Selasa, 25 Jun 2019 | 11:00am
JOHOR BAHRU 18 MAC 2019. GAMBAR fail, anggota HAZMAT mengambil sampel bacan di dalam tong biru berbau seakan cuka yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam parit berhampiran SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang pada 18 Mac lalu. - Foto Hairul Anuar Rahim

Selamatkan Pasir Gudang, 'Kita hanya ada satu rumah'

Minggu lalu, kita dikejutkan dengan insiden pencemaran gas apabila 13 pelajar sekolah dan dua wanita dirawat di Hospital Sultan Ismail selepas dilaporkan muntah, loya dan pitam. Kelmarin, 13 sekolah dan 69 tadika di Pasir Gudang pula diarah tutup.

Kejadian berterusan ini seolah-olah tiada titik noktah selepas tragedi Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Lima tahun kebelakangan ini, jumlah penduduk di Pasir Gudang meningkat sehingga lebih 220,000 orang, kesan pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang lebih baik oleh kerajaan negeri Johor.

Namun, keadaan alam sekitarnya iaitu air dan udara semakin tenat menimbulkan persoalan - adakah Pasir Gudang sebenarnya selamat didiami?

Sungai Kim Kim juga dilaporkan bertahun-tahun menjadi kawasan buangan sisa toksik sejak 2012 tanpa sebarang tindakan diambil. Sungai Masai dan Sungai Plentong juga dalam kategori tercemar tahap empat.

Lebih membimbangkan, ada 252 kilang memproses bahan kimia di sekitar Pasir Gudang.

Pencemaran udara daripada sisa toksik ibarat menghirup udara beracun yang mengambil masa perlahan sebelum bertindak balas ke atas badan manusia. Pencemaran air pula akan menjejaskan bekalan air mentah akibat kemerosotan kualiti air yang kemudiannya berbalik kepada masyarakat sekitar juga.

Tragedi Mac lalu membabitkan kos sangat besar iaitu RM6.4 juta untuk tujuan pembersihan Sungai Kim Kim sahaja. Pendakwaan kepada yang terbabit di mahkamah juga masih berlangsung selain pemantauan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

29 sungai tercemar di Johor

Namun, kejadian baru-baru ini membuktikan insiden ini akan berulang lagi di sekitar Pasir Gudang. Memburukkan keadaan, JAS melaporkan ada 51 sungai tercemar di seluruh negara, dengan 29 daripadanya di Johor.

Pelbagai kempen kesedaran dianjurkan seperti Cintailah Sungai Kita, Cintailah Alam Sekitar dan Kebersihan Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama, namun seakan gagal memberi impak dan kesedaran kepada masyarakat.

Puncanya ia bertumpu kepada promosi mengikut musim tertentu bagai melepaskan batok di tangga. Tiada tindakan dan usaha tegas pihak berkuasa tempatan secara berterusan.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan di Johor mencontohi kesungguhan rakan di Selangor. Bagi menjayakan Kempen Bebas Plastik dengan lebih serius, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik berkuat kuasa 1 Julai ini.

Syarat ini juga diletakkan dalam syarat permohonan lesen perniagaan di negeri itu. Ini contoh yang baik dan tegas bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat bagi kesan jangka panjang penggunaan plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Pemantauan pihak berkuasa dan JAS perlu diperhebatkan terhadap semua kilang yang memproses bahan kimia secara berkala dan lebih kerap, bagi memastikan sistem pelupusan mengikut prosedur.

Tindakan lebih tegas perlu diambil segera terhadap kilang yang sengaja tidak mengikut prosedur. Bukan sekadar membuat laporan untuk dibentangkan pada akhir tahun, malah akta berkaitan alam sekitar juga perlu dikaji semula dengan khususnya berkaitan jumlah denda dan penjara yang tidak relevan bagi pelaku yang merosakkan alam sekitar sehingga membahayakan nyawa manusia.

Kerjasama masyarakat di sekitar Pasir Gudang perlu diperhebatkan dengan pelaksanaan gotong-royong yang konsisten seperti pembersihan sungai. Program kemasyarakatan dengan menjadikan sungai anak angkat kepada masyarakat setempat perlu dilaksanakan bagi memupuk cintai sungai kita.

Ia turut membantu memberi kesedaran bagi menghilangkan sikap masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai. Pemuliharaan dengan merawat sungai tercemar juga perlu dilakukan bagi menghidupkan semula ekosistem di perairan sungai berkenaan.

Didik kesedaran daripada awal

Penggunaan bahan murah tetapi berkesan iaitu mikroorganisma (EM) boleh diperluaskan dengan pembabitan kanak-kanak tadika, sekolah sehingga institusi pengajian tinggi. Ia bertujuan mendidik kesedaran dari awal lagi kepada masyarakat bagi menjaga alam sekitar.

EM mampu merawat dan memulihara pencemaran air dengan membunuh bakteria jahat dan menghilangkan bau busuk dalam sungai. Ia juga menjaga keseimbangan ekosistem bagi hidupan akuatik yang digunakan berulangkali di seluruh dunia.

Johor sudah menggalakkan proses urbanisasi pesat di sekitar Pasir Gudang, malangnya kualiti alam sekitar iaitu air dan udara dipandang ringan dan kurang dipelihara. Bagai tiada jaminan keselamatan bagi masyarakat dan kehidupan di kawasan ini.

Bangkitlah rakyat Johor, menggembleng tenaga bagi menjaga amanah yang satu ini demi masa depan kita juga. Ibarat pepatah pada Hari Alam Sekitar Sedunia tahun lalu, ‘Kita hanya ada satu rumah’.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Pasir Gudang, Johor

Berita Harian X