Selasa, 26 March 2019 | 11:00am
TANPA KEBENCIAN... Ribuan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik berarak dan berhimpun bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak amalan kebencian dalam Perhimpunan Solidariti Kedamaian, Sabtu lalu. - Foto BERNAMA

Singkap hubungan, keharmonian kaum melalui fakta sejarah

MUTAKHIR ini politik negara kembali bergoncang dengan kenyataan berbaur perkauman dan agama. Mungkin sekadar provokasi politik dan bersifat polemik, namun tidak wajar dibiar berterusan demi keharmonian masyarakat.

Semuanya berpunca tindakan segelintir individu yang ingin meraih sokongan melalui modal politik sempit tanpa memikirkan kesan terhadap rakyat dan negara.

Di negara kita, beberapa insiden seperti 13 Mei 1969, tragedi Kampung Medan 2001, peristiwa Low Yat 2015 dan terbaharu rusuhan di Kuil Sri Mahamariamman USJ 2018, wajar menjadi iktibar semua. Dalam konteks masyarakat Malaysia, asas pentingnya ialah kembali kepada fakta sejarah hubungan antara kaum di negara ini.

Setiap rakyat Malaysia perlu memahami sekurang-kurangnya tiga fasa perkembangan masyarakat majmuk - sebelum kedatangan penjajah, semasa penguasaan penjajah dan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Asimilasi budaya

Sebelum kedatangan penjajah, hubungan antara kaum bersifat pluraliti, tanpa sebarang paksaan. Jika diteliti sejarah hubungan kaum India dan Cina, sumber sejarah memang menyebut beberapa negeri di Tanah Melayu.

Antaranya Gerini dalam bukunya Researchers on Ptolemy’s Geography of Eastern Asia (1909) yang mengaitkan sejarah awal Kelantan dengan Kole Polis dan Tharra di India Utara. Pada abad ke-5 masihi Kelantan juga disebut dalam catatan China, iaitu dengan toponim ‘Chi-lan-tan’.

Kewujudan Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 adalah era kegemilangan hubungan pelbagai kaum di rantau ini. Lebih 80 bahasa dituturkan ketika itu, malah kedudukan bahasa Melayu sebagai ‘lingua franca’ kemuncak keharmonian antara kaum.

Fei Shin yang mengikuti rombongan Laksamana Cheng Ho pada 1439, melaporkan penempatan terawal imigran Cina di Tanah Melayu ialah Melaka. Implikasinya, kedatangan pedagang berbangsa Cina, India dan Arab serta pelbagai etnik Melayu menyebabkan terjadinya asimilasi budaya.

Dasar ‘pecah dan perintah’

Hal ini berbeza ketika fasa penjajahan kuasa Barat khususnya di bawah pentadbiran British. Campur tangan mereka dalam urusan pentadbiran negeri Melayu melalui sistem residen dan penasihat British mengubah struktur masyarakat majmuk di negara ini.

Ini diakui T G Mc Gee melalui rencananya Population: A Preliminary Analysis (1965). Pihak British bukan sahaja membawa masuk buruh Cina dan India, malah mengukuhkan kepentingan ekonominya melalui dasar ‘pecah dan perintah’.

Perbezaan penempatan, pendidikan dan kegiatan ekonomi antara kaum mengakibatkan berlaku jurang hubungan antara kaum. Sementara fasa selepas kemerdekaan pula memperlihatkan emosi dan tingkah laku matang serta mengamalkan nilai murni sebagai teras kehidupan bermasyarakat.

Sebagai warga negara yang terikat Rukun Negara, tidak wajar menonjolkan tingkah laku memporak-perandakan masyarakat, apatah lagi jika berjawatan penting dalam sesebuah organisasi. Fasa ini perlu diisi pelbagai rancangan yang dapat mengukuhkan integrasi antara kaum dan selari dengan hakikat kemerdekaan sebenar.

Paling penting, memahami asas sejarah dapat mengelak tindakan ungkit-mengungkit dan mempersenda antara kaum. Dalam hal ini, orang Melayu dan penduduk pribumi memang menerima bukan Melayu sebagai ‘saudara senegara’, manakala bukan Melayu pula perlu patuh kepada kontrak sosial dipersetujui sejak kemerdekaan.

Jadikan sebagai pedoman

Andai wujud ketidakpuasan hati, singkaplah kerangka asas ini sebagai pedoman bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam suasana senegara.

Selain itu, tindakan menakut-nakutkan masyarakat melalui sentimen kaum dan agama perlu dielakkan. Bagi mengekang tindakan ini, suatu akta khusus berkaitan keharmonian antara kaum perlu digubal segera agar masyarakat memahami batasan dan hukuman akibat provokasi hingga memporak-perandakan hubungan masyarakat.

Hukuman lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang terbukti bersalah mencetus ketegangan antara kaum. Jika akta ini dapat dikuatkuasakan secara berkesan, nescaya beban pihak berkuasa khususnya polis dapat diminimumkan.

Di samping itu, masyarakat juga perlu bijak menapis isu provokasi agama dan kaum melalui media sosial. Sesungguhnya keharmonian tidak boleh dijual beli, tetapi memerlukan pengorbanan dan iltizam minda untuk saling menghormati dan bertolak ansur sesama warga negara.

Perbezaan agama, bangsa, kaum, budaya dan fahaman politik bukanlah penghalang kepada perpaduan dan pengukuhan integrasi masyarakat di negara jika saling memahami antara satu sama lain.

Malaysia bukanlah tanah eksperimen untuk membakar api perkauman, tetapi ‘sebidang tanah’ istimewa sebagai pusat integrasi dan keharmonian kaum.

Penulis adalah pensyarah Universiti Kuala Lumpur-Royal College of Medicine, Perak

Berita Harian X