Sabtu, 3 November 2018 | 11:00am
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, semalam. Turut kelihatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto BERNAMA
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, semalam. Turut kelihatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto BERNAMA

Belanjawan 2019 banyak kejutan

Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ dengan tiga fokus dengan 12 strategi bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia, menggembirakan semua pihak, sama ada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mahupun berpendapatan tinggi.

Pada peringkat awal, ramai menjangkakan tidak banyak khabar gembira kepada rakyat, namun andaian itu meleset kerana banyak manfaat diperoleh pelbagai lapisan masyarakat. Belanjawan pertama dibentangkan kerajaan baharu sejak negara merdeka pada 31 Ogos 1957, ternyata banyak kejutan dan di luar jangka.

Dalam keadaan ekonomi serta kewangan agak menekan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berupaya mengumumkan peruntukan lebih tinggi bagi 2019 tanpa membebankan rakyat dengan cukai baharu, manakala cukai tidak sihat dinaikkan seperti perjudian, selain cadangan bayaran khas kepada penjawat awam.

Utama kesejahteraan rakyat

Tumpuan juga kepada kesihatan dan pendidikan untuk kesejahteraan rakyat dan melahirkan modal insan berkualiti. Kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion dalam Belanjawan 2019, berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018 dengan RM259.8 bilion sebagai belanja mengurus dan RM54.7 bilion perbelanjaan pembangunan.

Antara yang menarik, kerajaan akan membenarkan platform penjanaan dana masyarakat (crowd funding) yang dipacu sektor swasta sebagai alternatif pembelian rumah pertama dan dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Langkah bijak ini adalah penghargaan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang selama ini mengimpikan rumah sendiri. Kerjasama dengan swasta ternyata membantu rakyat memiliki rumah dan dilihat langkah ke hadapan membantu keluarga yang mahu memiliki rumah, tetapi tiada kemampuan.

Kerajaan juga melakukan perubahan bertujuan membetulkan dasar yang tersasar ketika pemerintahan kerajaan dulu, antaranya kerajaan tidak sepatutnya berniaga dan bersaing dengan pihak swasta, sebaliknya bekerjasama dengan pihak terbabit demi kebaikan rakyat.

Ini meletakkan kembali peranan kerajaan dalam peranan asas ekonomi dan banyak menutup ketirisan lalu. Kita menjangka lebih banyak rumah dibina menyasarkan kumpulan berpendapatan rendah.

Tiada golongan, kaum tercicir

Dalam belanjawan kali ini juga, tiada golongan dan kaum tercicir dan tiada sentimen merendahkan martabat Bumiputera. Begitu juga dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang ditambah baik dan diteruskan kepada golongan B40 dengan peruntukan lebih bersasar.

Kadar BSH yang ditentukan ialah RM1,000 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah, manakala isi rumah berpendapatan bulanan RM2,001 hingga RM3,000 pula akan menerima RM750 dan bagi yang berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000, akan menerima RM500.

Tambahan BSH sebanyak RM120 juga disediakan untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, namun terhad kepada empat orang, memberikan khabar gembira kepada golongan sasar. Dana ini memberi manfaat besar golongan B40.

Ternyata bantuan disalurkan betul-betul bijak dan tersusun, sekali gus menguntungkan rakyat.

Penduduk Sabah dan Sarawak juga tidak dipinggirkan, menerima peruntukan jauh lebih besar berbanding diperuntukkan kerajaan terdahulu. Bagi 2019, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk Sabah, berbanding RM4.1 bilion pada 2018, manakala bagi Sarawak pula, RM4.3 bilion berbanding RM4.3 bilion pada 2018.

Kerajaan juga akan meneruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak, tertakluk kajian rasionalisasi kos. Projek di Sabah dan Sarawak akan turut merangkumi pembinaan dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan dan kesihatan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Berita Harian X