Isnin, 6 November 2017 | 6:27am
SIDANG Kemuncak APEC di Danang, Vietnam dijangka memberi tumpuan meneruskan usaha untuk perdagangan bebas dan pelaburan.
SIDANG Kemuncak APEC di Danang, Vietnam dijangka memberi tumpuan meneruskan usaha untuk perdagangan bebas dan pelaburan.

APEC fokus isu baharu perdagangan, TPP

PERUBAHAN kepemimpinan Amerika Syarikat (AS) - Donald Trump menggantikan Barack Obama sebagai Presiden AS ke-45 sejak 23 Januari tahun ini, bukan sahaja membantu meningkatkan sentimen antiglobalisasi, malah banyak berlaku perubahan dalam industri dan ekonomi di seluruh dunia.

Ketika semua 12 negara berusaha keras untuk memastikan perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dalam kalangan 21 negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diperkukuhkan pada Sidang Kemuncak APEC di Danang, Vietnam pada minggu ini, pelantikan Trump itu menukarkan senario berkenaan kepada ketidaktentuan masa depan TPP apabila menegaskan akan mengkaji semula semua perikatan dijalin oleh AS dengan Eropah dan Asia sejak sekian lama.

"Sekarang hanya 11 negara dalam TPP, AS sudah keluar. Kita tunggu rumusan daripada rundingan dan cadangan mengenai TPP yang diadakan di Tokyo itu (Oktober)," kata Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC yang berpangkalan di Singapura, Dr Alan Bollard dalam satu pertemuan di Subang Jaya, baru-baru ini.

Mesyuarat tiga hari di Tokyo itu oleh perunding dilantik kerajaan masing-masing, berusaha mencari persefahaman dalam kalangan 11 anggota APEC untuk dibawa pada forum tidak rasmi peringkat ketua kerajaan ketika bermula Sidang Kemuncak APEC di Danang, Jumaat ini.

Pindaan bawa kepada persetujuan baharu

Persetujuan penubuhan TPP dimeterai pada Februari 2016, membabitkan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam, merangkumi kira-kira 40 peratus ekonomi global sebelum Washington menarik diri sebaik sahaja Trump mengambil alih pentadbiran.

Kemungkinan besar banyak persetujuan dicapai selepas beberapa pindaan dibuat, khususnya yang dibangkitkan AS sebelum ini.

Lain-lain negara termasuk New Zealand yang mahu menyekat pemilikan rumah oleh warga asing, Kanada yang khuatir TPP akan menjadikan negara itu bermasalah dalam rundingan baharu Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan Jepun yang mahu mengelak diberi tekanan dalam perjanjian perdagangan dua hala dengan AS.

"Semua ini akan dibincangkan di Danang," kata Dr Bollard yang menjadi individu pertama dilantik untuk kali kedua sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC untuk tempoh tiga tahun lagi yang akan berakhir pada 2018.

Trump, Putin ketuai delegasi sidang APEC

Sebelum dilantik untuk kali pertama bagi jawatan itu pada 2013, beliau adalah Gabenor Reserve Bank New Zealand.

Malah, katanya, ada cadangan untuk menjemput negara anggota APEC yang berminat untuk menyertai TPP pada Sidang Kemuncak APEC itu, selain yakin AS tetap dengan keputusan untuk menarik diri daripada TPP.

Mengikut sekretariat APEC, 18 ketua negara sudah mengesahkan kehadiran mereka untuk mesyuarat ke-25 di Danang, termasuk Trump; Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping, selain Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Dianggarkan sejumlah 10,000 delegasi APEC dan wartawan antarabangsa akan tiba di Danang, sekali lagi Vietnam menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak ini selepas menyertai APEC pada 1998.

Bagi Dr Bollard, APEC perlu memikirkan sesuatu sebagai fokus masa depannya, selain meneruskan usaha untuk perdagangan bebas dan pelaburan selepas 'bekerja' terlalu lama untuk membantu negara anggotanya mengurangkan halangan tarif, menggalakkan pengaliran secara terbuka bagi barangan, perkhidmatan dan modal di rantau Asia Pasifik.

Capai status perdagangan bebas tidak menentu

Tarikh akhir pada 2020 untuk mencapai status perdagangan bebas yang ditetapkan dalam Matlamat Bogor pada 1994 semakin menghampiri, sedangkan pertumbuhan ekonomi dunia agak perlahan, ancaman krisis kewangan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta perdagangan agak perlahan.

"Selepas tarikh akhir 2020, kita perlukan cara kerja berbeza, ke arah matlamat yang berbeza dan dengan 'rasa' berbeza," katanya.

Bagi beliau, pegawai terbabit perlu berfikir dengan pelbagai cara, termasuk memberi lebih tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif seperti merangka dasar latihan kemahiran lanjutan dan dasar pasaran buruh untuk negara anggota APEC, selain amalan terbaik untuk dasar perlindungan sosial.

Meningkatkan pertumbuhan merentasi rantau

"Fokus kita bukan sahaja untuk integrasi ekonomi serantau, tetapi juga menilai siapa yang mengalami kesannya dan bagaimana - ini kita namakan globalisasi yang progresif," katanya.

APEC juga perlu memikirkan soal perdagangan untuk generasi akan datang, terutama dalam sektor perkhidmatan, untuk meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan merentasi rantau.

Ini termasuk menetapkan sasaran baharu untuk mengurangkan halangan perdagangan dan menyelaraskan kumpulan kerja teknikal supaya dapat memberi lebih tumpuan kepada isu perdagangan baharu yang timbul seperti telekomunikasi, caj perayauan (roaming) dan keselamatan siber.

Beliau yakin APEC boleh menetapkan sasaran untuk menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas untuk Asia Pasifik (FTAAP) pada masa depan dengan membantu menjadi pengantara pelbagai perjanjian perdagangan bebas yang mahu dijalinkan di rantau terbabit.

Berita Harian X