Isnin, 12 Ogos 2019 | 11:00am
PUSAT pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Jangan biar 'bandar dalam taman' hanya tinggal tema

PADA 29 Ogos ini, genap 24 tahun Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya dilancarkan.

Lebih simbolik, pada tanggal sama 1995 majlis pelancarannya disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu adalah Perdana Menteri Keempat.

Pembentukan Putrajaya adalah cetusan idea Dr Mahathir sejak pertengahan 1980-an untuk mewujudkan pusat pentadbiran kerajaan di luar bandar raya Kuala Lumpur.

Boleh dikatakan, jika tiada Dr Mahathir, tiadalah Putrajaya yang menjadi salah satu kebanggaan masyarakat Malaysia kini.

Satu tapak iaitu di Prang Besar, Sepang yang terletak di lokasi strategik antara Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipilih untuk tujuan itu.

Pada 12 Oktober 1994, nama Prang Besar ditukar kepada Putrajaya sebagai memperingati Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.

Upacara pecah tanah di Presint 1 iaitu lokasi antara Hotel Shangri-la dan Pejabat Perdana Menteri sekarang, disempurnakan Dr Mahathir pada September 1996. Ia diikuti pelancaran Putrajaya sebagai sebuah bandar raya pada Oktober 1997 dan pada 1 Februari 2001 pula, Putrajaya diisytiharkan dengan rasmi sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga.

Menariknya, siapa sangka Putrajaya yang dulunya tapak ladang getah dan kelapa sawit, kini gah dengan pelbagai pembangunan daripada rumah mampu milik hinggalah kediaman eksklusif bernilai jutaan ringgit.

Putrajaya dibangunkan berasaskan tema ‘Bandar Dalam Taman’ dengan tasik buatan berkeluasan 600 hektar merentangi bahagian tengah bandar ini yang menjadi ciri landskap utama.

Pembangunan Putrajaya sekali gus memberi limpahan kepada pembangunan kawasan sekitarnya seperti Bangi, Kajang dan Sepang.

Kini, Putrajaya yang mempunyai keluasan 4,931 hektar terletak dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia (MSC) mempunyai kira-kira 92,000 penduduk dan ia mampu menampung sehingga 320,000 penduduk.

Penulis yang pernah menetap selama sembilan tahun di sini sejak 2003 iaitu ketika berusia 14 tahun hingga 2012 melihat perubahan demi perubahan berlaku.

Pada Mac 2012 pula ketika menetap di Sepang, penulis menerima tawaran untuk menjalani latihan praktikal di biro BH di Putrajaya, sebelum ditugaskan secara tetap di pejabat sama bermula 2015.

Hari demi hari, pembangunan demi pembangunan dilihat dilakukan di sini. Pelbagai bentuk bangunan dibina, baik yang berbentuk berlian mahupun seperti air kotak pelbagai warna hingga ada yang setinggi 32 tingkat.

Pada penulis, Putrajaya yang dulunya penuh kehijauan, kini sedikit demi sedikit hilang hijaunya. Bukan mahu menolak pembangunan, tetapi pada penulis mungkin perlu dilihat semula pelan pembangunan bandar kebanggaan Malaysia ini supaya dapat terus dikekalkan kehijauannya, selaras tema ia dibangunkan iaitu berasaskan ‘Bandar Dalam Taman’.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Putrajaya

2055 dibaca
Berita Harian X