Selasa, 3 September 2019 | 12:15pm
KERATAN akhbar BH Ahad lalu.

Cari penyelesaian terbaik isu Airbnb

Setiap kali merancang untuk bercuti atau menguruskan apa-apa program di luar, perkara penting yang diambil kira ialah mengenai tempat penginapan.

Sudah pasti bajet untuk rumah atau bilik, serta lokasi menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan. Ia selalu menjadi cabaran sebelum tempahan dibuat.

Sebagai pengguna, logiknya semua mahukan bilik atau rumah yang sesuai dengan bajet. Kalau ada penginapan selesa bertaraf hotel pada harga lebih murah, malah pelbagai keperluan disediakan mengikut kriteria dikehendaki, siapa yang nak tolak.

Mutakhir ini, menyewa rumah atau bilik menerusi platform Airbnb, semakin menjadi pilihan. Namun sedar atau tidak, perkhidmatan ditawarkan portal berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) ini, secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada industri perhotelan negara.

Situasi ini sebenarnya sama dengan konflik perkhidmatan pengangkutan e-hailing dengan teksi di Malaysia. Kedua-duanya menawarkan perkhidmatan sama, tetapi berbeza dari segi tambang dengan e-hailing memiliki kelebihan.

Namun, pertembungan antara hotel dan Airbnb sebenarnya menguntungkan pengguna, yang sudah pasti mahukan perkhidmatan terbaik dengan harga lebih murah.

Seperti juga isu yang dibangkitkan mengenai perkhidmatan e-hailing, pihak industri perhotelan tidak terkecuali menyuarakan keresahan mengenai persaingan yang dianggap kurang adil dan berat sebelah.

Pihak hotel perlu membayar lesen dan pelbagai caj serta cukai, selain dikenakan tarif utiliti komersial. Berbeza rumah di bawah Airbnb, pemiliknya mendapat keuntungan bersih tanpa dikenakan cukai serta membayar bil mengikut tarif kediaman.

Pada masa sama, perkembangan pesat rumah atau bilik penginapan Airbnb tidak memberikan kerajaan tambahan hasil, walaupun ia mengumumkan menjana kira-kira RM3 bilion impak langsung ekonomi kepada Malaysia sepanjang tahun lalu.

Dalam tempoh setahun sejak Julai tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 73 peratus membabitkan 3.28 juta tetamu.

Sudah pasti kita mahukan ‘kek’ ini turut dikongsi termasuk dinikmati kerajaan, namun realitinya Airbnb tidak perlu membayar sebarang cukai kepada kerajaan kerana bukan beroperasi di negara ini. Jadi bagaimana langkah penyelesaian terbaik?

Mengharamkan terus operasi rumah atau bilik kediaman yang disenarai melalui Airbnb kepada pelancong bukan pilihan yang bijak, kerana ia turut memberi manfaat kepada pengguna. Ia juga membantu memberi pendapatan kepada pengusahanya yang biasanya menjalankan bisnes ini secara sampingan.

Di pihak industri perhotelan pula, mereka bukan mahu ‘membunuh’ rumah penginapan sementara ini, sebaliknya inginkan langkah yang memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

Bayangkan di Kuala Lumpur sahaja ada 17,000 rumah atau bilik yang mencari pelanggan melalui Airbnb, sedangkan pada masa sama ada 360 hotel berdaftar dan 39,000 hotel tidak berdaftar.

Kalau semua pelancong memilih Airbnb, sudah pasti industri perhotelan menjadi suram dan tidak mustahil hanya hotel besar mampu bertahan kerana mempunyai golongan tetamu berbeza.

Bagi hotel bajet pula, pasti mereka tidak lagi mampu beroperasi kerana perlu menampung pelbagai kos serta pekerja yang ramai.

Sehubungan itu apa juga langkah yang diambil kerajaan mengenai Airbnb, perlu mengambil kira semua faktor demi kepentingan bersama.

Kita sedar isu ini dihadapi banyak negara, malah ada yang sudah mengenakan pelbagai langkah ke atas portal Airbnb. Ini termasuk menetapkan lesen tertentu, malah ada negara memberikan syarat rumah penginapan yang disenarai melalui portal itu hanya boleh beroperasi untuk tempoh tertentu dalam setahun. Ada juga yang mengharamkannya.

Mungkin di Malaysia, kerajaan boleh ambil tindakan mendaftarkan rumah penginapan ini dengan mengenakan syarat tertentu.

Apapun langkahnya, kita harap kerajaan mengambil kira kepentingan pelancong tempatan dan luar negara yang menyumbang kepada ekonomi setempat melalui percutian mereka sama ada menginap di hotel atau di rumah Airbnb.

Penulis adalah Penulis Khas di Meja Khas Berita Harian.

630 dibaca
Berita Harian X