Jumaat, 6 April 2018 | 6:55am

5 ciri khusus pemerintahan berasas Islam

SEBAGAI negara yang diinstitusikan oleh Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan, akidah atau pegangan agama baginda Raja mendasari prinsip undang-undang dan sistem politik Persekutuan juga negeri.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong selaku wakil Raja-Raja Melayu memerintah Kerajaan Persekutuan dikehendaki melafazkan sumpah berjawatan yang menunjukkan prinsip:

  • Akidah - Yang di-Pertuan Agong hendaklah Islam
  • Taat setia baginda untuk melaksanakan pemerintahan yang adil menurut Perlembagaan dan undang-undang
  • Melindungi pada setiap masa agama Islam
  • Menegakkan kedaulatan undang-undang
  • Menegakkan keamanan dalam negara

Perkara 181 (1) itu disyaratkan bahawa prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu menurut buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan' (2018) ialah bersumberkan ajaran Islam.

Lantaran itu, ia bercirikan amanah daripada Allah SWT yang bertunjangkan konsep keadilan, syura dan baiah.

Doktrin amanah kedaulatan dijelaskan oleh firman Allah dalam surah Sad (38: 26) yang bermaksud: "Wahai Daud! Sesungguhnya kami menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu."

Pemegang amanah

Pemerintahan Islam mempunyai lima ciri khusus, iaitu pemerintah sebagai pemegang amanah; kewajipan pemerintah untuk menguatkuasakan hukum syarak; larangan melakukan kerosakan; pemerintah dipertanggungjawabkan dalam setiap tindak-tanduknya serta larangan mengangkat orang bukan Islam sebagai pemerintah tertinggi.

Ciri-itu itu pada hakikatnya ialah kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa sebahagian besar fungsi kuasa baginda dilaksanakan oleh Jemaah Menteri dan mereka yang diberi kuasa oleh Parlimen.

Pada masa sama, Perdana Menteri ialah ketua kerajaan Yang di-Pertuan Agong, pilihan baginda dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Atas sifat sedemikian, seorang Perdana Menteri hendaklah berupaya melaksanakan amanah daripada Yang di-Pertuan Agong secara adil berserta amalan syura.

Pemerintahan adil dan amalan syura berteraskan kepada ciri-ciri berpandukan kepada sumber al-Quran dan sunah. Justeru, syarat untuk mencapai keadilan adalah seperti berikut;

Suatu amanah hendaklah diserahkan kepada ahlinya - pemerintah atau rakyat melalui proses pilihan raya hendaklah melantik mereka yang benar-benar layak, mempunyai pengetahuan dalam bidang, mampu melaksanakan amanah dengan baik dan ikhlas untuk menjawat amanah dalam pemerintahan.

Akauntabiliti - prinsip kebertanggungjawaban atas sesuatu tindakan, keputusan dan dasar, termasuk juga kewajipan untuk melapor, menjelas dan boleh dipersoalkan dalam Parlimen.

Pematuhan prinsip 'amar makruf dan nahi mungkar'- seorang pemerintah perlu melaksanakan dasar untuk melahirkan rakyat yang baik dan mewujudkan suasana sentosa dalam negara. Dasar dan pelan tindakan hendaklah mempunyai objektif jelas, galakan kepada kebajikan dan pencegahan terhadap kemudaratan, manakala implikasi setiap keputusan perlu diperhalusi agar kesannya sentiasa patuh prinsip syariah.

Sikap teliti - seorang pemerintah hendaklah mengamalkan sikap berhati-hati, cermat, bijaksana dan berwawasan.

Muhasabah - seorang pemerintah hendaklah sentiasa menghitung diri dan mengambil iktibar, menginsafi bahawa kekuasaan, pangkat, harta negeri dan maslahah rakyat itu ialah amanah Ilahi, bukanlah hanya bersifat retorik. Semua tindak-tanduk, keputusan dan perlakuan sebagai seorang pemerintah perlu sentiasa disemak.

Amalan syura

Syura ialah amalan yang ditekankan oleh Islam dalam apa jua proses penggubalan undang-undang dan pembuatan sebarang dasar atau keputusan dasar.

Melalui amalan syura, ketelusan berlaku kerana segala maklumat dikongsi secara sesama dengan semua ahli sebelum sesuatu undang-undang, dasar dan keputusan dicapai.

Ahli majlis syura mempunyai kedudukan sama tinggi, masing-masing boleh menyumbang buah fikiran dan apabila berlaku proses undian, setiap seorang memiliki satu undi. Mereka juga bebas untuk mengemukakan pandangan mengikut kefahaman, ilmu dan fikiran masing-masing.

Ahli yang menganggotai majlis syura pastinya mewakili beberapa golongan masyarakat atau kerjaya, itu pastinya menyediakan platform yang betul untuk menyampaikan pandangan mahupun kritikan.

Begitu juga amalan badan perundangan moden, ia adalah manifestasi konsep syura, ijtihad dan ijmak. Pemerhatian dalam amalan di atas menunjukkan terhimpunnya prinsip ketelusan, persamaan dan kebebasan.

Perundangan Islam secara khusus mengiktiraf kekuasaan syura dalam mencapai keputusan bersama dan mempertahankan prinsip kebebasan, keadilan dan persamaan dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan (Abdul Rashid Moten 2005).

Kerajaan yang memerintah Persekutuan pada hari ini sekian lama memperkenalkan dasar penerapan nilai Islam.

Dasar itu didapati berjaya mengembalikan beberapa prinsip perundangan, ekonomi dan sosial berteraskan ajaran Islam seperti pernah diamalkan sejak ratusan tahun sebelum campur tangan British di Tanah Melayu.

Pengenalan Indeks Syariah Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Februari 2015 satu langkah proaktif untuk memupuk pematuhan dasar dan pelaksanaan kuasa eksekutif berteraskan maqasid syariah, iaitu prinsip tadbir urus berteraskan perundangan Islam.

Pengharmonian undang-undang sedia ada dengan prinsip Islam yang jatuh di bawah bidang kuasa Persekutuan kini sedang diusahakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Justeru, amat penting sekali bahawa kepemimpinan negara yang bakal melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 mempunyai inspirasi juga iltizam untuk meneruskan agenda pemerkasaan prinsip perundangan Islam di negara kita.

Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

Berita Harian X