Jumaat, 4 Januari 2019 | 11:00am

Masyarakat celaru penuhi keinginan

KEBELAKANGAN ini, ada suara dan gerakan memperjuangkan hak asasi. Memang dalam menentukan hak ini, manusia sering kali mengalami kekeliruan kerana ada yang menyangka ia hak, tetapi sebenarnya hanya keinginan.

Ada yang keliru membezakan di antara hak asasi dan keinginan. Pada masa sama, ada pula menjadikan hak asasi itu sebagai topeng untuk memperjuangkan keinginan yang akhirnya membawa kecelaruan kepada masyarakat.

Sebagai contoh, ada dakwaan mengatakan berjudi itu hak untuk berhibur. Minum arak itu hak mencapai ketenangan. Berzina itu hak mendapat kepuasan. Menukar jantina itu hak untuk menikmati rasa jati diri dan membuka aurat itu hak untuk berhias.

Namun, semua itu bukan hak seperti disangka, tetapi hanya keinginan dan hawa nafsu manusia. Jika dituruti semua tuntutan nafsu dan selera manusia, pasti ia membawa kerosakan kepada masyarakat.

Hak ialah perkara yang perlu dan patut diperoleh oleh seseorang untuk membolehkan hidup dalam keadaan yang sempurna. Tanpa mendapat hak yang sepatutnya, manusia akan hidup susah atau tidak mendapat kesejahteraan dalam kehidupan.

Tidak ganggu orang lain

Kita mungkin ada mendengar alasan kaki judi yang mendakwa bahawa “apa salahnya berjudi kerana dia tidak mengganggu orang lain”. Begitu juga dengan dakwaan penzina “apa salahnya mereka berzina kerana suka sama suka”. Mereka mendakwa itu hak mereka, lagi pun mereka tidak mengganggu orang lain dan perbuatan itu secara suka sama suka.

Itu sebahagian daripada dialog yang menggambarkan pemikiran liberal yang berasaskan hak asasi. Perbuatan yang dianggap tidak mengganggu orang lain itu sebenarnya dilarang dalam agama. Alasan ini tidak boleh digunakan kerana ia mungkin tidak mengganggu orang lain tetapi ia melanggar hak Allah.

Sebenarnya, mereka tidak mahu sebarang peraturan dan undang-undang yang berasaskan kepada agama kerana agama bagi mereka alam ghaib yang tidak realistik. Mereka tidak boleh menerima alasan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Hanya alasan mengikut logik akal diterima.

Pemikiran berteraskan kebebasan dan hak asasi ini berasaskan kepada rasional dan logik akal semata-mata. Dikhuatiri hak asasi dijadikan sebagai topeng untuk mendapatkan kebebasan atau sesuatu keinginan mereka. Tiada cara lain yang dapat menyelesaikan kekeliruan dan konflik di antara keinginan dan hak ini melainkan dengan panduan wahyu kerana ketetapan wahyu ketuhanan itu bersifat universal.

Sudah terbukti kedatangan Islam berjaya membebaskan wanita daripada diperhambakan dan menyelamatkan rakyat marhaen daripada ditindas. Kalau ikutkan, Rasulullah SAW boleh diangkat sebagai pejuang hak asasi. Rasulullah bukan sebagai pejuang hak asasi, tetapi Baginda berdakwah dengan mengajak manusia beriman dengan Allah dan meninggalkan kemungkaran.

Baginda menekankan tanggungjawab yang diabaikan, terutama tanggungjawab dengan Allah dan menghapuskan perhambaan kepada nafsu dan kepada manusia. Hasil daripada usaha dakwah Baginda, suatu masyarakat yang terbaik dapat dihasilkan.

Cara Islam menangani tuntutan hak asasi ialah dengan cara menekankan tanggungjawab dan mengajak manusia beriman kepada Allah. Sekiranya semua tanggungjawab berjalan dengan baik, segala hak yang perlu diperoleh manusia akan dipenuhi.

Di mana ada hak, di situ ada tanggungjawab. Kedua-duanya saling bergandingan dan tidak boleh dilupakan satu daripada kedua-duanya. Namun, Islam memilih menekankan tanggungjawab kerana kalau ikutkan keinginan manusia, selera hawa nafsu mereka tidak akan berkesudahan.

Kebebasan tidak mutlak

Islam agama yang menyediakan aturan kehidupan yang mengurus kemahuan dan keinginan manusia sesuai dengan fitrah mereka.

Islam tidak membenarkan perzinaan secara suka sama suka tanpa nikah, apatah lagi dengan paksaan atau perkosa. Ini cara Islam menguruskan keinginan manusia, iaitu dengan menekankan tentang tanggungjawab.

Keistimewaan Islam ialah apabila ia mempunyai wahyu daripada Allah untuk manusia. Islam menyediakan peraturan yang baik kepada manusia untuk mereka mengenal pasti hak asasi sebenarnya kepada manusia dan memberikan kebebasan tidak mutlak kepada manusia untuk melampiaskan semua keinginan.

Undang-undang Islam yang berteraskan wahyu yang bersifat ‘dari atas ke bawah’ boleh menyelesaikan kekeliruan manusia untuk membezakan di antara hak asasi dan keinginan. Kalau diberikan kebebasan sepenuhnya kepada manusia bagi menentukan semua itu, manusia akan terus berada dalam kegelapan kerana manusia biasanya akan mementingkan diri sendiri.

Agama ialah sumber hukum yang menjelaskan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh manusia. Melaksanakan tuntutan agama bermaksud melaksanakan segala tanggungjawab.

Sekiranya semua manusia menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik, seluruh hak manusia akan dipenuhi. Ia boleh dicapai kerana Islam mempunyai matlamat perundangannya yang menjaga lima kepentingan manusia.

Menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga harta dan menjaga keturunan. Semua hukum dan perundangan Islam bertujuan menjaga lima perkara ini. Setiap satunya berbeza dengan pemahaman Barat dari sudut cara untuk menjaganya.

Sifat perundangan Islam yang berteraskan kepada wahyu dan mungkin ada yang tidak sesuai mengikut selera manusia. Allah lebih tahu mengenai manusia kerana Tuhan yang menjadikan manusia.

Pepatah pun ada menyebutkan “kalau ikut rasa, akan binasa. Kalau ikut hati, akan mati”. Ini menggambarkan bahawa selera manusia tidak boleh untuk dituruti sepenuhnya.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Kesejahteraan Insan dan komuniti, Fakulti Pengajian Islam UKM

Berita Harian X