Sabtu, 9 March 2019 | 11:00am

Khazanah kena rangka strategi berkesan kembali kegemilangan

MUTAKHIR ini, kita digemparkan laporan mengenai syarikat pelaburan milik kerajaan, Khazanah Nasional (Khazanah) yang mencatat kerugian kira-kira RM6.3 bilion bagi tahun berakhir 2018.

Pengumuman dibuat ketika Khazanah akhir-akhir ini dilihat melupuskan beberapa aset strategiknya.

Ini termasuk melepaskan pegangan 16 peratus saham IHH Healthcare Berhad dengan nilai RM8.42 bilion kepada Mitsui & Co Ltd pada November 2018, selain menjual 40 juta saham dalam syarikat perbankan berpangkalan di Filipina, BDO Unibank Inc, dengan nilai RM415 juta.

Anak syarikat Khazanah, Axiata Group Berhad, turut mengiringi tindakan ini dengan menjual semua 28.7 peratus pegangan sahama dalam M1 Limited kepada Konnectivity Pte Ltd, pada harga RM1.65 bilion baru-baru ini.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Khazanah, kerugian didorong peningkatan ketara nilai rosot portfolio pelaburannya dari RM2 bilion pada 2017 kepada RM7.3 bilion pada 2018. Separuh darinya dikatakan disumbang menerusi pelaburan Khazanah di dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB).

KERATAN akhbar BH pada 7 Mac, baru-baru ini.
KERATAN akhbar BH pada 7 Mac, baru-baru ini.

Namun, di kala Khazanah mencatatkan kerugian, dividen RM1.5 bilion diisytiharkan. Timbul persoalan bagaimana sebuah syarikat yang dikatakan rugi, masih mampu memberikan dividen?

Bagi menjawab persoalan ini, analisis ke atas kedudukan kewangan Khazanah perlu diperincikan.

Kesan penyusutan nilai

Hakikatnya, bagi perakaunan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, Khazanah mencatat penerimaan dividen daripada portfolio pelaburannya sebanyak RM2.4 bilion, selain keuntungan bersih hasil pelupusan aset RM1.4 bilion.

Namun, ia masih tidak mampu mengimbangi nilai rosot terkumpul tahun sama. Sebab itulah Khazanah dilihat mencatatkan kerugian.

Nilai rosot adalah kaedah perakaunan mengambil kira nilai semasa sesuatu aset atau pelaburan. Jika berlaku penyusutan nilai semasa, nilai rosot perlu direkodkan. Ini bagi mencerminkan keadaan sebenar semasa sesuatu aset atau pelaburan itu.

Namun, nilai rosot bersifat non-cash item di mana penyusutan nilai tidak memberi kesan terhadap tunai atau kewangan semasa sesebuah syarikat sehinggalah aset atau pelaburan dijual.

Kes nilai rosot tinggi dihadapi Khazanah sebenarnya mirip dialami Tabung Haji (TH). Dalam kes TH, lebihan jumlah keseluruhan liabiliti adalah kira-kira RM4 bilion, berbanding RM70.3 bilion bagi jumlah keseluruhan aset pada 2017, juga disebabkan nilai rosot tinggi dicatatkan.

Dalam kata lain, nilai rosot tinggi tidaklah juga menggambarkan secara keseluruhan mengenai kekuatan aliran tunai dan kewangan sesebuah syarikat.

Khazanah di bawah pengurusan baharu diketuai Datuk Shahril Ridza Ridzuan, dikatakan menggunakan strategi perakaunan kitchen-sinking di mana segala kerugian terkumpul, diumumkan pada satu tempoh perakaunan sahaja, berbanding mengumumkan kerugian sedikit demi sedikit dalam tempoh lebih panjang.

Strategi inilah dikatakan penyebab kerugian RM6.3 bilion dicatatkan pada 2018.

Sebenarnya strategi kitchen-sinking bukan perkara baharu. Pada 2015, TESCO mengguna pakai strategi ini yang mengakibatkan mereka melaporkan kedudukan kewangan paling teruk dalam sejarah penubuhan syarikat, dengan kerugian kira-kira RM32 bilion.

Strategi perakaunan kreatif

Di Malaysia sendiri, strategi ini diguna pakai. Media Prima Berhad (MPB) contohnya dikatakan mengguna pakai strategi sama dengan mengumumkan kerugian terkumpul RM650.61 juta pada 2017, berbanding kerugian RM59.2 juta pada tahun sebelumnya.

Satu lagi strategi perakaunan berkaitan kitchen-sinking adalah big bath. Di dalam strategi ini, aset atau portfolio pelaburan akan dinilai lebih rendah dari yang direkod, supaya syarikat kelihatan rugi pada sesuatu tahun sebelum mencatatkan keuntungan luar biasa pada tahun berikutnya.

Antara syarikat terkemuka dunia yang mengguna pakai strategi big bath adalah Samsung.

Persoalannya adakah salah mengguna pakai strategi perakaunan kreatif ini? Walaupun kedua-duanya tidak salah dari sudut perakaunan, ia tidak digalakkan.

Ia tidak menggambarkan keadaan sebenar sesebuah syarikat daripada sepatutnya. Kebiasaannya, strategi ini diguna pakai pengurusan baharu sesebuah syarikat di mana kerugian dicatat pada tahun pertama melalui strategi kitchen-sinking dan big bath akan disandarkan sebagai kesan pencapaian pengurusan terdahulu, sebelum menunjukkan peningkatan pada tahun berikutnya.

Tidak kira siapa atau strategi apa digunakan, kerugian dicatatkan sudah berlaku. Dalam kes Khazanah, pelan serta gerak kerja seterusnya penting agar ia kembali di landasan asal sebagai syarikat pelaburan strategik yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

Penulis adalah Felo Siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X