Selasa, 19 Disember 2017 | 2:15pm
PENASIHAT Parti DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PENASIHAT Parti DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

DAP terdesak, hilang arah tangkis serangan

SEPERTI biasa, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak yang paling terjejas daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 adalah DAP. Baik dalam ucapan perasmian mahupun penggulungan, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, meletakkan DAP sebagai sasaran serangan utama beliau.

Dalam ucapan perasmian, Najib menyebut mengenai 'Parti Bunga Raya' yang sedang dijadikan 'perkakas' oleh DAP yang terang-terang, dikatakan mereka sendiri dahulu, parti anti-Melayu dan Islam, sebagai tercatat dalam perlembagaan DAP, langsung tidak menyebut Islam sebagai agama Persekutuan'.

Dalam ucapan penggulungan pula, Najib menyebut mengenai betapa beliau 'dengar khabar ada orang bernama Lim Kit Siang minat nak jadi Perdana Menteri.' Kata beliau, 'Kalau tak percaya tanya bekas wakil rakyat DUN Jawi, hari ni dalam surat khabar kata, dia percaya bahawa Lim Kit Siang minat nak jadi Perdana Menteri.'

Ternyata DAP hilang arah untuk menangkis serangan bahawa ia adalah parti anti-Melayu dan Islam. Tidak mampu menjawab dengan hujah, DAP, melalui Ketua Pemudanya, Wong Kah Woh, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Ronnie Liu, membuat laporan polis.

Tindakan terdesak DAP

Seperti disebut oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, membuat laporan polis ini adalah 'tindakan drastik dan terdesak.' Menyerahkan perkara ini kepada pihak polis adalah jalan akhir untuk menyucikan imej DAP sedangkan pihak polis tidak seharusnya dibebankan dengan permasalahan DAP ini.

Persepsi DAP parti anti-Melayu dan Islam ini, seperti didedahkan oleh kaji selidik Institut Darul Ehsan, adalah sangat meluas. Bukan setakat Najib sahaja, malah ramai lagi tokoh lain, sama ada ahli politik, khususnya UMNO dan PAS, ahli akademik, alim ulama' dan pertubuhan bukan kerajaan, menyebut perkara sama.

Persoalan yang timbul ialah kenapa ucapan Najib dihadapkan dengan laporan polis sedangkan ucapan sama membabitkan tokoh lain yang dilihat lebih terbuka terhadap DAP seperti Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, langsung tidak disentuh?

Berbanding menyerahkannya kepada pihak polis, pemimpin DAP sepatutnya melakukan perkara yang berada di dalam kawalan mereka, umpamanya mengambil tindakan saman, untuk memulihkan imej mereka, tetapi apa sudah jadi dengan ugutan Lim Kit Siang untuk menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 28 Januari 2017?

Jika DAP serius mahu memperbaiki imejnya di kalangan orang Melayu Islam, ia boleh sahaja mengubah perkara yang disebut oleh Najib, iaitu ketiadaan peruntukan mengenai Islam agama Persekutuan, selain peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu, di dalam perlembagaannya, tetapi mengapa ini tidak dilakukan?

Begitu juga dengan ucapan Najib mengenai hasrat Lim Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri yang disandarkan kepada kenyataan bekas ADUN DAP Jawi, Tan Beng Huat, yang tidak boleh dijawab dengan membuat penafian semata-mata tanpa melihat kepada segala gerak kerja dan perancangan yang dibuat oleh DAP selama ini.

Ucapan pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, menyebut mengenai peluang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri. Penolong Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, dalam kenyataan pada 24 Januari 2017 pun menyebutnya, 'satu hari nanti kita akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu.'

Penulis adalah Felo Utama institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dam Pengarah Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X