Jumaat, 8 Jun 2018 | 5:26pm
YANG mesti difikirkan ialah segera melakukan 'tajdid' dan 'islah' supaya keyakinan ahli UMNO dapat dibina semula. - Foto hiasan
YANG mesti difikirkan ialah segera melakukan 'tajdid' dan 'islah' supaya keyakinan ahli UMNO dapat dibina semula. - Foto hiasan

Menunggu 'tajdid', 'islah' dalam UMNO

KEHILANGAN kuasa yang dinikmati selama enam dekad memang mengejut dan menyakitkan. Itulah situasi yang dihadapi UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Biarpun parti terbesar Melayu itu masih boleh berbangga kerana memiliki kerusi Parlimen paling banyak berbanding parti lain, kekalahan bilangan kerusi berdasarkan gabungan parti (BN), menyebabkan UMNO hilang kuasa.

Biarpun UMNO terpaksa menerima hakikat takdir yang menimpanya, takdir itu juga mesti dilihat sebagai jalan untuk bermuhasabah akan kelemahan yang ada, terutama mengubati penyakit mazmumah dihidapi parti.

Masa untuk bernostalgia mengenai segala jasa yang pernah disumbangkan UMNO untuk bangsa, agama dan negara usah difikirkan sangat. Yang mesti difikirkan ialah segera melakukan 'tajdid' dan 'islah' supaya keyakinan ahli UMNO dapat dibina semula.

'Tajdid' dengan makna kembali kepada perjuangan asal yang murni dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, manakala 'islah' pula ialah melakukan perubahan minda dan kepemimpinan yang akan menerajui parti di semua peringkat.

Mesti ada keberanian dalam hal ini dan keberanian ini mesti datang dari akar umbi parti. Dalam konteks ini, akar umbi mesti berani mengetengahkan pelapis kepemimpinan baharu yang benar-benar bersih, berintegriti dan berdaya tahan, kental semangat dan tabah.

Ini penting supaya aset UMNO dan 'modal insan' yang dimiliki parti dapat diurus dengan berkesan dan penuh integriti. Ingat, dengan kehilangan kuasa, UMNO akan berdepan kekangan kewangan, justeru kewangan dan segala aset yang ada mesti diurus dengan telus dan berkesan.

Berani tolak pemimpin tak berintegriti

Akar umbi harus berani menolak mana-mana pemimpin yang tidak lagi diterima rakyat disebabkan masalah integriti dan lemah daya kepemimpinan.

Ia keputusan penting yang perlu dibuat akar umbi dalam pemilihan parti bagi semua peringkat yang dijangka diadakan selewat-lewatnya sebelum 19 April 2019.

Yakinlah bahawa UMNO masih mampu menjadi parti penentu atau sekurang-kurangnya sebagai 'king maker' pada lima tahun akan datang.

Selain itu, UMNO yang bernafas baharu juga boleh memikirkan untuk mengadakan pakatan politik dengan PAS bagi membentuk kuasa Melayu yang dapat melindungi kembali kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Oleh itu, UMNO perlu menampilkan barisan kepemimpinan baharu yang boleh bekerja untuk memulihkan kembali imej dan kekuatan parti. Pastikan yang dipilih nanti benar-benar memiliki nilai unggul sebagai pemimpin untuk mengurus dan mengemudi parti menebus 'detik hitam 9 Mei'.

Mungkin sebagai panduan yang boleh dimanfaatkan dalam memilih pemimpin baharu, penulis menyenaraikan beberapa kriteria yang perlu ada pada seseorang yang mahu diangkat sebagai pemimpin.

Nilai itu berasaskan nilai kepemimpinan dan pengurusan Prapanca, iaitu seorang sarjana zaman Kerajaan Majapahit yang menghasilkan karya agung Nagarakritagama (Shaharir Mohamad Zain, Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu, Universiti Malaysia Terengganu, 2010).

Ada 18 nilai unggul digariskan Prapanca, tetapi penulis hanya menyenaraikan beberapa nilai yang dianggap mesti ada dalam barisan kepemimpinan UMNO yang baharu. Antaranya ialah:

  • Berjiwa tenang, sabar, bijaksana dan tidak lekas menggelabah.
  • Berani membela menegakkan kebenaran dan keadilan.
  • Mendapat kepercayaan (disukai) rakyat dan menjaga kepercayaan itu sebagai satu tanggungjawab dan kehormatan.
  • Mampu mengutarakan pendapat, bijak berbicara dengan penuh adab serta mampu pula membangkitkan semangat rakyat.
  • Bijak berdiplomasi, mengatur strategi dan siasah.
  • Rendah hati dan tidak sombong.
  • Dikasihi dan mengasihi rakyat.
  • Berlapang dada dan sedia menerima pendapat orang lain.
  • Tegas, jujur, bersih dan berwibawa.
  • Bijak menentukan prioriti.
  • Bersederhana dalam hidup.

Kesimpulannya, UMNO perlu melakukan tajdid dan islah dengan penuh komitmen supaya 'Sang Saka Bangsa' terus berkibar dan obor perjuangannya terus menyala di pentas politik tanah air tercinta.

Penulis adalah penganalisis sosiopolitik bebas

Berita Harian X