Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Mahasiswa perlu bangkit tingkat potensi diri

MAHASISWA hari ini memang ramai yang menganggur. Kenapa ini berlaku?

Dipetik laporan Berita Harian siaran 7 Julai lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur.

Pada masa sama 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), sebuah persatuan mahasiswa yang bergerak di lebih 80 kampus seluruh Malaysia melihat isu ini sebagai sangat serius, kerana ia membabitkan masa depan kepemimpinan negara.

Apa akan jadi pada negara pada 30 tahun hingga 50 tahun akan datang, jika gaya kebolehpasaran mahasiswa hari ini seolah-olah tiada masa depan?

Apabila dirungkai isu ini, ia boleh dipecahkan kepada beberapa faktor, iaitu bermula dengan mahasiswa yang tidak memainkan peranan sebenar ketika berada di alam universiti.

Mereka tidak menggunakan masa yang ada di kampus untuk menggarap pelbagai kemahiran dan menambah nilai pada personaliti diri.

Mahasiswa lebih ramai duduk di ruang bilik, berbanding turun melaksanakan aktiviti bersama masyarakat. Mahasiswa hari ini lebih selesa berdiam diri berbanding perah otak habis-habisan untuk membantu selesaikan isu di kampus.

Mahasiswa hari ini juga lebih sibuk bersama gajet masing-masing berbanding berbincang dan berbahas bersama pensyarah.

Jadi, mahu salahkan siapa jika isu pengangguran ini masih tidak selesai? Masih mahu tuding jari pada orang lain atau kembali pada diri sendiri untuk bangkit dan buat perubahan?

Dalam masa sama, tidak dinafikan pihak universiti dan pensyarah perlu menjadikan ruang kampus sebagai tempat melahirkan pemimpin, membantu mahasiswa membangunkan diri walaupun terpaksa berkorban harta dan masa.

Di sini digariskan beberapa cadangan kepada pelbagai pihak sebagai pemerkasaan kebolehpasaran mahasiswa atau lebih mudah disebut sebagai ‘mahasiswa laku’ pasca graduasi, baik dalam kalangan pendapatan 40 peratus terendah atau B40, mahupun yang lain.

Pertama, di pihak kerajaan perlulah menggariskan bidang kritikal yang diperlukan negara mengikut unjuran 30 tahun ke hadapan.

Ini penting supaya pelajar boleh membuat pilihan yang tepat sebaik selesai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukan hanya menyambung pelajaran dalam bidang yang sudah tentu tiada masa depan.

Pihak kerajaan juga boleh menggariskan pecahan peratus pengangguran mengikut bidang, supaya mahasiswa tidak perlu lagi ‘terjun’ ke bidang terbabit. Perlu dilihat juga bahawa banyak lagi bidang lain yang ada, tetapi tidak dipopularkan.

Kedua, saya turut sependapat dengan pandangan dikeluarkan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, yang mencadangkan untuk diwujudkan kursus minor bagi setiap mahasiswa.

Setidak-tidaknya ia menambah nilai pada seseorang mahasiswa itu dengan memiliki dua sijil kelulusan secara tidak langsung.

Ketiga, mahasiswa perlulah terbuka untuk menukar minda daripada job seeker (pencari kerja) kepada job creator (pencipta kerjaya). Situasi sekarang tidak boleh menjamin masa depan kerjaya kepada seseorang, maka jika ada peluang untuk mencipta pekerjaan, mengapa tidak?

Ini secara tidak langsung dapat membantu menyelesaikan masalah lebih ramai mahasiswa yang terbabit dalam isu pengangguran, dengan mengambil mereka bekerja.

Mahasiswa hari ini perlu melihat bahawa masa depan kerjaya bukan hanya ada pada sektor kerajaan, tetapi juga wujud pada sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun dalam dunia perniagaan.

Pandangan ini bukan bertujuan merendahkan kedudukan dan martabat mahasiswa, pensyarah mahupun universiti, tetapi untuk melonjakkan lagi peranan yang perlu dimainkan di setiap lapangan universiti.

Ingatlah universiti adalah untuk komuniti.

Penulis adalah Naib Presiden 3 Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBEMA)

Berita Harian X