Sabtu, 20 Oktober 2018 | 11:00am
FOTO hiasan.

Vape, sisha juga perlu diharamkan

KEPUTUSAN Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermula 1 Januari depan, disifatkan langkah yang baik bagi memastikan masyarakat menjalani amalan gaya hidup sihat dan berkualiti.

Yang pasti, tabiat merokok bukan sahaja merosakkan kesihatan dan membuatkan individu ketagih, tetapi boleh membawa maut.

Kira-kira 35 peratus kematian di hospital awam negara ini berpunca daripada penyakit berkaitan asap rokok seperti jangkitan paruparu, kanser, jantung dan lainlain.

Sesiapa sahaja berada di sekeliling mereka yang merokok turut menerima bahana apabila terhidu bau asap dan banyak lagi kesan buruk lain.

Seminar, forum, kempen dan iklan di media cetak, elektronik, digital dan papan iklan banyak dipaparkan. Pelbagai kajian dan kaedah menanganinya juga dilaksanakan, selain menguatkuasakan undang-undang berkaitan.

Kempen meningkatkan kesedaran bahaya merokok dalam kalangan masyarakat dilakukan dalam pelbagai platform.

Amaran dan gambar mengerikan mengenai kesan penyakit berkaitan tabiat merokok turut dicetak pada kotak produk tembakau, manakala lebih 20 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok.

Selain itu, tindakan denda juga diperuntukkan kepada mereka yang ingkar mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan 2017). Namun, adakah semua yang dilaksanakan bersama peraturan sedia ada telah mencapai objektifnya?

Sejauh mana pelaksanaan itu berjaya direalisasikan? Mampukah perokok tegar, perokok sosial dan mereka yang baru berjinak-jinak dengan tabiat tidak sihat itu, membuang tabiat buruk berkenaan?

Sebilangan individu cuba berhenti merokok, tetapi ada juga yang kembali semula ke tabiat itu walaupun meletakkan tekad dan azam mahu mengurangkan pengambil rokok atau berhenti.

Perokok baharu

Apa yang membimbangkan ialah dalam setiap saat sejumlah perokok baharu dicatatkan, termasuk dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, sama ada lelaki dan wanita.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan lebih lima juta orang berusia 15 tahun ke atas merokok.

Isu merokok amat luas, justeru perlu penyelesaian yang tuntas dan menyeluruh. Mungkin pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa harga runcit rokok dijangka dinaikkan akhir bulan ini berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) boleh memberikan impak positif.

Perokok pastinya berfikir dua kali berikutan kenaikan harga itu, sama ada berhenti atau mengurangkan amalan buruk berkenaan.

Namun, bukti selama ini menunjukkan biarpun berapa kali ganda harga rokok dinaikkan, perokok tidak peduli berbelanja kerana ketagihan.

Bagi yang tidak merokok, pasti tertanya apa yang susah sangat untuk berhenti merokok. Tabiat itu bukan sahaja merosakkan organ dalaman, malah ibarat ‘membakar’ wang dan pembaziran yang tiada sebarang pulangan.

Jangan pula ada beranggapan jika tidak dapat rokok, idea jadi tumpul atau mahu menghilangkan tekanan atas pelbagai masalah persekitaran.

Ramai insan yang tidak pernah menghisap rokok tetapi mereka hebat dalam banyak perkara dan boleh bersosial dengan sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, lebih elok jika apa sahaja amalan berkaitan merokok, sama ada menghisap vape, shisha dan cerut turut diberi perhatian.

Justeru, keputusan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan juga seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi semua aktiviti terbabit.

Asap berkepul-kepul dengan bau kurang menyenangkan daripada penghisap cerut, vape dan shisha sebenarnya mengundang ketidakselesaan dan mengganggu pernafasan orang sekeliling.

Kesan terhidu asap

Lebih terkesan pasti pesakit kronik, penghidap asma, masalah paru-paru, kanak-kanak, bayi, wanita hamil dan warga emas apabila terhidu asap. Ketiga-tiga jenis bahan tidak sihat itu mempunyai kesan tertentu pada kesihatan dan tidak seharusnya diambil ringan.

Asap dari vape contohnya, dihasilkan daripada cairan yang dipanaskan kemudian mengeluarkan wap sebagai pengganti asap rokok. Untuk kenikmatan bagi setiap sedutan, ia turut mengandungi nikotin pada kadar berbeza, iaitu antara dua miligram (mg) sehingga lapan mg bagi setiap mililiter (ml) cairan vape.

Apabila mengandungi nikotin, ia tetap bahan berbahaya yang boleh memberi kesan kepada jantung, saluran darah dan paru-paru.

Begitu juga dengan sisha, rasa tembakau yang digunakan dalam proses merokok, juga dikenali ‘gelembung Hubble’, iaitu amalan popular dari Asia Barat yang turut menjadi budaya baharu pada anak muda di negara ini.

Air di dalam shisha tidak dapat menapis toksin dalam asap, selain mengandungi nikotin, karbon monoksida dan bahan lain seperti rokok biasa.

Sisha dikatakan cenderung memiliki empat hingga lima kali lebih tinggi kandungan karbon monoksida berbanding menghisap rokok tembakau dan berpotensi membawa kerosakan kepada otak dan paru-paru.

Hukuman tegas seperti mengenakan denda atau penjara kepada perokok, penyeludup serta industri berkaitannya yang ingkar mengikut undang-undang sudah cantik dan betul.

Cuma ia lebih berkesan jika pemantauan dan penguatkuasaan turut diperhebatkan dan pelaksanaan peraturan diperincikan dalam segenap segi demi kesejahteraan kesihatan masyarakat secara keseluruhannya.

Berita Harian X