemas, alat komunikasi, kemudahan pengangkutan mencukupi serta pakaian perlindungan jika perlu ketika keluar melakukan tugasan.

Renungkanlah kata-kata Lam Thye ini.

“Tugas wartawan untuk melapor berita, bukan menjadi berita. Seorang wartawan yang meletakkan dirinya dalam keadaan berisiko dan sia-sia serta berkelakuan dengan cara tidak profesional, akhirnya tidak akan dapat melaporkan berita atau menunjukkan gambar yang perlu dilihat”.

Penulis adalah Penyunting
Eksekutif Berita Harian

112 dibaca
Berita Harian X