Rabu, 28 Ogos 2019 | 11:00am

Kempen Muhibah generasi baharu

Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini ialah yang ke-62. Oleh kerana Hari Kebangsaan itu disambut setiap tahun, maka ada ketika Hari Kebangsaan itu mengalami suasana luar daripada biasa atau mempunyai keistimewaannya tersendiri daripada tahun lain.

Umpamanya 60 tahun dahulu, Hari Kebangsaan kedua, iaitu pada 31 Ogos 1959 menjadi istimewa kerana kerajaan baharu ditubuhkan selepas pilihan raya pertama Malaya merdeka diadakan pada 15 Ogos 1959.

Maknanya, kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman memperoleh mandat rakyat merdeka. Hari Kebangsaan istimewa yang selanjutnya berlangsung pada 1964. Ia Hari Kebangsaan ketujuh dan yang pertama, tetapi satu-satunya disambut seluruh Persekutuan Malaysia terdiri daripada 14 negeri, termasuk Singapura, Sarawak dan Sabah.

Pada tahun berikutnya, 1965, Hari Kebangsaan kelapan, Malaysia menyambutnya tanpa Singapura. Tetapi 50 tahun lalu, iaitu ketika Hari Kebangsaan Ke-12 disambut, negara dalam keadaan muram. Parlimen digantung ekoran Peristiwa 13 Mei yang membawa kepada pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran) di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein.

Negara kemudian dipulihkan dengan Parlimen kembali bersidang dan suatu falsafah negara baharu diterapkan. Ia berbentuk Rukun Negara dan setiap warganegara berikrar menjunjungnya. Perisytiharan Rukun Negara dilakukan pada 31 Ogos 1970, iaitu ketika sambutan Hari Kebangsaan Ke-11.

Penggubalan Rukun Negara sebahagian daripada langkah kerajaan bagi menghalang peristiwa 13 Mei berulang. Langkah besar lain ialah penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Langkah kecil tidak kurang penting ialah Kempen Muhibah.

Pada 1970, ketika itu penulis di darjah lima antara generasi baharu yang kali pertama kali berikrar Rukun Negara dalam perhimpunan sekolah. Pada masa itu, penulis bersekolah di Limpoon Primary School 2, Batu Pahat, Johor.

Pada perhimpunan pagi itu, murid berbaris di atas gelanggang bola keranjang. Barisan guru berada di depan. Selepas upacara menyanyi lagu Negaraku, lagu negeri Johor dan Muhibah, ketua murid naik pentas dan membaca ikrar Rukun Negara, diikuti murid lain.

Maknanya, pada pagi itu satu generasi anak Malaysia, di sekolah seluruh negara membaca ikrar itu. Tiap-tiap tahun semua pelajar sekolah melalui acara itu dan akhirnya kini hampir seluruh warganegara Malaysia berikrar pada prinsip Rukun Negara.

Apabila ia menjadi amalan masyarakat, maka diharapkan peristiwa 13 Mei itu tidak berulang. Lagu Muhibah yang dinyanyikan setiap minggu selepas lagu kebangsaan dan lagu negeri menunjukkan kepentingan semangat muhibah kepada negara.

Kesan daripada lagu itu diharap dapat diserap dalam kalangan generasi muda. Mungkin hubungan antara kaum yang kurang memuaskan di negara ini, antaranya disebabkan latar belakang rakyat berbilang kaum di negara ini.

Dengan kaum Melayu, Cina dan India melalui pengalaman berbeza sebelum kemerdekaan, dari ketika zaman British Malaya, pendudukan Jepun hingga darurat, bagi mewujudkan satu Bangsa Malaysia yang padu memerlukan usaha besar.

Maka, wajar tumpuan dibuat ke atas generasi muda sebagai pencorak masa depan negara. Tetapi realiti generasi muda ini juga terpisah dari awal. Mereka pergi sekolah berbeza, membaca akhbar berbeza, bekerja di institusi berbeza dan banyak daripada rakyat negara ini juga tinggal di kawasan satu kaum.

Dalam menghadapi cabaran ini, usaha seperti Kempen Muhibah termasuk menyanyi lagu Muhibah untuk menyemai perasaan kesedaran mengenai kepentingan berbaik-baik antara kaum.

Antara ungkapan lirik nukilan Saiful Bahri itu berbunyi; ” Tunaikanlah ikrar. Satu nusa satu bangsa merdeka. Satu loghat dan satu suara. Dalam Malaysia jaya. Junjung tinggi cita-cita bangsa. Hormatilah perlembagaannya. Marilah kita berganding tangan. Hapuskanlah jurang perbezaan.”

Ia mungkin boleh dilihat hanya sebagai retorik patriotik dalam upacara bernegara. Tetapi apa diungkapkan dalam lirik itu adalah suatu perkara serius yang perlu dilakukan jika mahu negara berjaya.

Kini sudah 51 tahun Rukun Negara dan lagu Muhibah diperkenalkan. Sebahagian besar generasi lama ketika Malaya merdeka dan peristiwa 13 Mei berlaku sudah pun tiada. Sejak 1969 hingga sekarang tidak berlaku sebarang peristiwa buruk membabitkan hubungan kaum walaupun kaum di negara ini pergi sekolah berbeza, baca akhbar berbeza, masuk universiti berbeza dan mendapat pekerjaan di tempat berbeza.

DEB tidak dapat dicapai sepenuhnya dan masih wujud banyak isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum berbeza. Lebih-lebih lagi sejak dua tahun kebelakangan ini, ada dua perkembangan yang tiba-tiba menaikkan suhu hubungan kaum.

Pertamanya, kewujudan media sosial membuka ruang besar bagi penyebaran berita tidak benar dan komen rasis. Kedua, perubahan kerajaan buat kali pertama di Malaysia. Keadaan baharu ini cuba dilihat dari sudut perkauman untuk tujuan politik oleh pendukung pihak yang kehilangan kuasa.

Dalam keadaan ini mungkin sudah sampai masanya wajar dilancarkan semula suatu Kempen Muhibah bentuk terkini bagi mempertahankan perpaduan negara dalam kalangan generasi muda zaman ini yang tentu jauh berbeza daripada 1960-an.

Penulis adalah Bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia

Berita Harian X