Ahad, 24 Februari 2019 | 11:00am

Pemikiran luar kotak dan kuasa media sosial

AZMIL Hakim hanyalah pemuda biasa dari Kuala Lumpur yang berkelulusan ijazah sarjana muda pengurusan sumber manusia dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2015.

Seperti anak muda lain, dia antara ribuan pencari kerja dalam talian yang cuba ‘memancing’ majikan untuk menawarkannya pekerjaan.

Tiga minggu lalu, anak muda ini mencipta nama apabila membuat kelainan daripada pencari kerja yang mungkin menggunakan cara tradisional menghantar resume atau curriculum vitae (CV) bagi memburu kekosongan jawatan.

Caranya mudah dan ringkas. Anak muda ini membuat posting kreatif berbunyi: “Hi. I’m looking for an interviewer to fill this seat.” (“Hi, saya mencari penemuduga untuk memenuhi tempat duduk ini”)

Menyertakan sekeping gambar dan penerangan ringkas mengenai dirinya di LinkedIn, iaitu laman komuniti profesional yang terbesar di dunia, resume Azmil menjadi viral dan menarik perhatian dunia.

Namun, apa yang menarik minat saya membuat kupasan minggu ini bagaimana media sosial menjadi platform berkesan dan ‘berkuasa’ sekiranya digunakan dengan bijak, terutama menyelesaikan kemelut pengangguran dihadapi lepasan graduan pengajian tinggi.

Kita mahu graduan di luar sana turut mencontohi idea hebat Azmil dan kegigihannya mencari kelainan untuk bersaing memikat majikan. Apa tidaknya, sejak tiga minggu lalu, posting Azmil sudahpun mencapai 15,497 like dan mendapat 891 komen, selain berpuluh syarikat termasuk multinasional berminat untuk menemuduganya.

Lantaran, ada majikan yang menggelarkan cara anak muda ini sebagai trendsetter atau peneroka kaedah baharu untuk menarik majikan dan penemu pekerjaan (job hunter).

Kedua, betapa kuasa media sosial mampu memberi manfaat kalau digunakan secara berhemat dan beretika. Pemikiran di luar kotak seperti inilah yang diperlukan bagi mempersiapkan modal insan dan rakyat berstatus negara maju.

Meskipun kadar pengangguran di negara ini masih di bawah paras terkawal iaitu kira-kira 3.4 peratus atau 1.1 juta orang bagi suku pertama 2018, berbanding jumlah keseluruhan penduduk 32.4 juta orang, kadar pengangguran golongan muda dilaporkan masih tidak banyak berubah.

Misalnya, data tenaga kerja 2017 menunjukkan pengangguran golongan muda Malaysia kekal pada kadar 10.8, lebih tinggi berbanding Singapura (4.6 peratus), Thailand (5.9 peratus), Vietnam (7.9 peratus) dan India (10.5 peratus).

Malah, menurut penganalisis ekonomi, Malaysia dijangka terus berdepan cabaran pengangguran golongan belia yang tinggi berikutan faktor ketidakseimbangan kemahiran serta jurang struktur asas antara sistem pendidikan dan industri.

Ada yang berpendapat, ketidakpadanan bekalan dan permintaan dalam pasaran pekerjaan antara faktor membawa kepada pengangguran golongan belia yang tinggi.

Kita juga sering mendengar keluhan majikan apabila kriteria calon yang dikehendaki mereka tidak dapat dipenuhi oleh golongan belia atau graduan berikutan pekerjaan yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan kelulusan, latar belakang dan pengalaman pemohon.

Dan, antara reaksi majikan yang terselit dalam posting Azmil yang mungkin boleh membuka mata pencari pekerjaan lain ialah: “Forget HR. You should be in marketing” (Lupakan Sumber Manusia. Anda sepatutnya menceburi bidang pemasaran).

Nah, inilah dikatakan idea ringkas yang akhirnya mengetuk pintu rezeki anda!

Berita Harian X